28 May 2007

Jurutera, arkitek JKR boleh keluar surat perakuan

Berita Harian

KUALA LUMPUR: Jurutera dan arkitek Jabatan Kerja Raya (JKR) mempunyai kelayakan profesional mengeluarkan surat perakuan bagi membolehkan bangunan kerajaan diduduki.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting, berkata secara prinsipnya, mereka dengan kelayakan profesionalnya boleh membuat perakuan sendiri sebagai pengesahan bagi sesuatu bangunan kerajaan digunakan.

“Setahu saya, jika sesuatu bangunan kerajaan dan direka bentuk serta dipertanggungjawabkan kepada JKR, mereka mempunyai prinsip mengesah dan memperakukan sendiri dan memaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Sebenarnya saya belum mendapat laporan kerana mahkamah berkenaan adalah dalam kawasan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Wilayah Persekutuan. Saya hanya beri pengetahuan secara umum, elok perkara ini dapatkan penjelasan daripada pihak berkaitan,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) di Wisma MCA, di sini, semalam.

Ong mengulas mengenai laporan akhbar bahawa kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bernilai RM270 juta yang mengalami keretakan dinding, kebocoran paip serta siling runtuh selepas tiga minggu beroperasi, tidak mempunyai sijil layak menduduki (CF).

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ab Hakim Borhan, berkata DBKL tidak ada menerima sebarang permohonan berhubung Sijil Layak Menduduki (CF) kompleks di Jalan Duta itu.

Minggu lalu, kafeteria di kompleks berkenaan, digenangi air sehingga paras buku lali akibat kebocoran paip di bilik penyelenggaraan bersebelahan tandas wanita dan satu lagi di lokap Mahkamah Sesyen Satu dan Dua di Aras Empat.

Kenyataan JKR yang dilaporkan media sebelum ini menjelaskan kebocoran itu berpunca daripada penutup sambungan paip pecah dan terpaksa ditukar dengan bahan spesifikasi asal.

Selain itu, Ong tidak dapat mengesahkan sama ada bangunan berkenaan memperoleh CF atau sebaliknya.

“Jika bangunan kerajaan dibina di bandar raya ini, kena dapatkan perintah pembangunan (DO) yang dikeluarkan PBT dan dalam kes ini ialah DBKL.

“Namun, saya tidak boleh mengesahkan (sama ada bangunan mahkamah ada CF) kerana saya tidak ada laporan mengenainya,” katanya.

No comments: