29 May 2007

29/05: Keadilan akan perkenal gaji minimum RM1000 kepada semua pekerja

Oleh Zulkifli Mohamed

SEREMBAN: KeADILan akan memperkenalkan kadar gaji minimum kepada golongan pekerja di sektor awam mahupun swasta, sekurang-kurangnya pada kadar RM1000 sebulan, sekiranya parti itu diberi mandat membentuk kerajaan baru selepas pilihan raya nanti.

“KeADILan juga berazam akan menyediakan kesihatan percuma kepada semua golongan pekerja dalam sebarang kes kesihatan, pengecualian kos pendidikan kepada anak pekerja yang berpendapatan rendah,menyediakan rumah mampu milik dan faedah-faedah lain yang memberi manfaat kepada para pekerja.

“Kita juga akan mengkaji semula kadar dan sistem percukaian terutama cukai pendapatan individu.”

Ketika menyampaikan Ucapan Dasar sempena Kongres Nasional ke-4, di Sekolah Tinggi Chung Hwa, dekat sini, pagi ini, Presiden Keadilan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata golongan pekerja juga akan digalak menubuhkan kesatuan bagi membolehkan mereka menuntut kebajikan yang sah termasuk hak mendapatkan kemahiran tinggi daripada para majikan.

“Masih banyak ruang dan lompang kelemahan yang harus diperbaiki dalam usaha membela nasib dan memberi keselesaan kepada golongan ini,” ujarnya.

Dengan tema ucapannya, ‘Mari Menuju Kejayaan’ Azizah berkata tindakan kerajaan menaikkan gaji kakitangan awam sehingga 35 peratus, adalah petanda cukup jelas pilihan raya umum ke-12 begitu hampir.

No comments: