27 May 2007

Usaha membentuk guru bertaraf dunia

Berita Harian

BAGAIMANA kita mendefinisikan guru bertaraf dunia? Apakah kriteria untuk melayakkan guru untuk bergelar guru bertaraf dunia dan apa pula cabaran bakal dihadapi Malaysia dalam usaha membentuk guru bertaraf dunia?

Ini antara persoalan dan jawapannya akan terungkai menerusi satu seminar antarabangsa mengenai pendidikan guru anjuran Kementerian Pelajaran diadakan di Palace of Golden Horses, berdekatan ibu negara selama tiga hari bermula 28 Mei ini.

Bertemakan ‘Pendidikan Guru: Dulu, Kini dan Untuk Masa Depan’, seramai 600 peserta dijangka hadir terdiri daripada pensyarah institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS), guru besar dan peserta dari universiti luar negara. Ia akan dirasmikan Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Tiga kertas kerja bertajuk ‘Trend Semasa dan Cabaran dalam Pendidikan Perguruan pada abad ke-21’ oleh wakil Universiti Stanford; ‘Belajar daripada Pengalaman Jepun dalam Pendidikan Perguruan’ oleh wakil Universiti Hiroshima dan ‘Kejayaan dalam Pendidikan Perguruan di Hong Kong’ oleh wakil Institut Pendidikan Hong Kong dibentangkan.

Dua forum bertajuk ‘Mengeluarkan Guru Kelas Dunia dan Pembinaan Keupayaan di Malaysia’ serta ‘Memajukan Guru Untuk Keperluan Masa Depan Malaysia’, juga akan diadakan.

Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Guru (BPG) Kementerian Pelajaran, Datin Asariah Mior Shaharuddin, berkata Kementerian Pelajaran menyediakan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 yang antaranya menetapkan dasar memartabatkan profesion keguruan.

“Satu daripada elemen utama dalam memartabatkan profesion keguruan adalah dengan meningkatkan kualiti perguruan,” katanya.

Beliau berpendapat pendidikan guru Malaysia perlu berubah kepada satu sistem progresif, dinamik dan responsif terhadap keperluan negara.

Justeru, katanya, Bahagian Pendidikan Guru dipertanggungjawabkan untuk memastikan sistem pendidikan guru sentiasa kukuh dan bertaraf dunia.

Dalam menjayakan misi ini, Asariah berkata, kerjasama Institusi Pendidikan Guru (IPG) dengan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) luar negara menjadi agenda penting dalam membangunkan pusat kecemerlangan pendidikan guru.

No comments: