Usia bersara dikaji
PUTRAJAYA: Kerajaan sedia mengkaji cadangan melanjutkan usia persaraan kakitangan awam kepada 60 tahun mengambil kira faktor peningkatan jangka hayat dan tahap kesihatan rakyat Malaysia sekarang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata ada kewajaran cadangan usia persaraan 60 tahun dikaji berdasarkan pembangunan negara serta kedudukan sektor perkhidmatan awam negara.
"Ada kewajaran kita mengkaji umur (usia persaraan 60 tahun), ambil kira jangka hayat lebih tinggi dari dulu, kesihatan lebih baik dan pengalaman yang ada.
"Itu adalah pengalaman yang sangat berguna yang masih diperlukan kerajaan... soalnya bagaimana kita lakukannya (melanjutkan usia persaraan), kita akan bincang demi masa depan perkhidmatan awam dan negara," katanya pada majlis Makan Malam Tahunan Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik Malaysia (PPTD) 2007 di sini, malam tadi.
Turut hadir, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaacob dan isteri, Toh Puan Zurina Kassim; Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Sidek Hassan serta Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri yang juga Presiden PPTD, Tan Sri Aseh Che Mat.
Perdana Menteri berkata, kedudukan sektor awam dan pembangunan negara pada masa ini bertambah baik.
"Memanglah kita tahu bahawa kalau kita tengok kedudukan pegawai pada hari ini, dengan pembangunan negara kita, memanglah jangka hayat makin bertambah, tahap kesihatan, kesihatan umum dan peribadi serta individu memanglah bertambah baik.
"Memang betul kita akui kalau umur 55 tahun memang muda lagi, malah 56 tahun, 57 tahun, 58 tahun, 59 tahun dan 60 tahun masih muda lagi," katanya sambil menambah umur 50 tahun boleh dianggap usia perdana individu berdasarkan kematangan yang dimiliki,” katanya.
Abdullah berkata, beliau secara ikhlas percaya usia 55 tahun dan 56 tahun adalah terlalu muda untuk bersara.
Beliau berkata, peningkatan dalam perkhidmatan awam akan memberi peluang kepada pegawai baru menyertai sektor itu walaupun jika usia persaraan dilanjutkan 60 tahun, lalu mengakibatkan masih ramai pegawai bekerja hingga mencecah usia pencen.
Sementara itu, Aseh ketika berucap berkata, persatuan mencadangkan usia persaraan kakitangan awam dilanjutkan kepada 60 tahun berdasarkan peningkatan faktor jangka hayat serta langkah beberapa negara asing yang membenarkan usia persaraan 65 tahun.
"Selain itu, kita meminta ujian Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dihapuskan. PTK menjadikan perkhidmatan awam sebagai berorientasikan peperiksaan,” katanya.