Biro aduan Cuepacs terima ugutan
Berita Harian
KUALA LUMPUR: Biro Aduan Pengguna Cuepacs yang dilancarkan secara rasmi semalam, sudah menerima beberapa ugutan daripada pihak dipercayai peniaga yang marah dengan usaha kesatuan memerangi isu kenaikan harga barang, sejak mula beroperasi beberapa hari lalu.
Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata mereka yang membuat ugutan terbabit turut mencemuh usaha kesatuan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menangani masalah kenaikan harga barang.
Katanya, pihak yang membuat ugutan terbabit juga dengan berani mencabar kewibawaan pegawai penguat kuasa KPDNHEP dan tidak takut dengan tindakan yang diambil sekarang.
“Kita mahu beritahu mereka bahawa kita juga tidak takut dengan ugutan mereka. Kita berjanji untuk perangi habis-habisan peniaga tamak dengan meminta lebih sejuta kakitangan membantu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Biro Aduan Cuepacs oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP, Ahmad Dahuri Mahmud, di sini, semalam.
Mengenai operasi biro aduan itu, Omar berkata, ia sudah ditubuhkan beberapa hari lalu dalam usaha membantu mengatasi masalah kenaikan harga barang serta menerima banyak panggilan berhubung masalah berkenaan.
Sementara itu, beliau membidas Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk S Veerasingam yang sebelum ini dilaporkan berkata, isu kenaikan harga barang adalah tidak serius dan menyifatkan ia tidak sepatutnya dibuat seorang menteri.
“Saya menyeru semua pihak supaya turun padang, lihat sendiri masalah kenaikan harga dan beban yang terpaksa ditanggung rakyat sebelum membuat kenyataan seperti itu,” katanya.
No comments:
Post a Comment