Cari calon wibawa jadi Ketua Pengarah DBP
Utusan Online
PIMPINAN utama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah pun kosong setelah penjawatnya tamat tempoh perkhidmatannya baru-baru ini. Sehingga kenyataan ini dibuat, belum lagi nampak bayang gantinya.
Memandangkan peranan DBP amat besar sebagai peneraju kegemilangan tamadun bahasa Melayu di negara ini (malah sehingga di peringkat rantau Asia dan antarabangsa jika merujuk perancangan strategi jangka panjang DBP), tokoh yang dipilih perlulah memiliki kewibawaan yang unggul dan dapat memacu DBP bagi merealisasikan perancangannya.
Jika tidak, seperti yang baru berlalu, DBP semacam 'kaku' dan banyak pihak mengambil peluang untuk tidak 'menghormati' bahasa Melayu sehingga keadaan berleluasa sekarang ini.
Membiarkan jawatan penting ini terlalu lama pastinya akan menggendalakan usaha memperkasa kembali bahasa Melayu sebagai bahasa pengucapan tamadun ilmu. Adakah negara sudah ketandusan tokoh? Rasanya tidak!
Tokoh seperti Prof. Dr. Awang Sariyan yang kini menjawat jawatan Profesor bagi Kerusi Pengajian Bahasa Melayu di Beijing antara tokoh yang paling layak dan sesuai bagi memikul tanggungjawab tersebut.
Tokoh lain yang boleh pertimbangkan juga ialah Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan (Pengarah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya) di samping pengarah-pengarah bahagian Kementerian Pendidikan yang berwawasan seperti Datuk Zainal Abidin Ahmad.
Gabungan mana-mana tokoh tersebut dipercayai dapat mengembalikan maruah dan peranan DBP. Walau apa pun, mana- mana calon yang terpilih perlulah mampu memikul amanah ke arah memartabatkan semula bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu khususnya bagi bidang sains dan teknologi agar kembali semula ke landasan yang betul seperti status sebelum tahun 2002 - daripada peringkat rendah sehingga ke peringkat pengajian tinggi.
Hanya cara ini tamadun bahasa Melayu akan kembali gemilang akibat pengembangannya yang menyeluruh bagi semua bidang ilmu, tegasnya tidak dihadkan bagi bidang-bidang tertentu sahaja.
KAMAL SHUKRI ABDULLAH SANI
Timbalan Presiden
Persatuan Linguistik Malaysia