20 March 2009

JPA Akan Kaji Semula Format PTK

PUTRAJAYA, 20 Mac (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberi jaminan kepada Cuepacs bahawa ia dalam proses mengkaji semula cadangan balas kongres itu mengenai Peperiksaan Tahap Kecekapan (PTK).

Ketua pengarah JPA, Tan Sri Ismail Adam memberikan jaminan itu kepada Setiausaha agung Cuepacs Ahmad Shah Mohd Zin pada dialog pertemuan antara ekdua-dua pihak di sini semalam.

Ahmad Shah berkata PTK merupakan satu isu yang sering dibangkitkan dan dipersoalkan di kalangan kakitangan kerajaan dan kebanyakan mereka tidak berpuas hati dengan format peperiksaan sekarang.

Beliau berkata Cuepacs telah mencadangkan bahawa peperiksaan itu hendaklah berdasarkan kepada skop tugasan seseorang kakitangan dan lebih khusus kepada menguji kemampuan mereka dalam menjalankan tugas hariannya.

Kini peperiksan itu terlalu umum dan sesetengah soalan itu tidak ada kaitan dengan skop tugasan seseorang dalam peperiksaan yang diambil.

Ahmad Shah berkata pertemuan itu juga membincangkan isu kenaikan pangkat untuk kakitangan sokongan dalam gred satu hingga 16.

Beliau berkata isu ini juga sedang dikaji oleh JPA.

Isu lain yang dibincangkan pada pertemuan yang dihadiri 30 anggota majlis eksekutif Cuepacs dan 20 pegawai JPA diketuai oleh ketua masing-masing, jawatan khas untuk penyandang, kontrak dan jawatan pegawai sementara dan isu gaji untuk guru pemegang diploma.

Mengenai pegawai kontrak, Ahmad Shah berkata tidak ada masalah pada peringkat persekutuan kerana kerajaan telah memutuskan bahawa perkhidmatan pegawai ini tidak akan ditamatkan.

Bagaimanapun, isu ini kritikal pada peringkat negeri kerana sesetengah kerajaan negeri belum lagi respon kepada pertanyaan Cuepacs.

Mengenai isu kenaikan pangkat untuk guru pemegang diploma, beliau berkata JPA memutuskan dengan apa sahaja yang diberikan oleh Kementerian Pelajaran.

Kini keputusan di tangan Kementerian Pelajaran untuk menyediakan cadangan dan input seterusnya mengenai isu ini, kata beliau.

Ahmad menyifatkan dialog itu sangat berhasil kerana banyak isu segera yang dihadapi perkhidmatan awam dibincangkan dalam suasana kemesraan.

-- BERNAMA

PM Cadang Program Penugasan Sementara Sektor Awam-swasta

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mencadangkan supaya pegawai dari sektor awam berkhidmat secara penugasan sementara dengan sektor swasta, dan sebaliknya.

Perdana Menteri berkata program seperti itu akan membolehkan pegawai serta eksekutif dari sektor awam dan swasta saling menimba pengalaman dan mempelajari persekitaran kerja satu sama lain.

Abdullah berkata penugasan seperti itu akan memberi manfaat bersama dan mewujudkan persefahaman yang lebih baik antara mereka serta menyumbang kepada kecekapan, daya saing dan tadbir urus yang lebih baik.

"Saya fikir adalah sangat bermanfaat untuk sektor awam dan swasta menimba pengalaman seperti itu," katanya ketika berucap pada majlis jamuan bersama anggota Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) di sini Khamis malam.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Negara dan Pengerusi Bersama Pemudah Tan Sri Sidek Hassan dan bekas presiden Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia yang juga pengerusi bersama Pemudah Tan Sri Yong Poh Kon.

Pemudah ditubuhkan pada 7 Feb 2007 dan melaporkan secara terus kepada Perdana Menteri. Pasukan itu terdiri daripada 23 orang yang amat dihormati dari sektor awam dan swasta.

Antara lain tugasnya berhubung kait dengan penyemakan status sistem penyampaian khidmat awam daripada segi proses, prosedur, perundangan dan sumber manusia ke arah memperkenalkan penambahbaikan, mengkaji amalan terbaik dalam sektor swasta yang boleh diguna pakai oleh sektor awam dan menyelaraskan program merentasi agensi sektor awam ke arah meningkatkan daya saing Malaysia.

Abdullah juga berkata tidak mustahil untuk Malaysia berada antara 10 ekonomi paling berdaya saing dan tadbir urus yang baik serta cekap, asalkan setiap orang bekerja keras.

"Saya tahu dengan mengamalkan semangat ini dalam perkongsian sektor awam dan swasta, perkara ini akan membuahkan hasil," katanya.

Mengenai Pemudah, Abdullah berkata beliau berasa amat gembira dengan sumbangan dan kejayaan yang dicapai oleh pasukan itu sehingga kini, sambil menambah semasa Pemudah mula diwujudkan, terdapat jangkaan tinggi untuk pasukan itu menghasilkan beberapa keputusan yang baik dalam meningkatkan sistem penyampaian awam.

"Di sini saya ingin mengiktiraf anggota sektor awam yang memberikan respons positif kepada cadangan dan maklum balas daripada sektor swasta serta Pemudah. Saya juga ingin lihat perkongsian ini berkembang dan diperkukuhkan," katanya.



-- BERNAMA

1,000 Siswazah Akan Dilantik Sebagai Guru Kontrak - Hishammuddin

PUTRAJAYA, 20 Mac (Bernama) -- Kementerian Pelajaran akan melantik seramai 1,000 orang siswazah sebagai guru sekolah secara kontrak berikutan peruntukan kerajaan sebanyak RM48 juta bagi program Tenaga Pengajar Secara Kontrak seperti yang diumumkan di dalam mini bajet baru-baru ini, kata Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata peluang ini dibuka kepada semua peringkat pencari kerja, sama ada di kalangan graduan baru atau mereka yang sedang mencari pekerjaan, yang proses pengambilannya akan bermula dalam tempoh terdekat.

"Tawaran akan dikeluarkan di portal Kementerian Pelajaran sedikit masa lagi dan pengambilan guru-guru kontrak ini akan melibatkan semua jenis dan kategori sekolah, sama ada Sekolah Rendah atau Menengah di seluruh negara.

"Ia akan turut melibatkan keperluan untuk melantik guru di semua jenis sekolah di seluruh negara termasuk Sekolah Sukan, Sekolah Menengah Teknik, Sekolah Agama dan lain-lain lagi," katanya di dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata guru yang terpilih dijangka dapat memulakan perkhidmatan selewat-lewatnya Mei tahun ini.

Hishammuddin berkata kementeriannnya sedang menunggu syarat-syarat pelantikan yang sedang diselaraskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi digunakan oleh semua kementerian.

"Kementerian bagaimanapun telah membuat persediaan bagi membuat pelantikan ini demi memastikan segala keputusan yang dihasratkan menerusi pakej rangsangan ekonomi kedua dapat dilaksanakan seberapa segera," katanya.

Katanya daripada keseluruhan peruntukan RM60 bilion di bawah pakej itu, sebanyak RM2.093 bilion diperuntukkan oleh kerajaan untuk bidang pendidikan, meliputi RM1.949 bilion untuk Pembangunan Pendidikan dan RM144 juta untuk Belanja Mengurus bagi manfaat semua sekolah di seluruh negara.

Katanya Pembangunan Pendidikan melibatkan RM36.3 juta untuk Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI), RM1.432 bilion untuk Ubah Suai Naik Taraf Rendah, RM128.7 juta Ubah Suai Naik Taraf Menengah, RM164.1 juta Infrastruktur Sokongan Pendidikan, RM18.2 juta Perabot dan Peralatan dan RM169.6 juta Pembaikan dan Penyelenggaraan Sekolah dan Kemudahan Sekolah.

Manakala agihan RM144 juta itu (Belanja Mengurus) melibatkan RM6 juta untuk program Pegawai Kontrak, RM48 juta program Tenaga Pengajar Secara Kontrak, RM40 juta program Smartboards dan RM50 juta Kokurikulum, katanya.

Hishammuddin berkata Kementerian Pelajaran turut menyambut baik kenyataan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Mansor untuk menempatkan 3,000 siswazah yang mempunyai kelulusan dalam bidang ICT untuk ditempatkan di sekolah-sekolah di seluruh negara yang mempunyai jaringan internet bagi membantu menjayakan inisiatif ICT.

Beliau juga berterima kasih atas langkah Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi untuk mempertingkatkan keupayaan sistem Internet di 3,000 buah sekolah di seluruh negara yang mempunyai jaringan Internet (Schoolnet).

"Saya berharap usaha ini dapat membantu meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran secara online sekaligus merangkaikan warga sekolah di seluruh negara secara interaktif melalui Schoolnet.

"Langkah ini juga dilihat dapat membantu dan memberi manfaat kepada siswazah yang mempunyai kelulusan ICT khususnya yang menganggur ketika ini," katanya.

-- BERNAMA

Anwar Minta Pegawai Kerajaan Ikut Peraturan Profesion

KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua pegawai kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri menjalankan tanggungjawab mengikut peraturan profesion yang telah ditetapkan supaya tidak diperalatkan oleh politik kepartian.

Ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2009) 2009 peringkat jawatankuasa pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini, Anggota Parlimen Permatang pauh daripada Parti Keadilan Rakyat itu berkata terdapat pegawai tinggi kerajaan yang terpaksa akur dengan tuntutan daripada kerajaan Barisan Nasional yang memerintah negara pada masa ini.

Anwar turut mempertikaikan tahap kawalan keselamatan di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) ekoran pendedahan sebuah akhbar berbahasa Cina mengenai penemuan 'benda aneh' di bawah meja Presiden Umno.

"Walaupun kita tolak ketahyulan tapi ini aspek keselamatan. Bagaimana, siapa yang mungkin boleh menembusi sekuriti di PWTC yang ketat pengawalannya itu dan hanya terdapat di bawah meja Perdana Menteri (Presiden Umno), tidak di bawah meja-meja yang lain termasuk Timbalan Perdana Menteri, Setiausaha Agung dan pegawai yang lain," katanya.

Menurut laporan akhbar itu hari ini, dua keping kertas bertulisan jawi dan kayu yang dibalut kertas putih ditemui dilekatkan di bawah meja Perdana Menteri di Tingkat 39.

-- BERNAMA

17 March 2009

RTM staff protest against new D-G

KUALA LUMPUR: RTM staff members are against the appointment of Datuk Ibrahim Yahaya as the Broadcasting Department director-general.

The Information Ministry issued a statement announcing Ibrahim's appointment, which came into effect yesterday. Ibrahim, formerly media adviser to the information minister, succeeds Datuk Abdul Rahman Hamid.

RTM staff sent a memorandum protesting against the appointment to Cuepacs president Omar Osman (picture) recently.

Omar said the job should have been offered to someone from RTM.

"If outsiders are appointed, it will only deprive other officers of a chance for promotion."

Omar said Cuepacs had voiced its displeasure to Chief Secretary to the Government Tan Sri Sidek Hassan and Public Service Department director-general Tan Sri Ismail Adam.

PSD communication and public relations head Nik Noraini Nik Ya defended the move, saying appointments to the top posts in the civil service were opened to candidates from other sectors and disciplines since last year.

Officers of other disciplines and professionals with vast and relevant experience from the private sector could also apply to join the civil service, she said.

This was in line with the government's desire to recruit the best talent and best brains.

Ibrahim Yahaya Ketua Pengarah Penyiaran baru

Utusan Online

KUALA LUMPUR 16 Mac - Penasihat Media Menteri Penerangan, Datuk Ibrahim Yahaya (gambar) dilantik Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran yang baru berkuat kuasa hari ini.

Ibrahim menggantikan Datuk Abdul Rahman Hamid yang dilantik Penasihat Penyiaran Digital kepada Menteri Penerangan mulai 2 Januari lalu.

Kenyataan Bahagian Perhubungan Awam Kementerian Penerangan menyebut, pelantikan Ibrahim berdasarkan pengalaman luas beliau dalam bidang media dan penyiaran.

Ibrahim pernah memegang beberapa jawatan dalam media sebelum ini antaranya sebagai Pengarang Kanan Berita Publishing Sdn. Bhd. dan Pengurus Ehwal Semasa dan Penyiaran TV3.

Tambah kenyataan itu, pelantikan tersebut sejajar dengan penstrukturan semula Jabatan Penyiaran yang diluluskan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mulai 1 Januari lalu.

Di bawah penstrukturan semula ini, JPA telah meluluskan Gred Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) B bagi kedua-dua jawatan iaitu Timbalan Ketua Pengarah (Penyiaran Strategik) dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi Penyiaran).

Sementara itu, kata kenyataan itu lagi, Pengarah Urusan Rancangan TV, Datuk Norhayati Ismail dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Penyiaran Strategik) berkuat kuasa 25 Februari lalu.

Beliau menggantikan Datuk Adilah Shek Omar yang ditukar sebagai Pengarah Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) mulai 2 Januari lalu.

Pelantikan Adilah bertujuan merancang dan memperkasakan IPPTAR menjadi institusi penyiaran dihormati di peringkat antarabangsa.

Pekeliling naik gred diketepikan

Berita Harian

KEMENTERIAN Kesihatan mengeluarkan surat pekeliling KK(S) 523(533) 2008 berkaitan tawaran kenaikan pangkat jawatan pegawai kesihatan persekitaran U42 bagi penolong pegawai kesihatan persekitaran U32 dan U29 yang mempunyai ijazah berkaitan dan penolong pegawai kesihatan persekitaran U36 untuk kenaikan pangkat secara lantikan (KPSL).

Apa yang paling mendukacitakan ialah Bahagian Sumber Manusia Kementerian Kesihatan membuat keputusan bahawa kenaikan pangkat pegawai kesihatan persekitaran gred U42 secara pangkuan cuma diberikan kepada mana-mana penolong pegawai kesihatan persekitaran U36 dan menolak permohonan penjawat penolong pegawai kesihatan persekitaran U32 dan U29 yang mempunyai ijazah seperti dinyatakan pekeliling berkaitan.

Bahagian sumber manusia juga tidak mematuhi pekeliling bil 11 2005 Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkaitan jawatan bersepadu pegawai kesihatan persekitaran dan penolong pegawai kesihatan persekitaran yang menyatakan dengan jelas kenaikan pangkat secara pangkuan adalah tertakluk kepada mana-mana kakitangan yang mempunyai ijazah berkaitan.

Keputusan yang dibuat bahagian sumber manusia mengecewakan dan bersifat subjudis kepada kakitangan yang bersusah payah menyambung pelajaran ke peringkat ijazah demi meningkatkan kerjaya.

Ia memberi gambaran kenaikan pangkat akan diberikan mengikut mempunyai kekananan dan pengalaman saja tanpa mengambil kira kelayakan ijazah yang diiktiraf JPA.

Jika diambil kira pengalaman, kakitangan yang mempunyai ijazah juga berpengalaman melebihi 10 tahun dan ada yang sudah 30 tahun dalam perkhidmatan.

GRADUAN TUA,
Ampang Kuala Lumpur.

