27 May 2007

Pencen ikut gaji baru -- Kenaikan turut libatkan bekas kakitangan kerajaan negeri, PBT

Utusan Online

Oleh Habibah Omar

PUTRAJAYA 22 Mei – Seramai 557,033 pesara kerajaan termasuk bekas anggota polis dan tentera bakal menikmati kenaikan pencen pada kadar yang serupa dengan kenaikan gaji kakitangan awam yang sedang berkhidmat, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.

Beliau berkata, pesara awam akan menerima kenaikan pencen antara 7.5 peratus dan 35 peratus manakala pesara polis dan tentera mendapat kenaikan antara sembilan peratus dan 42 peratus.

‘‘Kuantum ini dikira berdasarkan pencen sekarang,” katanya pada sidang akhbar di Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini. Turut hadir ialah Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam.

Akta Pencen menetapkan bahawa seseorang pesara awam layak mendapat pencen yang lebih tinggi jika kerajaan menaikkan gaji sektor awam.

Menurut Mohd. Sidek, kenaikan pencen itu juga melibatkan bekas-bekas kakitangan Kerajaan Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Ditanya mengenai implikasi kenaikan gaji dan pencen yang diumumkan kerajaan ke atas ekonomi negara, beliau berkata, kerajaan telah mengambil kira kesannya.

Mohd. Sidek meminta semua kakitangan awam dan pesara menggunakan kenaikan gaji dan pencen itu secara berhemah dan tidak berbelanja sesuka hati.

‘‘Kalau ditanya kepada jutawan pun, tentu mereka akan kata wang yang mereka ada tidak cukup.

‘‘Masa saya mula masuk kerja dulu, gaji saya cuma RM500 tapi kita semua masih kekal berkhidmat dalam kerajaan kerana kita sayangkan pekerjaan itu dan ingin berkhidmat untuk negara.

‘‘Tapi bagi diri sayalah, hidup ini bukan berdasarkan kepada apa yang kita dapat tapi berapa banyak yang kita simpan.

‘‘Kita mesti gunakan duit yang ada secara bijak untuk masa depan,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan kenaikan gaji semua kakitangan kerajaan antara 7.5 hingga 35 peratus berkuat kuasa 1 Julai ini.

Anggota polis dan tentera mendapat kenaikan gaji lebih istimewa iaitu sembilan hingga 42 peratus, iaitu 20 peratus lebih tinggi daripada peratus kenaikan gaji kakitangan awam lain.

Turut dinaikkan ialah Elaun Kos Sara Hidup (COLA) sebanyak 100 peratus bagi menampung kos hidup kakitangan awam di bandar-bandar besar selain menaikkan pencen 557,033 pesara kerajaan.

No comments: