Cuepacs yakin Bajet 2009 ada bonus
Berita Harian
Wang sagu hati ringan beban kakitangan: Omar
KUALA LUMPUR: Cuepacs yang mewakili hampir 1.2 juta anggota sektor awam di negara ini yakin kerajaan akan mengumumkan bayaran bonus kepada kakitangannya ketika membentangkan Bajet 2009 pada 29 Ogos ini.
Presidennya, Omar Osman, bagaimanapun berkata, kesatuan tidak berniat menekan atau mendesak kerajaan dalam hal itu tetapi percaya pembayaran bonus dapat membantu kakitangan kerajaan yang berpendapatan rendah.
Katanya, kerajaan ketika ini masih belum memberi kata putus berhubung perkara itu dan ia masih di peringkat pertimbangan.
"Cuepacs amat berharap, kerajaan akan mengumumkan pembayaran bonus kepada anggota sektor awam ketika membentangkan Bajet pada 29 Ogos ini," katanya kepada Berita Harian, semalam.
Bulan lalu, Omar berkata, kerajaan sedang menimbang tuntutan Cuepacs untuk pemberian bonus kepada kakitangan bagi tahun ini serta penyelarasan elaun kos sara hidup (Cola) kepada RM500 sebulan.
Katanya, perkara itu dinyatakan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, dalam surat maklum balas kepada kesatuan itu.
Tahun lalu, kerajaan menolak tuntutan Cuepacs untuk pemberian honorarium sebanyak RM2,000 kepada setiap kakitangan kerajaan bagi menggantikan bonus berikutan kenaikan gaji sektor awam antara 7.5 dan 35 peratus.