28 January 2010

Individu pertama dihadap ke mahkamah

Sinar Harian

SHAH ALAM - Seorang Penolong Pegawai Daerah (Tanah) gred M44 menjadi orang pertama yang dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, berhubung isu curi pas:ir yang melibatkan tangkapan sebanyak 38 suspek oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

:Norhanizatuazwin Samsuni, 29, yang bertugas di Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat, Bandar Baru Bangi, dekat sini didakwa memperoleh rasuah bernilai RM10,000 daripada seorang pengarah syarikat pemaju yang bergelar datuk.

Tertuduh mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada jam 12.30 tengah hari, 17 Mac 2009 di nombor 45A, Jalan Bukit Mewah 11, Taman Bukit Mewah, Kajang, dekat sini dan suapan itu didakwa sebagai bayaran peringkat 2(a) dan sebahagian peringkat 2(b) untuk rumah C-4-25, Rumah Pangsa, Kajang Impian.

Suapan itu didakwa sebagai balasan untuk tertuduh membantu meluluskan Permohonan Tempoh Permit Bagi Kebenaran Khas untuk Mengalih Bahan Batuan (Mendapan Kelodak / Tanah Merah) ke atas tanah PN8602, Lot 7705, Mukim Hulu Langat bertarikh 5 Februari 2009 kepada syarikat pemaju itu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan RM10,000 atau lima kali nilai suapan yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Bagi tuduhan itu, tertuduh juga menghadapi satu pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda jika sabit kesalahan kerana didakwa menerima suapan yang mempunyai kaitan dengan tugas rasminya.

Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM Ng Siew Wee menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh.

Tertuduh memohon jumlah itu dikurangkan kerana statusnya sebagai ibu tunggal yang menyara seorang anak berusia setahun tiga bulan dan adik yang bersekolah di sekolah teknik.

“Saya dalam proses tuntutan nafkah selepas perceraian yang memerlukan kewangan bagi urusan guaman.

“Saya juga ada tanggungan la:in seperti bayaran kereta, sewa rumah, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional dan kad kredit,” katanya.

Tertuduh juga menyatakan, dia bekerjasama dengan SPRM sejak ditangkap 20 Januari lalu sehingga dilepaskan dengan jaminan Isnin lalu.

Hakim Mat Ghani Abdullah menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula 25 Februari untuk lantikan peguam.

Beliau juga membenarkan permohonan Siew Wee supaya mahkamah mengguna pakai Seksyen 101(2) Akta Mahkamah Rendah untuk perintah sekatan supaya nama pengarah dan syarikat tidak didedahkan kerana dikhuatiri boleh menjejaskan siasatan SPRM.

GLC perlu pastikan suara kakitangan bawah didengar

Berita Harian

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Kesatuan Sekerja Dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) meminta kerajaan melantik jawatankuasa bebas pada peringkat kementerian dan kerajaan bagi memantau dan mengkaji semula kedudukan semua syarikat dan agensi di bawah GLC.

Presidennya, Mohamed Shafie BP Mammal, berkata penubuhan jawatankuasa bebas itu perlu untuk memastikan suara kakitangan bawahan didengari seterusnya melaporkan kepada kerajaan hasil pemantauan itu tanpa perlu berselindung.

Katanya, pihaknya mengharapkan jawatankuasa bebas itu dianggotai beberapa pihak termasuk wakil kerajaan, syarikat GLC, kesatuan dan pakar ekonomi untuk mendengar pandangan serta mendapatkan maklum balas secara terus di peringkat bawahan.

“Sebagai contoh, KTMB mengalami kerugian dan kita mencadangkan kepada kerajaan mengkaji dan mengambil semula KTMB sebagai agensi kerajaan bagi mengelakkan ia terus mengalami kerugian.

