23 April 2009

Tapisan SPRM Wajib Untuk Naik Pangkat - JPA

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Kerajaan sememangnya mewajibkan perisytiharan harta dan tapisan keutuhan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai antara syarat-syarat kenaikan pangkat bagi penjawat awam, menurut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Khamis.

Langkah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memperkenalkan syarat mengkehendaki pegawainya dikenakan tapisan SPRM sebelum dipertimbangkan kenaikan pangkat adalah menepati peraturan sedia ada dalam perkhidmatan awam.

Ketua Unit Komunikasi Korporat JPA Nik Noraini Nik Ya berkata calon-calon yang dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat juga perlu memenuhi syarat-syarat lain termasuk bebas daripada hukuman tatatertib selain penilaian prestasi.

"Amalan oleh JPJ itu merupakan pematuhan terhadap Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 1993 bagi memastikan keutuhan seseorang penjawat awam, antaranya tidak terlibat dengan amalan rasuah.

"Perenggan 37 (2)(c) menetapkan antara asas kenaikan pangkat adalah sifat-sifat peribadi pegawai termasuk kesesuaiannya dengan jawatan kenaikan pangkat, keutuhan, potensi dan kepimpinan pegawai," katanya dalam satu kenyataan di sini Khamis.

Isnin lepas, JPJ yang dikritik hebat kerana rasuah sejak akhir-akhir ini, menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan SPRM dalam usaha membendung gejala rasuah dan meningkatkan integriti serta profesionalisme di kalangan warga kerjanya.

Nik Noraini berkata Peraturan 10, Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, menetapkan semua penjawat awam (terpakai untuk semua gred jawatan) dikehendaki mengisytiharkan secara bertulis kepada Ketua Jabatan masing-masing segala harta yang dimiliki olehnya atau isteri, suami, anak, atau yang dipegang oleh mana-mana orang bagi pihaknya, isteri atau suami atau anaknya.

"Peraturan ini juga menetapkan pengisytiharan harta diwajibkan apabila dilantik ke dalam perkhidmatan awam, dikehendaki oleh kerajaan, memperoleh harta tambahan dan atau melupuskan harta," katanya.

Beliau berkata penjelasan dan panduan lanjut mengenai pelaksanaan pengisytiharan harta dinyatakan melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan Tiga Tahun 2002 di mana penjawat awam hendaklah membuat pengisytiharan harta setiap lima tahun sekali.



-- BERNAMA

JPA tak layan tuntutan Cuepacs

Berita Harian

KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak akan melayan sebarang tuntutan dikemukakan Cuepacs khususnya yang membabitkan implikasi kewangan sehingga ekonomi negara benar-benar pulih dan mampu mengharungi cabaran akibat tempias krisis ekonomi dunia.

Malah, tindakan supaya ditangguhkan dulu tuntutan itu sudah disuarakan kepada pemimpin Cuepacs ketika dialog antara kedua-dua pihak di Putrajaya 20 Mac lalu.

Ketua Pengarah JPA, Tan Sri Ismail Adam, berkata delegasi diketuai Setiausaha Agung kongres itu, Ahmad Shah Mohd Zin juga bersetuju dengan permintaan untuk tidak memberi tekanan kepada kerajaan khususnya dalam isu kewangan selepas mengambil kira keadaan ekonomi negara.

"Adalah tidak wajar untuk Cuepacs membuat tuntutan pada masa ini yang boleh mendatangkan implikasi kewangan.

"Tidak berbangkit isu berhubung apa-apa tuntutan boleh memberi tekanan kepada kerajaan khususnya dari aspek kewangan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Kelmarin, akhbar melaporkan Cuepacs percaya tuntutan supaya semua kakitangan menerima kadar Cola sama akan dipenuhi kerajaan.

Ahmad Shah dipetik sebagai berkata, Cuepacs mengharapkan pengumuman mengenainya dibuat ketika Sambutan Hari Pekerja Sektor Awam pada 14 Mei ini.

