27 May 2007

Kesatuan agensi tuntut naik gaji


Pekerja KWSP, Perkeso mahu dapat hak sama

KUALA LUMPUR: Majlis Bersama Kesatuan Agensi Yang Diasingkan mahu majikan mereka menyelaras dan membuat semakan gaji kakitangan berikutan kenaikan gaji sektor awam mulai 1 Julai ini.

Mereka berpendapat, kakitangan agensi berkenaan perlu mendapat faedah sama dengan perkhidmatan awam berikutan peningkatan kos sara hidup terutama di bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Georgetown.

Pengerusinya, Mohd Noor Abdullah berkata, ada beberapa agensi yang belum mendapat penyelarasan gaji dan ada yang tertunggak lebih 10 tahun.

Katanya, majikan juga perlu memberikan kenaikan 100 peratus Bantuan Sara Hidup (Cola) seperti dinikmati sektor awam.

“Kita akui agensi ini diasingkan daripada perkhidmatan awam, namun tangga gaji dan imbuhan yang diterima kakitangan awam masih menjadi kayu pengukur untuk menentukan gaji oleh majikan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian semalam.

Majlis Bersama Kesatuan Agensi yang diasingkan mewakili kakitangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Lebih sejuta kakitangan awam akan menikmati kenaikan gaji di antara 7.5 hingga 35 peratus, manakala kadar Cola dinaikkan 100 peratus berkuat kuasa 1 Julai ini.

Polis dan tentera pula mendapat tambahan 20 peratus lagi daripada peratusan kenaikan gaji yang diumumkan itu, menyebabkan pasukan itu menerima kenaikan gaji sembilan hingga 42 peratus.

Turut menikmati kenaikan ialah 557,033 pesara kerajaan selepas semakan gaji kakitangan awam terakhir dibuat pada 1992

Mohd Noor yang juga Presiden Kesatuan Kakitangan Perkeso berkata, ketika ini beberapa agensi memang sudah mendapat penyelarasan gaji bermula tahun lalu dan awal tahun ini, namun kadarnya lebih rendah berbanding kakitangan awam.

Katanya, tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan semua agensi yang diasingkan diberikan kuasa menentukan kenaikan gaji berdasarkan prestasi agensi.

“Ada antara agensi mencatatkan prestasi membanggakan tetapi gaji kakitangan tidak berubah sejak diasingkan pada 1993,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Kesatuan Sekerja Lembaga Tabung Haji, Mazlan Mohd Zin berkata, kakitangan sudah menerima penyelarasan gaji awal tahun ini namun mahu kadar Cola dinaikkan seperti kakitangan awam.

Katanya, kesatuan sedang menyediakan kertas kerja dan mengkaji Cola yang diterima kakitangan awam seperti yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.

“Cola perlu dinaikkan kerana kos hidup terutama di bandar besar semakin meningkat,” katanya.

No comments: