27 May 2007

Kembalikan KTMB ke sektor awam

Utusan Online

Oleh RAJA LUVENA SHARIFUDDIN

KUALA LUMPUR 24 Mei – Dalam suasana kakitangan awam bergembira mendapat kenaikan gaji baru, Kesatuan Pekerja-Pekerja Keretapi Tanah Melayu (RUM) menggesa kerajaan mengembalikan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) ke sektor awam.

Kesatuan itu akan menghantar memorandum berhubung cadangan tersebut kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selewat-lewatnya Isnin ini.

Presiden RUM, Abdul Razak Md. Hassan berkata, tindakan itu dibuat bukan bertujuan mengambil kesempatan daripada kenaikan gaji kakitangan awam yang diumumkan Isnin lalu, tetapi merupakan kesinambungan usaha yang telah diperjuangkan oleh RUM sejak 2004.

RUM, katanya, telah menghantar memorandum kepada Perdana Menteri bertarikh 11 Oktober 2004 berhubung perkara yang sama namun ia tidak menerima sebarang maklum balas.

Kata beliau, gesaan kali ini dibuat kerana jurang perbezaan antara kenaikan gaji dan faedah yang diterima kakitangan awam dengan pekerja- pekerja KTMB semakin besar khususnya dari segi Elaun Kos Sara Hidup (COLA), elaun perumahan dan elaun kritikal.

‘‘KTMB merupakan perkhidmatan perlu yang tidak boleh meraih keuntungan namun selepas diswastakan pada 1992, perkhidmatan yang semakin bertambah sekarang dilakukan oleh kakitangan seramai 5,100 orang berbanding 8,500 orang pekerja sebelum 1992,” kata Abdul Razak pada sidang akhbar di pejabat RUM di sini hari ini.

Menurut beliau, kakitangan KTMB semakin ketinggalan dan kian jauh ke belakang dari segi kenaikan gaji dan faedah perkhidmatan.

‘‘Oleh itu, pihak kesatuan memohon agar faedah dapat diberikan secara sama rata demi memberi keadilan dan pulangan setimpal kepada pekerja, apatah lagi rata-rata pekerja bukan eksekutif KTMB adalah golongan berpendapatan rendah,’’ katanya.

Abdul Razak berkata, pada masa ini RUM mempunyai 3,800 ahli.

Beliau percaya tuntutan untuk kembali ke sektor awam itu juga mendapat sokongan seluruh kakitangan KTMB termasuk para petugas eksekutif yang akan turut menerima faedah jika usaha itu berjaya.

Ditanya sama ada permintaan RUM untuk kembali ke sektor awam itu setimpal dengan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan KTMB, beliau berkata, sebarang kelemahan bukan berpunca daripada kualiti kerja kakitangan yang rata-rata merupakan pakar dalam bidang masing-masing.

‘‘Sebarang rungutan berkisar kepada kereta api yang tidak dibaik pulih tanpa suntikan kewangan daripada kerajaan.

‘‘Kerajaan telah memperuntukkan dana untuk membaik pulih sebanyak 50 gerabak dan apabila ia dilakukan tahun depan semua perkhidmatan akan dapat berjalan seperti sedia kala,’’ ujarnya.

Tangga gaji kakitangan bukan eksekutif KTMB bermula dari RM679 hingga RM1,244, iaitu perbezaan antara RM25 hingga RM29 berbanding gaji permulaan kakitangan awam.

No comments: