07 April 2009

Lihat Semua Aspek Sebelum Struktur Semula PDRM - Syed Hamid

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu melihat dari semua aspek sebelum melaksanakan penstrukturan semula pasukan itu termasuk penambahan dua lagi jawatan Timbalan Ketua Polis Negara, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Beliau berkata walaupun cadangan penstrukturan sepertimana yang dibangkitkan oleh Ketua Polis Negara baru-baru ini adalah baik namun ada perkara yang lebih penting yang perlu dilakukan polis dalam meningkatkan mutu perkhidmatannya terutama merancang strategi menangani pelbagai kes jenayah.

"Perlu dilihat dari semua aspek bukan sekadar melihat pada kuantiti sahaja.

PDRM perlu merancang strategi untuk memperkukuhkan lagi perkhidmatan mereka terutamanya dalam menjalankan siasatan dan penyelesaian kes," katanya ketika ditemui di kediamannya di sini Selasa.

Semasa sambutan Hari Polis ke-202, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan menyatakan PDRM akan distruktur semula di semua peringkat termasuk penambahan dua lagi jawatan Timbalan Ketua Polis Negara dan penubuhan enam jabatan baru kepada tujuh jabatan yang sedia ada.

Penstrukturan itu, menurut Musa adalah sebahagian daripada usaha untuk memperkasakan PDRM dan akan dilaksanakan sebaik mendapat kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam.

Syed Hamid berkata kajian dan penelitian perlu dibuat dengan lebih mendalam sebelum tindakan tersebut dilaksanakan kerana ia membabitkan pelbagai prosedur selain melihat kepada Akta Polis dan Perlembagaan Malaysia.

"Kita perlu mengkajinya sama ada penambahan (Timbalan Ketua Polis Negara) itu benar-benar diperlukan atau sebaliknya. Ini perlu kembali kepada soal dasar dan dirujuk kepada kerajaan," katanya.

Beliau berkata sebagai sebuah pasukan yang menjaga keselamatan rakyat, beberapa perkara asas dalam pasukan perlu dimantapkan antaranya risikan dan mutu latihan yang lebih berkesan.

Katanya jika perkara tersebut dijaga dan dipertingkatkan sudah pasti keyakinan rakyat terhadap pasukan itu akan dapat dikembalikan terutama membabitkan penyelesaian jenayah yang berprofil tinggi.

"Apa sahaja yang dilaksanakan perlu berbalik kepada rakyat. Kita nak rakyat berpuas hati dengan perkhidmatan kita. Jika penstukturan ini dibuat tapi rakyat masih tidak puas hati dengan mutu perkhidmatan yang diberikan, ini tidak akan mendatangkan apa-apa kesan," katanya.



-- BERNAMA

Tiada Kakitangan Jabatan Imigresen Terlibat Pemalsuan Pasport

PENGKALAN KUBUR, 5 April (Bernama) -- Siasatan yang dilakukan Jabatan Imigresen mendapati kakitangannya tidak terlibat dalam sebarang pemalsuan pasport antarabangsa, kata Ketua Pengarahnya Datuk Mahmood Adam.

Beliau berkata kemungkinan apa yang berlaku sebelum ini dengan lima kes terbaru pemalsuan pasport yang dikesan di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Terengganu, dilakukan sindiket antarabangsa dan kini pihknya sedang menyiasat secara terperinci dalang di sebalik pemalsuan itu.

"Jika ada kakitangan (Jabatan) Imigresen yang terlibat kita akan ambil tindakan tetapi dalam siasatan tiada bukti kakitangan kita terlibat terutama dalam lima kes itu dan siasatan terperinci masih dilakukan untuk memburu dalang terbabit," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mahmood sebelum itu mengadakan mesyuarat dengan pengarah-pengarah Imigresen negeri yang bersempadan dengan Thailand iaitu Kelantan, Perak, Kedah dan Perlis.

Antara lain mesyuarat berkenaan bagi membincangkan masalah-masalah di sempadan termasuk kemasukan pendatang tanpa izin (PATI) serta aktiviti keluar masuk masyarakat di sempadan.

Katanya dalam lima kes pemalsuan pasport yang dikesan itu individu terbabit hanya meniru luaran pasport tetapi ciri-ciri keselamatan tidak dapat ditiru menyebabkan jabatan itu dapat mengesan ketulenan dokumen berkenaan.

"Sukar untuk memalsukan pasport kita kerana terdapat 35 ciri keselamatan dalam dokumen itu," katanya.

Mahmood berkata pasport Malaysia disifatkan sebagai popular untuk dipalsukan kerana ia menjadi pilihan lebih tiga bilion masyarakat sekitar Asia.

"Ciri-ciri orang Asia seperti dari China atau India sama dengan masyarakat majmuk di negara kita menyebabkan mereka mudah untuk meniru pasport atau meletakkan gambar mereka pada pasport orang lain kerana muka mereka sama macam rakyat Malaysia," katanya.

Menurut Mahmood, jabatan itu turut menjalinkan kerjasama dengan jabatan lain bagi membendung kegiatan berkenaan kerana pemalsuan bukan sahaja melibatkan pasport tetapi termasuk visa serta buku pelaut yang digunakan oleh nelayan untuk menangkap ikan di perairan negara.

"Jika individu terlibat didapati bersalah dalam kegiatan pemalsuan atau peniruan dokumen berkenaan, mereka boleh di dakwa mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Rasuah serta Akta Rahsia Rasmi Kerajaan," katanya.

-- BERNAMA

Tidak abai tugas syarat guru mahu aktif politik

Berita Harian

BARU-BARU ini, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mencadangkan guru gred A dibenarkan aktif dalam politik.

Beliau berpendapat, guru adalah golongan yang sangat rapat dan memahami kehendak masyarakat. Idea guru bernas diperlukan bagi mempertingkatkan kualiti hidup masyarakat.

Namun, mampukah guru memikul dua tugas berlainan? Tugas guru ialah mengajar dan membentuk kejayaan pelajar dalam kurikulum dan kokurikulum.

Guru terbabit dengan politik akan dipilih menjadi ketua cawangan, ketua bahagian, setiausaha cawangan atau bahagian, bendahari dan sebagai ahli jawatankuasa biro tertentu.

Biasanya tugas politik menghadiri mesyuarat cawangan, aktiviti dan mencari dana untuk cawangannya. Tugas itu bukan dipikul oleh guru seorang saja. Guru boleh menyerahkan tugas kepada ahli jawatankuasa lain jika ada urusan di sekolah.

Cawangan itu akan mendapat banyak faedah jika guru menduduki jawatankuasa politik cawangannya. Ilmu dan kepakaran guru boleh digembleng bersama tenaga muda kampung. Apa yang penting pembabitan ikhlas bukan untuk kepentingan peribadi.

Wujud juga persoalan, jika guru berpolitik, mereka akan mengabaikan tugas mengajar dan wujud puak di sekolah. Saya berpendapat, jika tidak berpolitik tenaga mereka digunakan untuk kegiatan sukan, kursus dan mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan memerlukan mereka meninggalkan kelas.

Biasanya perkara itu diatasi dengan guru itu membuat kelas ganti, khususnya keadaan seumpama itu kerap berlaku pada bulan pertama hingga ketiga persekolahan, iaitu ketika guru sibuk dengan aktiviti kokurikulum yang juga sebahagian tugas di luar kelas yang perlu dilaksanakan.

Masalah kewujudan puak di kalangan guru akibat fahaman politik adalah persepsi saja. Guru adalah pekerja profesional. Berbeza pendapat perkara biasa. Guru tidak seharusnya mengikut emosi dan akal dangkal untuk mempertahankan pendapat atau berbahas mengenai sesuatu dasar kerajaan atau pembangkang.

Guru sepatutnya memberikan idea bernas. Kemampuan mereka membezakan antara tugas pendidik dan jawatankuasa politik cawangan atau bahagian amat dituntut jika sekiranya kerajaan membenarkan mereka memegang jawatan politik.

Saya setuju jika kerajaan membenarkan guru gred A memegang jawatan politik di cawangan dan bahagian.

Jawatan pengerusi, setiausaha, bendahari dan jawatankuasa cawangan politik tidak mungkin diberikan sepenuhnya kepada guru. Hanya guru tertentu yang mempunyai wibawa dilantik cawangan.

Guru terbabit politik wajar diberikan syarat tertentu supaya tidak mengabaikan tugas sebagai pendidik dan pendukung dasar kerajaan.

REZA ALJUNAID,
Negeri Sembilan.