27 May 2007

Cuepacs yakin kerajaan terima tuntutan lain

Berita Harian

SEREMBAN: Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yakin beberapa lagi tuntutan yang dikemukakannya kepada kerajaan berhubung manfaat untuk kakitangan awam, termasuk penghapusan ujian Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) akan mendapat jawapan positif.

Presidennya, Omar Osman, berkata perkara itu masih dalam pertimbangan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bersama senarai tuntutan lain seperti melanjutkan usia persaraan wajib kepada 60 tahun daripada 56 tahun sekarang.

"Cuepacs juga masih berbincang dengan kerajaan mengenai skim Faedah Pencen Bercarum (SFPB) bagi memastikan setiap kakitangan yang menyertai skim ini mendapat pulangan setimpal apabila bersara," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis perasmian mesyuarat agung Kesatuan Pekerja-Pekerja Risda Cawangan Negeri Sembilan Kali ke-22 yang disempurnakan Pengarah Risda negeri, Ka'ab Alias, di sini semalam.

Omar berkata, berdasarkan perbincangan yang diadakan sebelum ini di antara Cuepacs dan JPA, semua tuntutan itu menerima reaksi positif dan berharap keputusan yang diharapkan 1.2 juta kakitangan awam mengenai perkara itu dapat diumumkan dalam tahun ini.

Mengenai PTK, beliau berkata, pihaknya meminta JPA memansuhkannya dan digantikan dengan pendekatan pembangunan profesionalisme secara berterusan (CPD).

"Skim CPD lebih memberi peluang kepada kakitangan awam untuk kenaikan pangkat dan gaji yang lebih tinggi sesuai dengan tempoh perkhidmatan. Ia lebih adil kerana menekankan kepada pembangunan kerjaya berdasarkan tempoh perkhidmatan," katanya.

No comments: