01 June 2007

166 kakitangan KBS naik pangkat

Utusan Online

PUTRAJAYA 31 Mei – Kira-kira 166 pegawai dan kakitangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bakal menikmati kenaikan pangkat dalam usaha kementerian memperkasa program belia di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, sebanyak 300 jawatan baru juga akan diwujudkan dalam usaha menambah baik program belia sedia ada.

Menurut beliau, kenaikan pangkat dan jawatan baru itu diharap menjadi penanda arah oleh setiap warga kerja kementerian supaya berusaha meningkatkan kualiti kerja masing-masing.

“Selain kenaikan pangkat dan jawatan baru ini, semua kakitangan kementerian juga ditawarkan kenaikan gaji seperti yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini.

“Segala ganjaran yang diberikan oleh kerajaan pada hari ini perlu dihargai oleh setiap kakitangan kementerian dan sebagai balasannya, mereka harus bekerja lebih keras untuk mencapai visi kerajaan agar berkhidmat lebih cemerlang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan cemerlang 2006 kepada 184 kakitangan dan pegawai Kementerian Belia dan Sukan di sini, hari ini.

Menurut Azalina, setiap kakitangan perlu menunjukkan komitmen yang tinggi dengan memastikan setiap program Rakan Muda yang dianjurkan mencapai objektifnya.

“Perlu diingat, kecemerlangan sesebuah organisasi itu bergantung kepada tahap disiplin kakitangannya, jika setiap kakitangan mempunyai disiplin yang tinggi, maka setiap program atau kerjanya pasti berkualiti,” jelasnya.

Selain itu, menurut Azalina, bagi mengukuhkan lagi organisasi kementeriannya, beberapa bahagian baru diwujudkan antaranya Bahagian Kewangan dan Pembangunan, Bahagian Teknologi Maklumat, Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik serta cawangan Rakan Muda di Jabatan Belia dan Sukan di setiap negeri.

“Kita juga menaik taraf gred bagi jawatan Pegawai Belia dan Sukan daripada Gred S27 kepada Gred S41, S38 dan S32,” katanya.

No comments: