15 January 2009

1,700 Jawatan Baru Di Jabatan Bomba Tahun Ini

SEREMBAN, 15 Jan (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) mewujudkan sebanyak 1,700 jawatan baru pelbagai gred pada tahun ini dalam usaha meningkatkan lagi keberkesanan perkhidmatannya, kata Ketua Pengarahnya Datuk Hamzah Abu Bakar.

Beliau berkata jawatan baru yang diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu merupakan salah satu langkah untuk menstruktur semula JBP, selaras dengan keperluan semasa.

"Dengan adanya tambahan jawatan baru ini, kita juga berharap dapat mempergiatkan lagi kempen mencegah kebakaran dan penguatkuasaan, ke arah mencapai sasaran mengurangkan risiko kebakaran di bangunan, premis dan tempat kediaman di seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar pengawasan dan keselamatan kebakaran di bangunan di sini, hari ini.

Katanya pengambilan pegawai dan anggota baru ini di bahagikan kepada dua peringkat di mana peringkat pertama adalah untuk memenuhi jawatan di ibu pejabat JBP Putrajaya dan balai manakala peringkat kedua di zon dan ibu pejabat JBP di setiap negeri.

Sementara itu, Hamzah berkata setakat ini JBP telah membelanjakan 75 peratus daripada RM1.5 bilion peruntukan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Beliau berkata JBP juga akan membeli dua buah lagi helikopter jenis Agusta buatan Itali, penambahan kepada enam sedia ada.

"Kita kini sedang menunggu penyerahan dua buah helikopter itu pada hujung tahun ini atau awal tahun depan.

Seminar sehari diikuti 370 peserta itu antara lain bertujuan meningkatkan kefahaman dan kesedaran masyarakat dan pihak bertanggungjawab mengenai keselamatan kebakaran di sesuatu premis.

-- BERNAMAb

Perkhidmatan Awam Sentiasa Kaji Budaya Bermesyuarat

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Perkhidmatan awam akan sentiasa mengkaji budaya mengadakan mesyuarat agar ia tidak kaunter-produktif, kata Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam hari ini.

Beliau memberitahu Bernama arahan tetap telah dikeluarkan kepada semua ketua jabatan dan kementerian supaya sentiasa memantau jumlah mesyuarat yang diadakan.

Ismail berkata JPA memberikan ketua-ketua jabatan budibicara mutlak dalam menentukan jenis, tempoh dan kekerapan mesyuarat.

Beliau mengulas gesaan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan semalam kepada ketua-ketua jabatan dan pegawai daerah supaya mengurangkan masa untuk menghadiri mesyuarat.

Menurut Mohamad Hasan purata seseorang pegawai daerah mempengerusikan kira-kira 78 jawatankuasa.

"Bila terlalu banyak mesyuarat, bila masanya pegawai itu dapat berkhidmat kepada orang ramai?," tanya beliau.

Bagaimanapun, kata Ismail JPA menggalakkan mesyuarat yang bertujuan mencari cara dan jalan mempertingkat produktiviti dan menambah baik sistem penyampaian.

Sementara itu, Cuepacs, yang menaungi kesatuan-kesatuan sekerja perkhidmatan awam, bersependapat bahawa terlalu banyak mesyuarat diadakan oleh kakitangan awam terutama pembuat keputusan.

Setiausaha agungnya, Ahmad Shah Mohd.Zin mencadangkan agar mesyuarat dihadkan kepada dua seminggu -- pada Isnin dan Jumaat -- bagi memberi lebih banyak masa kepada pegawai-pegawai melaksanakan tugas untuk pelanggan.

Ahmad Shah juga mencadangkan pegawai-pegawai itu menggunakan sepenuhnya alat kemudahan Maklumat dan Teknologi bagi mempertingkat prestasi mereka dan mengelakkan keperluan bermesyuarat.

Beliau berkata kakitangan dalam perkhidmatan sokongan seperti kerani dan penyelia selalu menjadi sasaran awam bila kelewatan berlaku, kerana pembuat keputusan sering sibuk menghadiri mesyuarat.

Bagi mengatasi perkara ini, beliau mencadangkan jabatan melantik kakitangan tertentu untuk membantu menjalankan tugas bila pegawai berkenaan menghadiri mesyuarat agar sistem penyampaian tidak terjejas.

-- BERNAMA

Kakitangan awam dilarang sertai skim cepat kaya

KUALA LUMPUR: Kerajaan melarang pembabitan kakitangan awam dalam skim cepat kaya, sama ada sebagai penganjur, pengantara atau pelabur selepas mendapati kegiatan itu menjejaskan imej perkhidmatan awam.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, mengumumkan keputusan kerajaan itu menerusi Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 kelmarin selepas mengesan ramai anggota perkhidmatan awam terbabit dalam kegiatan itu.

Beliau berkata, larangan ini berkuat kuasa kelmarin bagi menjaga imej perkhidmatan awam dan semua kakitangan awam dikehendaki menghentikan pembabitan mereka serta-merta.

"Ketika ini, kerajaan mendapati ramai kakitangan awam terbabit dalam skim cepat kaya sama ada secara langsung atau tidak hingga menjejaskan imej perkhidmatan awam.

