01 June 2007

SMS hasut guru jejas imej NUTP

Berita Harian

KUALA LUMPUR: Kesatuan Kebangsaan Profesion Perguruan (NUTP) mendakwa ada pihak menyebarkan khidmat pesanan ringkas (SMS), meminta guru yang tidak berpuas hati dengan penyelarasan gaji baru membuat laporan kepada kesatuan itu.

Presidennya, Anuar Ibrahim, berkata SMS itu dihantar pihak tidak bertanggungjawab yang didakwa cuba memburukkan imej kesatuan dan tersebar luas di kalangan guru di seluruh negara, sejak Ahad lalu.

Katanya, beliau menerima ratusan panggilan daripada ahli, termasuk ahli jawatankuasa NUTP pusat dan negeri, yang mahukan penjelasan berikutan keliru dengan kandungan SMS berkenaan.

Namun, beliau menafikan kesatuan itu bertanggungjawab menghantar SMS bagi mendapatkan maklumat guru yang tidak berpuas hati dengan penyelarasan gaji seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, baru-baru ini.

“Guru usah percaya dengan SMS itu kerana kita tidak pernah berbuat demikian dan kandungannya adalah fitnah,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Katanya, NUTP bimbang SMS itu mempunyai agenda tertentu bagi menjejaskan imej kesatuan, malah persatuan menyambut baik pengumuman kenaikan gaji kakitangan awam bermula awal bulan depan.

“Kami belum mendapat pekeliling penyelarasan gaji baru,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kekeliruan penyelarasan gaji baru di kalangan guru bukan siswazah gred DGA29 dan DGA32 yang belajar semula dan mendapat ijazah sarjana muda, dilantik ke gred DG41.

Katanya, mengikut pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), guru berkenaan dianggap meletak jawatan gred asal (DGA29) sebelum dilantik menjawat gred baru (DGA41).

“Sudah tentu dengan pelantikan itu melayakkan mereka menerima skim gaji baru yang biasanya lebih tinggi berbanding gaji lama. Kebanyakan mereka yang sudah berkhidmat lebih 10 tahun kurang faham perkara itu tetapi kita sudah jelaskan kepada mereka,” katanya.

Mengikut penyelarasan gaji baru kakitangan awam bermula 1 Julai, guru gred DGA29 dan DGA32 dalam Kumpulan Sokongan 1 menerima kenaikan 25 peratus manakala Kumpulan Pengurusan Profesional (Gred 41 hingga Gred 54) sebanyak 15 peratus.

“Kita juga sedang menjalankan siasatan dalaman, termasuk menghubungi setiausaha cawangan di setiap negeri bagi mengumpul maklumat sama ada SMS itu dibuat ahli kesatuan sendiri atau pihak luar,” katanya yang sudah membuat laporan polis berhubung perkara itu.

No comments: