20 February 2010

Patahiyah Dilantik YDP MPPP Berkuatkuasa 1 Mac

PULAU PINANG, 20 Feb (Bernama) -- Setiausaha Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Patahiyah Ismail dilantik sebagai Yang Dipertua (YDP) majlis itu berkuatkuasa 1 Mac ini.

Ketua Menteri Lim Guan Eng yang mengumumkan pelantikan itu hari ini berkata Patahiyah yang ketika ini memangku jawatan YDP majlis itu adalah wanita pertama di negara ini dilantik menerajui pihak berkuasa tempatan.

"Selepas persaraan Tan Cheng Chui sebagai YDP MPPP, Patahiyah dilantik memangku jawatan itu dan beliau telah menunjukkan prestasi memuaskan," katanya kepada pemberita di sini.

Tan, 54, memutuskan untuk bersara awal atas sebab kesihatan.

Patahiyah mengambil alih jawatan setiausaha MPPP pada Jun lepas selepas Tan, yang sebelum itu menyandang jawatan tersebut dilantik sebagai Yang Dipertua.

Beliau menyertai MPPP sebagai seorang arkitek di Jabatan Bangunan pada 1985.

-- BERNAMA

Sesi 'pitching' beri pembekal hak sama rata

KEMENTERIAN Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) sudah beberapa kali membuat perubahan dalam kaedah perolehan bagi mengisi keperluan siaran RTM. Perubahan yang dilakukan berdasarkan penambahbaikan bagi mencari kaedah terbaik dalam mengisi keperluan RTM di samping memenuhi kepuasan hati pihak pembekal.

Pitching adalah proses perolehan yang dilaksana oleh Kementerian bertujuan menyenarai pendek cadangan penerbitan rancangan (proposal) berdasarkan keperluan dan kehendak siaran. Penilaian dibuat berdasarkan kepada persembahan dan sinopsis sesuatu rancangan. Proses ini adalah satu kaedah profesional.

Pitching untuk keperluan siaran dari September 2009 hingga Oktober 2010 telah dilaksanakan pada 14 September 2009 hingga 20 Oktober 2009. Pengumuman keputusan sesi pitching sudah diumumkan menerusi laman sesawang Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) pada 21 Januari 2010.

Sebanyak 510 syarikat berdaftar dengan KPKK, hanya sejumlah 298 syarikat/penerbit yang berminat membida dan menghadiri sesi pitching di mana sebanyak 3,040 jumlah pelbagai genre/kategori dibentangkan.

Kaedah pitching adalah proses terbaik yang pernah dilaksanakan oleh Kementerian di mana ia memberi peluang sama rata kepada semua pembekal (yang berdaftar dengan KPKK saja) dalam membida perbekalan rancangan di RTM. Pemilihan dibuat berdasarkan kepada pemarkahan yang diberi secara telus oleh panel yang dilantik khas oleh KPKK dari pelbagai agensi di bawahnya.

Adalah sukar bagi pihak RTM dalam memenuhi setiap kehendak penerbit dalam membekalkan rancangan di RTM. Hanya mereka yang benar-benar berwibawa dan berjaya meyakinkan panel semasa sesi pitching saja dipilih bagi mengisi keperluan siaran. Justeru, tidak timbul isu agihan jam yang tidak seimbang kerana hanya mereka yang benar-benar layak saja dipilih. Kaedah perolehan rancangan yang dilaksana oleh RTM adalah tertakluk kepada tatacara dan peraturan Perbendaharaan Malaysia. Kaedah ini tidak sama dengan perolehan yang dibuat oleh stesen swasta.

Tiga syarikat yang disebut dalam artikel HIP bertarikh 10 Februari 2010 itu, berurusan dengan RTM secara kontrak dalam pembekalan rancangan swasta tempatan dan rancangan luar negara (syndicated) mematuhi peraturan perolehan kerajaan dan mendapat kelulusan Kementerian Kewangan. Mereka mampu menawarkan harga berpatutan dan menyediakan filem blockbuster yang memberi rating yang tinggi.

RTM bertanggungjawab dalam membangunkan industri kreatif negara dalam menyahut seruan Gagasan 1Malaysia.

DATUK IBRAHIM YAHAYA,
Ketua Pengarah Penyiaran,
Jabatan Penyiaran Malaysia.

17 February 2010

Wajarkah Polis Marin diketepi?

Utusan Online

Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bahawa kerajaan akan menyerapkan aset Polis Marin dan Jabatan Perikanan ke dalam Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM) untuk mengelak pertindihan pelaksanaan tugas dan untuk menjadikan APMM sebagai agensi maritim yang tunggal, amat mengelirukan.