Turut dilaporkan, Cuepacs bukan menuntut kenaikan kadar elaun, tetapi hak kakitangan awam untuk mendapat kadar Cola yang sama berbanding ketika ini diberikan mengikut kawasan kerja.

Ismail berkata, isu Perdana Menteri akan mengumumkan berita gembira berhubung tuntutan kadar Cola tidak berbangkit kerana kedua-dua pihak sudah mencapai kata sepakat untuk tidak menyentuh lagi mana-mana tuntutan.

Malah, katanya dialog bulan lalu hanya menyentuh isu mengkaji semula cadangan balas kongres itu mengenai PTK yang kini masih di peringkat penelitian jabatan.

Prosedur kerja di pejabat tanah masih menyusahkan orang ramai

Berita Harian

PADA 14 April lalu, kira-kira jam 11.35 pagi saya dan isteri ke Pejabat Tanah dan Galian Melaka Tengah yang terletak di Peringgit Point untuk mendapatkan salinan surat kuasa daripada Bahagian Pesaka Kecil di pejabat berkenaan.

Petugas memberitahu salinan itu boleh didapati dengan bayaran RM2 bagi satu salinan. Namun yang memeranjatkan kami ialah bayaran berkenaan hanya boleh dibuat di Pejabat Tanah di Wisma Negeri iaitu di MITC, Ayer Keroh.

Kemudian timbul lagi masalah apabila kami hendak mendapatkan salinan berkenaan selepas membuat bayaran kerana pegawai berkaitan belum masuk pejabat walaupun jam 2.15 petang.

Dua persoalan timbul. Pertamanya mengapa bayaran perlu dibuat di pejabat lain yang jaraknya melebihi lapan kilometer. Apakah pejabat berkenaan tidak boleh mengutip bayaran hingga perlu mendera pelanggan berulang alik antara dua pejabat itu.

Dengan kemudahan sistem yang semakin canggih sekarang adalah tidak masuk akal untuk berlaku hal berkenaan. Apakah yang terjadi dengan slogan 'Satu Perkhidmatan, Satu Penyampaian, Tiada Pintu Salah' yang diperkenalkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan? Adakah dasar ini hanya dilaksanakan jabatan yang berdekatan dan sentiasa dapat dipantau KSN saja? Sedangkan bagi jabatan yang berada jauh daripada kawalan, slogan ini mungkin hanya menjadi momokan semata-mata.

Perkara kedua ialah berkaitan pegawai yang sering masuk lambat ke pejabat dan menghilangkan diri tidak tentu masa. Petugas berkenaan memberi tahu kami untuk datang semula pada jam 2 petang dan memberi jaminan salinan itu akan siap tanpa sebarang masalah.

Namun apabila kami datang semula pada jam 2.05 petang beliau memberitahu salinan berkenaan belum dapat diserahkan kerana pegawai yang sepatutnya menandatangani salinan itu belum masuk ke pejabat.

Apabila ditanya tiadakah pegawai lain yang boleh menandatangani surat berkenaan, jawapannya tiada. Selepas kami 'naik angin' dan berlaku sedikit pertengkaran, barulah beliau menelefon pegawai lain untuk menandatangani salinan surat itu.

Persoalannya, mengapa perkara yang menyusahkan orang ramai ini masih berlaku di jabatan kerajaan. Di sebalik usaha kerajaan untuk memperbaiki sistem penyampaian kepada pelanggan masih ada yang bertindak seolah-olah mereka paling berkuasa di sesebuah jabatan.

Saya percaya masih ramai yang mengalami perkara yang sama tetapi tidak kuasa mengetengahkannya. Amalan buruk jabatan seperti inilah sebenarnya yang menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat kepada kerajaan.

Mereka menganggap kerajaan gagal mengawasi kakitangannya untuk menjalankan tugasnya dengan baik. Apa yang saya harap ialah Kerajaan Melaka khususnya dapat meneliti perkara ini dan memperbaiki keadaan supaya ia tidak berlarutan.

ANAK MELAKA PERANTAU,
Batu Caves,
Selangor.