“Kerajaan pernah bertindak sedemikian kerana sebelum ini mereka pernah mengambil alih UDA Holdings Bhd, dan disebabkan itu kita mencadangkan KTMB turut diambil semula untuk diuruskan kerajaan sepenuhnya seperti 20 tahun lalu, sebelum penswastaan dilakukan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Sementara itu, Mohamed Shafie berkata, pihaknya akan menganjurkan satu konvensyen khas 2010 pada akhir Mac depan di ibu negara untuk membincangkan pelbagai isu berhubung syarikat GLC yang bakal dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Penjawat Awam Yang Gembira Beri Hasil Terbaik : Idris Jala

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala menggesa orang ramai mengubah pandangan negatif terhadap penjawat awam bagi menjadikan penyampaian Program Transformasi Kerajaan (GTP) lebih berkesan.

Idris, yang juga ketua pegawai eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), berkata bahawa pada hari terbuka GTP yang diadakan bulan lepas, secara umumnya, komen orang ramai tentang penjawat awam amat negatif.

"Saya ingin meminta agar cakaplah benda baik-baik tentang penjawat awam apabila anda bertemu mereka. Apabila mereka rasa gembira tentang diri mereka, lama kelamaan, mereka akan beri hasil yang baik," katanya semasa memberi penerangan tentang GTP kepada orang ramai di sini.

Seramai 200 orang menghadiri majlis berkenaan bagi mengetahui dengan lebih mendalam tentang pelan hala tuju GTP yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis.

Idris berkata penjawat awam telah menunjukkan komitmen tinggi pada sesi makmal untuk mengumpul semua data yang diperlukan dalam mengenal pasti Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi GTP.

Lapan makmal berkenaan, yang bermula awal Oktober dan selesai pada pertengahan November tahun lepas melibatkan 200 penjawat awam, menghasilkan 43 Petunjuk Prestasi Utama Negara (NKPI), 104 program, 2,029 projek dan 7,307 aktiviti.

"Dalam masa enam minggu itu, mereka melaksanakan tugas dengan cukup menakjubkan," kata Idris.

-- BERNAMA

26 January 2010

Usah pertikai pengiktirafan kerajaan terhadap sumbangan polis bantuan

Berita Harian

AGAK lucu membaca surat tulisan Koperal Mohd Zamzam Abdullah di ruangan ini Jumaat lalu, sehinggakan soal warna pakaian polis bantuan yang sama dengan anggota polis biasa dijadikan agenda utama perjuangannya yang mewakili Persatuan Pegawai Rendah Polis Di Raja Malaysia.

Alasan beliau polis bantuan menyalah guna kuasa kerana warna pakaian sama. Masalah salah guna kuasa bukan bergantung kepada warna pakaian, sebaliknya kepada individu itu sendiri.

Dalam pasukan PDRM sendiri pun apa kurangnya masalah ini. Yang ditangkap kerana kes rasuah, dadah, skandal seks dan kesalahan lain, ramai juga tetapi itu individu, bukan pasukan.

Kalau Koperal Zam selalu baca akhbar dan tengok televisyen, banyak individu dalam pelbagai jabatan kerajaan, menyalah guna kuasa, dilaporkan. Dalam akhbar Berita Harian di muka depan baru-baru ini misalnya, tajuk besar melaporkan 'Pasir kita ke Kota Singa'.

Kenapa berlaku begitu? Kerana ada individu terbabit tidak jujur dan ia tidak membabitkan semua anggota jabatan berkenaan. Apa salahnya kerajaan mengiktiraf polis bantuan yang membantu polis menjaga harta kerajaan dan agensinya dengan warna pakaian sama dengan anggota biasa PDRM.

Sejarah polis bantuan membantu polis seperti yang digambarkan dalam filem Bukit Kepong agak besar juga pengorbanan mereka pada negara. Jangan nafikan sejarah itu semata-mata kerana warna pakaian sama.

Koperal jangan jadi orang yang buta sejarah. Jangan gah kerana anggota polis dianggap sebagai 'anak kandung' kerajaan dan jangan jadikan polis bantuan sebagai 'anak tiri' kerajaan.

Negara sudah lebih 50 tahun merdeka, koperal sepatutnya berfikiran terbuka. Kalau zaman penjajah dulu, polis bantuan tanpa pakaian seragam bantu polis ketika balai Bukit Kepong diserang komunis.

Itu masa orang lain memerintah negara kita. Sekarang kita sudah merdeka dan apa salahnya kerajaan mengiktiraf peranan polis bantuan dengan membenarkan warna pakaian sama.

Antaranya, di pangkal nombor polis, polis bantuan tertulis dua huruf iaitu (PB..........) tetapi polis biasa tidak. Perbezaan lain ialah logo korporat atau agensi kerajaan.

PUTERA SETIU,
Kemaman, Terengganu.

Sistem Ganjaran Dan Hukuman Untuk Penjawat Awam Mungkin Diperkenal

KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Kerajaan sedang mengkaji kemungkinan memperkenalkan sistem ganjaran dan hukuman untuk 1.2 juta penjawat awam sebagai langkah meningkatkan produktiviti dan memupuk etika kerja lebih baik, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Beliau berkata sudah tiba masanya penjawat awam dinilai dan diberi ganjaran berdasarkan prestasi masing-masing bukan diberi ganjaran secara menyeluruh seperti sekarang.

"Kami sedar bahawa bagi menjamin keberkesanan sesuatu sistem, perlu ada ganjaran dan hukuman. Setakat ini, kami melihat kepada aspek ganjaran," katanya kepada pemberita selepas berucap pada Persidangan Tinjauan Strategik Malaysia ke-12 di sini hari Selasa.

"Kini, penjawat awam yang tidak melaksanakan tugas seperti yang sepatutnya, ditempatkan dalam "pool" atau "bilik sejuk", dan menerima gaji setiap bulan, walaupun bekerja dengan tidak seberapa. Tetapi, ia memberi kesan tidak baik terhadap rekod mereka," katanya.

Beliau berkata kerajaan juga sedang mengkaji secara mendalam terhadap langkah mengguna pakai sistem ganjaran dan hukuman di bawah Program Transformasi Kerajaan (PTK), yang memasuki tahun pertama pelaksanaannya tahun ini.

"Bagaimanapun, dalam tempoh dua tahun pertama pelaksanaannya, tumpuan kami ialah bagaimana hendak menggalakkan dan memberi sokongan kepada setiap orang supaya bertugas dengan lebih baik, bukan untuk mula melaksanakan hukuman...langkah ini jauh lebih penting ketika ini," katanya.

Koh berkata kerajaan sedang meneliti model yang diguna pakai di negara lain seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada, Australia dan China tentang pelaksanaannya.

Katanya sistem mengambil dan membuang pekerja yang diguna pakai oleh sektor swasta juga diberi pertimbangan.

Koh juga berkata bahawa Khamis ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual melancarkan buku tentang Program Transformasi Kerajaan yang menampilkan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), di samping beberapa rancangan utama yang telah dan akan dilaksanakan kerajaan serta cadangan bagi menjayakan transformasi yang dimaksudkan.

-- BERNAMA

Kehilangan Enjin Jet TUDM Tiada Kaitan Pegawai Atasan - PAC

KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menutup siasatan kes kecurian enjin jet F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan memutuskan tidak ada pegawai kanan pasukan itu terlibat dalam kes berkenaan.

Pengerusi PAC Datuk Seri Azmi Khalid berkata kesimpulan itu dibuat setelah PAC mendapati tidak ada sebarang bukti yang boleh mengaitkan mana-mana pegawai kanan pasukan itu dalam kes berkenaan.

"PAC mendapati memang ada kelemahan dalaman (TUDM) berlaku tetapi kita tidak nampak ada penyelewengan di peringkat atasan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat kedua PAC dengan Kementerian Pertahanan dan TUDM berhubung kes berkenaan di Bangunan Parlimen di sini, Selasa.

Antara yang dilihat hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Abu Bakar Abdullah dan Panglima TUDM Jen Datuk Seri Rodzali Daud.

Pada mesyuarat hari ini, PAC juga mengesahkan bahawa pemecatan seorang Brigedier Jeneral tahun lepas tidak ada kena-mengena dengan kes kecurian enjin jet berkenaan.

Azmi berkata berdasarkan siasatan, kehilangan enjin jet itu bukan berlaku semasa penghantaran sebaliknya hilang dalam simpanan berdasarkan tiada rekod penghantaran keluar.

Katanya enjin jet itu didapati hilang daripada Bangunan Material Processing Shed (MATRA 1), Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi di mana kedua-dua enjin jet pejuang disimpan.

Berdasarkan itu PAC tidak menafikan kemungkinan kes itu membabitkan kecurian terancang dengan kerjasama orang dalam.

"Ini melibatkan orang yang memang berniat untuk mencuri dan telah merancang rapi, telah mengkaji kelemahan dalaman dan menggunakan kelemahan itu untuk mengeluarkan barang-barang tersebut," katanya.

Beliau berkata MATRA 1 menyimpan lebih 400 ribu alat ganti dan peralatan milik TUDM.

Bagaimanapun, katanya berdasarkan siasatan tidak ada peralatan lain yang hilang daripada tempat simpanan berkenaan.

Dalam pada itu, Azmi berkata TUDM sedang menambah baik sistem pentadbirannya termasuk sistem pengurusan asetnya.

"Kita difahamkan mereka sedang dalam proses mempertingkatkan sistem pentadbiran mereka termasuk bertukar daripada sistem manual kepada perkomputeran sepenuhnya bagi memastikan perkara seumpama ini tidak berulang lagi," katanya.

Selain itu Azmi turut menegaskan bahawa nilai enjin jet berkenaan adalah kira-kira RM300,000 setiap satu dan bukannya RM50 juta seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Media baru-baru ini melaporkan kehilangan dua enjin jet pejuang F-5E yang dikatakan hilang sejak 2007 dan dijual kepada sebuah syarikat antarabangsa luar negara.

TUDM mula mengoperasikan pesawat F-5E itu pada 1974, dan pada 1999 perkhidmatan pesawat itu ditamatkan dengan tugas sebagai pesawat tempur barisan hadapan diambil alih oleh pesawat MiG-29N dan F/A-18D.

Bagaimanapun, pada 2003 pesawat itu diaktifkan semula sebagai pesawat latihan dan tinjauan bagi menampung keperluan semasa.

Awal bulan ini, seorang anggota tentera udara berpangkat sarjan dan seorang ahli perniagaan yang juga pengarah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya berhubung kehilangan dua enjin pesawat itu.

Kerajaan kini berusaha untuk mendapatkan kembali kedua-dua enjin itu yang dikesan di Uruguay.



-- BERNAMA

Sarawak Minta JKR Bertindak Ke Atas Kontraktor Jalan Raya Abai Keselamatan Pengguna

KUCHING, 26 Jan (Bernama) -- Kerajaan Sarawak pada Selasa meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) mengambil tindakan terhadap kontraktor yang mengabaikan aspek keselamatan pengguna ketika melakukan kerja-kerja pembaikan jalan raya di negeri itu.

Menteri Kemudahan Awam negeri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata berdasarkan pemerhatiannya ramai kontraktor yang melaksanakan projek membaiki dan menaiktaraf jalan raya di negeri itu mengambil mudah aspek keselamatan dan gagal memberi amaran secukupnya kepada pengguna jalan raya.

"Saya lihat ada kontraktor tak letak papan tanda atau pagar mahupun lampu pada persekitaran jalan yang sedang dibina atau diperbesarkan bagi memberi amaran kepada pengguna jalan raya menggunakan jalan itu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen keselamatan jalan raya di sini pada Selasa.

Awang Tengah yang juga Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua berkata sikap sedemikian sudah tidak boleh diterima memandangkan ia melibatkan nyawa orang ramai.

"Di Australia misalnya walaupun ianya melibatkan pembaikan lopak kecil di jalan raya, kontraktor diarah untuk memasang pagar dan lampu dengan segera supaya pemandu mengetahui ada proses pembinaan berlaku," katanya.

Terdahulu semasa berucap merasmikan kempen tersebut, Awang Tengah berkata dalam tempoh lapan tahun sehingga tahun 2008, secara purata Sarawak mencatatkan 305 kematian akibat kemalangan jalan raya setiap tahun dan menyebabkan kerugian sekitar RM367 juta daripada segi sosio-ekonomi negeri.

"Saya dimaklumkan bahawa 45 peratus yang terkorban adalah pencari nafkah utama dalam keluarga," katanya.

-- BERNAMA