APMM hanya ditubuhkan dalam tahun 2005 sebagai agensi maritim ala Coast Guard (Pengawal Pantai) seperti di Amerika Syarikat dan lain-lain negara yang tidak mempunyai polis kebangsaan.

Justeru bagaimana sebuah badan penguatkuasa yang berasaskan penugasan tentera laut yang baru sahaja ditubuhkan wajar mengambil alih penugasan dan aset pasukan Polis Marin, yang telah wujud lebih dari 60 tahun? Ia menimbulkan pelbagai tanda tanya di kalangan pesara polis yang bimbang tindakan ini akan melemahkan pasukan, justeru boleh menjejaskan pengawalan keselamatan dalam negara.

Polis Marin bukan sahaja di antara beberapa cawangan dalam Polis DiRaja Malaysia (PDRM) tetapi adalah keperluan operasional PDRM untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya seperti yang termaktub dalam Seksyen 3 Akta Polis 1967.

Polis Marin sedia mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam bidang penugasannya. Ini sehaluan dengan matlamat PDRM ia itu mengesan, menyiasat kejadian kejadian jenayah, mengawal dan menjaga ketenteraman awam, menangkap dan mendakwa pesalah di bawah undang undang yang memberinya kuasa, mencari dan mendapatkan bahan-bahan risikan mengenai ancaman kepada keselamatan negara.

Jika penyerapan ini berlaku bermakna PDRM akan hilang sebahagian daripada cawangan yang penting dan boleh juga menjejaskan kekesanan pelaksanaan tugas PDRM keseluruhannya.

APMM berasaskan ketenteraan laut, walhal Polis Marin penugasan kepolisan. Kedua-dua tugas ini jauh berbeza dan boleh juga bercanggah antara satu sama lain. Begitu juga akan berlaku kepada pegawai dan anggota, khususnya APMM yang berasal dari Tentera Laut.

Jenayah yang berlaku di laut sering bermula dan berakhir di darat. Bagi Polis Marin, mereka adalah sebahagian daripada PDRM dan mudah mendapat maklumat serta pelbagai kerjasama daripada rakan rakan di Ibu Pejabat Kontinjen Polis, Ibu Pejabat Polis Daerah dan di balai-balai polis.

APMM akan mengambil masa lama bukan sahaja untuk memahami selok belok perlakuan jenayah yang menggunakan laut sebagai kawasan kegiatan mereka, tetapi juga akan mengambil lebih lama dalam mengumpul data dan pengalaman bagi memastikan tugas dan tanggungjawab yang baru dapat dilaksanakan dengan berkesan.

PDRM masih memerlukan satu cawangan untuk penugasan di perairan. Jika aset mereka diserapkan kepada APMM, PDRM mungkin akan mencari dan mendapatkan aset serta keanggotaan baru. Sudah tentu ini semua akan menimbulkan kesulitan dan merumitkan segala usaha untuk mencegah jenayah, apatah lagi dalam mengawal ancaman kepada keselamatan negara.

Perlukah membuat perubahan yang tidak akan menguntungkan? Jika penyerapan yang dicadangkan ini adalah dari satu pasukan yang kurang mantap kepada yang lebih mantap, sudah tentu satu perkara yang baik. Tetapi APMM tidak mempunyai pengalaman yang luas dalam pengawasan, pengawalan dan pencegahan jenayah dan tidak mempunyai back-up yang matang.

Diharap pucuk kepimpinan PDRM dan Kementerian Dalam Negari prihatin dengan senario pengawalan jenayah pelbagai bentuk dari pandangan yang lebih luas. Ini kerana kemungkinan akan timbul kesan negatif.

Seperti yang dijelaskan ketika ditubuhkan, APMM seharusnya bertanggung jawab di kawasan perairan melebehi 12 batu dari pantai. Tidak perlu mengganggu pelaksanaan tugas dan tanggung jawab PDRM, sebaliknya ia wajar lebih diperkemaskan. Negara masih memerlukan Polis Marin.

Perbesarkanlah APMM tetapi jangan sentuh hak PDRM. Wujudkan sistem kerjasama ke arah pencapaian hasil kerja yang lebih bermakna.

Zulkifli Abdul Rahman

Shah Alam, Selangor

Kementerian jelaskan pelantikan guru besar

Utusan Online

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada Surat MIDMAN, Gua Musang, Kelantan dalam ruangan ini pada 1 Februari 2010 bertajuk 'Teliti laluan jadi Guru Besar'.

Untuk makluman penulis, semua jawatan Guru Besar di sekolah rendah merupakan jawatan-jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) Gred DGA32 dan DGA34. Memandangkan ia adalah jawatan-jawatan kenaikan pangkat bagi PPPLD, maka seharusnya keutamaan di beri kepada PPPLD yang layak dan telah diluluskan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pelajaran (LKPPP) bagi pemangkuan dari Gred DGA29 ke Gred DGA32 dan dari Gred DGA32 ke DGA34 untuk mengisi kekosongan yang berlaku.

Walau bagaimanapun, terdapat Guru Besar yang telah melanjutkan pelajaran secara PJJ bagi mendapatkan Ijazah pertama. Mereka ini telah dikekalkan sebagai Guru Besar di sekolah asal secara Khas Untuk Penyandang (KUP) setelah pelantikan sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) Gred DG41. Keputusan pengekalan ini adalah sejajar dengan matlamat Kementerian untuk meneruskan kesinambungan kepakaran dan kepimpinan mereka di sekolah rendah.

Oleh yang demikian, Guru-Guru Penolong yang telah dilantik sebagai PPPS Gred DG41 adalah tidak layak untuk mengisi jawatan Guru Besar yang dinyatakan seperti di atas dan kerana tidak lagi berada di dalam skim perkhidmatan PPPLD bagi membolehkan dipertimbangkan mengisi jawatan guru Besar Gred DGA32/DGA34 di sekolah rendah.

Walau bagaimanapun, selaras dengan pelaksanaan Dasar Pensiswazahan yang mana KPM berhasrat untuk mempunyai 50% guru-guru di sekolah rendah terdiri daripada guru siswazah, pihak KPM sedang menjalankan kajian Model Perjawatan Sekolah Rendah dengan mengambilkira isu-isu perjawatan dan penambahbaikan laluan kerjaya Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di sekolah rendah.

Cadangan Model Perjawatan ini akan mengambil masa kerana memerlukan kajian dan penelitian yang mendalam. Oleh itu cadangan ini dijangka akan dapat dikemukakan kepada Agensi Pusat selewat-lewatnya pada penghujung tahun ini.

SOLIHAN BADRI

Unit Komunikasi Korporat

Kementerian Pelajaran Malaysia

NUTP Mahu Kursus BTN Bagi Membolehkan Guru Nikmati Anjakan Gaji

KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mahu Biro Tatanegara (BTN) segera mengadakan kursus kenegaraan kepada para guru bagi sesi 2010 untuk membolehkan mereka menikmati anjakan gaji.

Setiausaha Agung NUTP Lok Yim Pheng mendakwa beliau dimaklumkan oleh Kementerian Pelajaran bahawa tiada lagi kursus BTN dianjurkan khusus untuk para guru selepas kali terakhir ia diadakan pada penghujung tahun lalu kerana kekurangan peruntukan.

NUTP mahu pihak berkenaan mengkaji semula penganjuran kursus berkenaan demi menjaga kebajikan guru di negara ini yang mahukan pengesahan jawatan.

"Guru-guru tidak berpuas hati dan marah kerana satu daripada syarat untuk disahkan dalam jawatan adalah wajib menghadiri dan lulus kursus BTN.

"Kumpulan guru yang lulus PTK Aras 4 juga tidak dapat menikmati anjakan gaji kerana mereka tidak diberi peluang menghadiri kursus itu sedangkan pengesahan jawatan adalah amat penting kepada mereka," dakwanya ketika dihubungi Bernama di sini Rabu.



-- BERNAMA

16 February 2010

Lebih 40 jabatan tak bayar elaun kerja lebih masa

Berita Harian

KUALA LUMPUR: Kira-kira 50,000 kakitangan sektor awam kumpulan sokongan tidak akan melakukan kerja lebih masa bermula minggu depan kerana mendakwa elaun kerja lebih masa mereka kini digantikan dengan cuti rehat.

Sambil menyifatkan ia bukan ugutan, Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata kesatuan juga tidak membuat dakwaan 'kosong' sebaliknya menerima banyak aduan sejak tiga bulan lalu.

Omar berkata, walaupun cuti rehat itu salah satu usaha jabatan untuk mengurangkan beban kewangan kerajaan, langkah berkenaan boleh memberi kesan negatif bukan saja kepada kakitangan awam terbabit, malah boleh menjejaskan sistem penyampaian kerajaan.

Beliau mendakwa aduan diterimanya daripada ahli kesatuan mendapati lebih 40 jabatan sudah tidak membayar elaun lebih masa sejak tiga bulan lalu, sebaliknya menggalakkan mereka menggantikannya dengan cuti rehat.

"Bukan itu saja, Cuepacs juga menerima aduan daripada ahli bahawa pekerja yang enggan melakukan kerja lebih masa diugut ketua jabatan masing-masing akan dikenakan tindakan tatatertib kerana ingkar arahan.