"Selain itu, pengendali skim cepat kaya juga didapati mengeksploitasi pembabitan kakitangan awam bagi memberi gambaran seolah-olah skim itu diluluskan kerajaan untuk menarik pelabur lain.

"Gejala tidak sihat ini juga boleh menyebabkan kakitangan terbabit terjebak dalam masalah kewangan, kekeluargaan dan kemasyarakatan serta akhirnya menjejaskan prestasi pegawai selaku penjawat awam," katanya dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 2009 di sini, semalam.

Ismail berkata, berikutan larangan itu, kakitangan awam yang dikesan terbabit dalam kegiatan itu akan dikenakan tindakan tatatertib kerana bersubahat dengan penganjur atau pengantara skim berkenaan.

Beliau berkata, tindakan terhadap kakitangan mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 atau peraturan lain yang berkuat kuasa.

13 January 2009

Skim gaji pensyarah IPTA tak berbaloi

Berita Harian

HASRAT kerajaan memanggil balik tenaga pakar dari luar negara untuk diberikan insentif kepulangan bagi membolehkan mereka berkhidmat di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seperti diumumkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mungkin ada rasionalnya tersendiri.

Namun, biarlah selepas kebajikan kakitangan dan isu dalaman IPTA membabitkan kakitangan termasuk gaji diberikan perhatian.

Sebagai contoh, isu peluang kenaikan pangkat pensyarah universiti yang berkhidmat lebih 20 tahun pada gred DS45, tetapi tidak dilantik ke gred jawatan lebih tinggi masih berterusan, sedangkan jawatan Pendaftar di IPTA mempunyai peluang kenaikan pangkat ke gred N44, N48, N52 dan N54.

Bahkan, rakan pensyarah di institut pendidikan guru (IPG) pun mempunyai peluang kenaikan gaji lebih baik iaitu ke gred 44 sekiranya memiliki ijazah sarjana dan seterusnya ke gred 48, 52, dan 54 secara kenaikan automatik seperti diumumkan kementerian.

Begitu juga guru di sekolah, ramai yang berpeluang menikmati kenaikan pangkat ke DG44, DG48, DG52, DG54 bahkan ke taraf Jawatan Utama Sektor Awam (Jusa) mengikut kekananan dan pencapaian mereka.

Anehnya, mengikut pekeliling UKM (S)3.6/145/2/4 Jld 5 bertarikh 26 Februari 2007, sebenarnya hanya mensyaratkan (a) sah dalam jawatan dan berkhidmat selama tiga tahun; (b) lulus Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) 3 dan atau PTK4; (c) seorang tenaga pengajar yang baik, berpotensi atau mencapai tahap kecemerlangan akademik munasabah yang ditetapkan dan (d) mendapat sokongan Dekan/Ketua Jabatan, sedangkan ada universiti mensyaratkan memiliki ijazah kedoktoran untuk kenaikan pangkat Pensyarah Kanan gred DS52.

Isu di atas tidak terhenti begitu saja. Gaji yang diterima Pensyarah Kanan (DS52) IPTA yang dilantik adalah jauh lebih rendah daripada gaji guru di sekolah.

Mengikut 'Indeks Skim Perkhidmatan Sistem Saraan Baru (SSB) Kepada Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), pensyarah universiti dan guru sekolah sebenarnya berada dalam klasifikasi perkhidmatan sama iaitu Skim Perkhidmatan Pendidikan dengan awalan gred berbeza bagi membezakan perkhidmatan seperti DS, DU, DM, DG dan DGA.

Cuma pensyarah berada dalam bidang yang disebut Bidang Pendidikan Tinggi, manakala guru berada dalam Bidang Pendidikan Sekolah.

Ironinya, mengikut Pekeliling JPA yang berkuat kuasa 1 Julai 2007 dengan jelas mencatatkan Gred DG52 pengetua di sekolah bermula dengan tangga gaji P1T1 RM4,900.47 sedangkan pensyarah kanan universiti gred sama (DS52) diberikan gaji jauh lebih rendah iaitu P1T1 RM4,573.14.

Sebagai contoh, Universiti Putra Malaysia menawarkan gaji Pensyarah Kanan gred DS52 dengan tangga gaji permulaan P1T1 RM4,573.14. Ia agak menghairankan kerana pensyarah dan guru berada dalam skim perkhidmatan sama, dengan gred sama (52) dan tangga gaji P1T1 tidak sama.

Gaji permulaan ini akhirnya menjadi tidak seragam antara IPTA. Sebagai contoh, Universiti Sains Malaysia menawarkan tangga gaji permulaan P1T1 RM4,894.91 kepada staf gred 52 seperti Pegawai Ehwal Islam S52, Pustakawan S52, Pegawai Sains C52, dan lain-lain. Ini bermakna tiada kelebihan diberikan kepada staf akademik lama. Perkara yang dinyatakan di atas sedikit sebanyak mengikis kesetiaan dan semangat bekerja rakan pensyarah yang sedang berkhidmat di IPTA.

WAKIL PENSYARAH LAMA,
Kuala Lumpur.