15 March 2009

Salleh Ketuai PGA, Pengurusan Sempadan Dan Keselamatan LTAB

KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) -- Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Salleh Mat Rasid hari ini dilantik sebagai Timbalan Pengarah Pasukan Gerakan Am/ Pengurusan Sempadan/Kawalan Keselamatan Lapangan Terbang Antarabangsa (LTAB), yang merupakan satu jawatan baru yang diwujudkan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata pengwujudan jawatan tersebut adalah selaras dengan keputusan Kabinet April tahun lepas yang mahukan supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengawal semua pintu masuk negara.

Katanya antara tugas penjawat jawatan itu termasuk mengetuai Pasukan Gerakan Am (PGA) yang mengandungi lima briged, pengoperasian dan perancang strategik selain menentukan dasar kawalan keselamatan LTAB di negara ini.

Beliau berkata demikan kepada pemberita selepas upcara pemakaian pangkat Salleh daripada SAC 1 kepada Deputi Komisioner Polis (DCP) di Markas Briged Tengah PGA, Cheras, di sini.

"Selain itu, penjawat juga bertanggungjawab merancang dan membuat dasar bagi pelan tindakan strategik untuk menangani semua bentuk krisis keganasan dan ancaman keselamatan terhadap mana-mana bangunan terminal dan pesawat udara.

"Beliau juga akan mengetuai dan mengkoordinasi pasukan tindak balas kimia, biologi, radioaktif, nuklear dan bahan letupan," katanya.

Kewujudan unit ini, kita dapat mencegah jenayah dan menentukan keselamatan dari sempadan lagi, katanya.

Musa berkata pengambilalihan tugas kawalan keselamatan di empat LTAB oleh PDRM menunjukkan kesan yang positif dan efektif apabila ia berjaya meningkatkan tahap keselamatan serta menurunkan angka jenayah.

"Jenayah kekerasan menurun sebanyak 55 peratus iaitu 11 kes manakala jenayah harta benda pula menurun sebanyak 36 peratus iaitu 72 kes," katanya.

Musa berkata seramai 2,000 pendatang tanpa izin dari pelbagai negara berjaya ditahan oleh PGA menerusi Operasi Cegah Jenayah (MAMBA) yang dilancarkan di seluruh ngeraa pada dua bulan pertama tahun ini.

Beliau berkata PGA kini juga bekerjasama dengan polis marin dalam membuat rondaan berkesan di perairan sekitar Sabah dan Sarawak bagi mengelak kemasukan pendatang asing tanpa izin dan jenayah di laut.

"Bagi Semenanjung pula, PGA membuat rondaan bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) secara sistematik bagi memastikan tugas rondaan tidak bertindih.

"Selain itu, pengkalan marin juga kini dinaiktaraf sebagai balai polis di mana sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini di lautan, laporan polis boleh terus dibuat di situ," katanya.

Katanya, dalam usaha pengurusan sempadan darat pula, sebanyak empat pusat operasi telah dibuka yang beroperasi secara 24 jam iaitu di Pengkalan Kubor, Rantau Panjang, Padang Besar dan Bukit Kayu Hitam

Dalam perkembangan lain, Musa memberi amaran keras kepada pengendali laman blog yang berani melanggar dan mencabar undang-undang negara dengan mencemuh mana-mana individu termasuk Sultan bahawa mereka akan dikenakan tindakan tegas.

"Kita sentiasa memantau internet justeru sesiapa sahaja yang kita dapati berbuat demikian, kita akan ambil tindakan. Jika mereka suka sangat fitnah orang, maka beranilah menerima akibat atas perbuatan mereka," katanya.

-- BERNAMA

Program Memperkenalkan BPA Di Setiap Kawasan Parlimen - Murugiah

TAIPING, 15 Mac (Bernama) -- Biro Pengaduan Awam (BPA) akan memperluaskan program bertemu rakyat di setiap kawasan Parlimen bagi mendengar aduan mereka, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator T. Murugiah.

Beliau berkata di setiap majlis pertemuan itu, BPA akan menerima aduan orang ramai dan kemudian menyalurkannya kepada agensi yang bertanggungjawab untuk diselesaikan.

"Banyak masalah rakyat tidak dapat diselesaikan sebelum ini kerana kurangnya pendedahan dan maklumat mengenai kewujudan jabatan ini. Untuk itu, kami akan turun padang bersama agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pendaftaran Negara, Pejabat Tanah dan Daerah bagi memudahkan masalah rakyat di selesaikan dengan cepat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Antara masalah rakyat yang masih belum dapat diselesaikan adalah masalah mendapatkan kad pengenalan, tiada sijil kelahiran dan gagal mendapatkan bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat, kata Muruguiah.

Beliau berkata hari bertemu pelanggan turut diadakan di ibu pejabat BPA di Putrajaya setiap Selasa.

-- BERNAMA

Pelbagai Insentif Galakkan Doktor Kekal Dalam Perkhidmatan Kerajaan

PETALING JAYA, 15 Mac (Bernama)-- Kementerian Kesihatan menyediakan "pelbagai ganjaran" untuk mengekalkan doktor dalam perkhidmatan kerajaan, kata Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata ini termasuk penghargaan, jumlah ganjaran lebih tinggi, peningkatan dan pertumbuhan kerjaya, gaya hidup seimbang, kepuasan daripada segi kerja, cabaran profesional, ruang autonomi dan pembangunan modal insan.

Berucap pada simposium "Cabaran Masa Depan Penjagaan Kesihatan Di Malaysia" di sini, beliau berkata kementerian itu menyediakan beberapa insentif dan ganjaran untuk menggalakkan doktor kerajaan kekal dalam perkhidmatan.

Katanya insentif itu termasuk lebih banyak peluang bagi kenaikan pangkat dan kebaikan pangkat lebih cepat berdasarkan prestasi, peluang kepada mereka yang berada dalam skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk memilih skim pencen, elaun panggilan bertugas dan lokasi, elaun makan dalam bilik pembedahan dan ganjaran bagi doktor yang menyampaikan syarahan di universiti.

Insentif lain ialah peluang melanjutkan pelajaran dan cuti sabatikal, bantuan bagi penyelidikan dan penerbitan melalui pusat penyelidikan klinikal di seluruh negara, biasiswa bagi anak-anak doktor yang layak dan cuti tahunan 35 hari dan 25 hari bagi kakitangan baru.

Noor Hisham berkata diharapkan melalui pelbagai insentif itu, doktor akan terus bekerja dalam perkhidmatan kerajaan kerana ia juga merupakan peluang untuk mereka memenuhi tanggungjawab sosial untuk berkhidmat kepada negara.

-- BERNAMA

SPRM Tahan Bekas Timbalan Naib Canselor Unisel

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan bekas Timbalan Naib Canselor Universiti Industri Selangor (Unisel) kerana disyaki menggunakan dokumen palsu bagi melanjutkan kontraknya.

Beliau yang berumur 55 tahun ditahan selepas memberi keterangan berhubung kes itu di pejabat SPRM di Putrajaya pada pukul 4.30 petang Jumaat.

Pengarah Siasatannya Datuk Syukri Abdul berkata bekas Timbalan Naib Canselor itu menggunakan dokumen palsu tersebut tahun lepas.

"Beliau tamat kontrak sebagai Timbalan Naib Canselor di universiti terbabit pada 2007, bagaimanapun menggunakan dokumen palsu untuk menyambung perkhidmatannya dalam jawatan yang sama pada 2008.

"Sekarang beliau bertugas di sebuah universiti awam di Lembah Klang dan akan dituduh Isnin depan di Mahkamah Klang," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.



-- BERNAMA