"Kita melihat tindakan ini amat keterlaluan. Anggota sektor awam sentiasa berdedikasi untuk berkhidmat tetapi pada masa sama, pendapatan (bayaran lebih masa) mereka tidak seharusnya disekat kerana mereka bukannya berpendapatan tinggi.

"Kongres Cuepacs akan diadakan 25 Februari ini bagi membincangkan isu pembayaran kerja lebih masa," katanya ketika dihubungi, semalam.

Minggu lalu, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam berkata kerajaan tidak mengeluarkan sebarang arahan rasmi menghalang pembayaran elaun lebih masa kepada jabatan kerajaan.

Saran Bahagian Farmasi Kementerian Kesihatan dirombak

Utusan Online

MENDAPATKAN bekalan ubat daripada kaunter beberapa hospital dan klinik kerajaan di Lembah Klang sangat menyusahkan. Mula-mula kena berbaris panjang, menunggu lama, bila sampai giliran tidak dapat ubat yang diharapkan. Ubat yang diberi tidak cukup kualitinya.

Katanya stok tidak ada, tunggu minggu depan, minggu depan telefon masih tidak ada. Kita tanya bila sampai, jawabnya tunggu sahajalah.

Saya tidak mahu sebut nama hospital dan klinik tersebut nanti kakitangan di situ kena marah dengan bos pula. Sebabnya bos hanya tahu marah sahaja, tetapi tidak selesaikan atau buat tindakan menyelesaikannya untuk jangka panjang.

Jadi yang salah siapa, yang bertanggungjawab siapa pula.

Kalau tidak silap saya sudah beberapa kali orang tulis dalam ruangan Forum ini, tetapi tidak ada perubahan ketara yang dapat dilihat.

Di ruang hadapan kaunter farmasi ditulis dengan besar perkataan Piagam Pelanggan, pesakit akan dilayan dalam tempoh 30 minit. Kalau kita amati betul-betul mana ada masa dalam 30 minit.

Lebih ramai pesakit yang dilayan melebihi 30 minit. 30 minit itu hanya mainan di atas kertas sahaja.

Mungkin itu perhiasan sahaja. Ubat yang diberi pula tidak cukup. Saya tidak tahu bagaimana mereka mengira. Lepas itu disuruh tunggu minggu depan. Kalau minggu depan ada, tak apa juga. Ini minggu depan pun tidak ada ubat itu.

Sebagai rakyat biasa, saya ingin tahu bagaimana Kementerian Kesihatan melihat perkara ini. Dasar dan polisi yang ada itu tidakkah disemak dari semasa ke semasa?

Orang yang menyediakan dasar di bahagian farmasi, di peringkat Kementerian masihkah orang yang sama dari dahulu?

Kalau masih orang yang sama mengapa tidak diganti dengan orang lain supaya ada idea baru.

Orang baru mungkin boleh diambil daripada negeri, daerah atau institusi bagi mengganti orang yang sudah lama di Bahagian Farmasi Kementerian Kesihatan.

Ini bertujuan, supaya ada idea baru dibawa masuk ke Bahagian Farmasi Kementerian Kesihatan bagi menjamin kemajuan perkhidmatan di masa hadapan. Saya rasa ramai cerdik pandai bidang farmasi yang ada di peringkat negeri, daerah ataupun institusi. Pilih yang ada pengalaman dan ilmu yang tinggi. Sebagai contoh individu Farmasi yang berkelulusan PhD.

Mengapa mereka ini tidak diberi peluang mentadbir Bahagian Farmasi Kementerian Kesihatan. Saya rasa jumlah mereka ini ramai. Bahagian Farmasi Kementerian Kesihatan adalah satu bidang teknikal, seharusnya pengarah-pengarahnya biarlah yang tinggi ilmunya.

Kerajaan telah melatih ramai pegawai Farmasi mendapatkan PhD. Mengapa mereka ini tidak digunakan dengan sepenuhnya.

Apabila kerumitan timbul untuk mendapatkan ubat di hospital dan klinik kesihatan ini memberi peluang kepada penjual ubat haram yang berleluasa pada masa ini untuk mengaut keuntungan.

Ditambah pula dengan bahagian kuatkuasa ubat yang lemah maka keadaan menjadi lebih teruk lagi. Walau apa alasan yang diberi inilah urutan rantai isu tersebut.

Saranan saya supaya ada individu baru menerajui semua bahagian penting dalam Bahagian Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia supaya ada pandangan kedua (second opinion) demi memajukan serta memberikan perkhidmatan farmasi kepada orang ramai.

DR. ALIAS ASHRAF

Petaling Jaya