06 January 2010

Peningkatan kualiti guru keperluan mendesak

Utusan Online

KUALA LUMPUR 5 Jan. - Peningkatan kualiti warga perguruan melalui program pembangunan profesionalisme berterusan kini merupakan keperluan mendesak, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, ia penting bagi memperbaiki kompetensi, pengetahuan dan keupayaan warga guru agar menjadi lebih dinamik.

Beliau berkata, usaha juga perlu dilakukan bagi menarik penyertaan lebih ramai individu yang berkebolehan menyertai profesion perguruan yang semakin mencabar.

"Apa yang lebih penting pada laluan untuk menuju ke arah kecemerlangan pendidikan ialah kualiti para guru.

"Semua pihak tahu bahawa kualiti sistem pendidikan yang kita ada tidak boleh mengatasi kualiti yang dimiliki para guru kerana merekalah yang akan menentukan prestasi sesebuah sekolah dan pencapaian pelajarnya," katanya.

Beliau berucap demikian sewaktu merasmikan Seminar Kongres Antarabangsa Bagi Keberkesanan dan Penambahbaikan Sekolah 2010 (ICSEI 2010) Kali Ke-23, di sini hari ini.

ICSEI 2010 yang dianjurkan oleh Universiti Malaysia (UM) dengan kerjasama Kementerian Pelajaran itu berlangsung sehingga Jumaat ini dan disertai kira-kira 600 peserta tempatan dan antarabangsa.

Hadir sama pada majlis perasmian itu ialah Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang; Pro-Canselor UM, Toh Puan Dr. Aishah Ong; Pengerusi Lembaga Pengarah UM, Tan Sri Arshad Ayub dan Timbalan Naib Canselor UM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Jamil Maah.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, sebagai sebahagian usaha meningkatkan kualiti guru, kerajaan telah menaik taraf semua maktab perguruan menjadi institut perguruan dan memperkenalkan program ijazah khas untuk para guru yang tidak mempunyai ijazah.

Katanya, Kementerian Pelajaran juga menggariskan beberapa strategi untuk meningkatkan tahap profesion perguruan antaranya mengetatkan proses pemilihan bakal guru, memperbaiki suasana pengajaran, mengukuhkan keyakinan diri guru dan memberikan khidmat sokongan yang berterusan.

"Dalam hal ini, kita menyediakan yang terbaik kepada para guru dengan peluang saksama untuk meningkatkan kerjaya mereka.

"Pengetua dan guru cemerlang pula diberikan peluang naik pangkat sebagai galakan kepada mereka meningkatkan prestasi dan seterusnya menambah baik proses pengajaran dan pembelajaran," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin berkata, pihaknya turut melakukan kajian semula kurikulum kebangsaan bagi memastikan ia memenuhi harapan dan tuntutan pendidikan berkualiti.

Katanya, kajian semula itu membabitkan penerapan elemen kreativiti, inovasi dan kemahiran hidup kepada aspek pengajaran dan pembelajaran.

"Ini dilakukan melalui perubahan kandungan kurikulum, organisasi, pedagogi dan pendekatan dalam bilik darjah bagi memastikannya secara efektif memperkukuhkan potensi yang kreativiti dan potensi yang dimiliki pelajar.

"Perubahan ini dijangka sesuai untuk membentuk ekonomi berasakan ilmu pengetahuan yang kejayaannya bergantung kepada potensi kreativiti dan inovasi modal insan," katanya.

Program kerja dari rumah JKR berjalan lancar

Utusan Online

KUALA LUMPUR 5 Jan. - Seramai 39 kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang terlibat dalam Program Perintis Bekerja Dari Rumah tidak mempunyai sebarang masalah melaksanakan tugas mereka sejak ia bermula semalam.

Ketua Pengarah JKR, Datuk Seri Dr. Judin Abdul Karim berkata, beliau belum menerima aduan mengenai sebarang masalah terutama berkaitan penggunaan sistem tugasan.

"Ia berjalan lancar. Saya yakin ia program terbaik yang boleh terus dilaksanakan pada masa depan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Seramai 39 kakitangan yang berkhidmat di kementerian itu terutama mereka yang bertugas sebagai Penolong Juruukur Bahan, Pelukis Pelan dan Juruteknik di Jabatan Kerja Raya (JKR) terpilih untuk menjalani program perintis itu selama tiga bulan.

Kesemua mereka yang bertugas di Cawangan Kejuruteraan Awam, Struktur dan Jambatan, Cawangan Arkitek dan Cawangan Ukur Bahan dipilih berdasarkan skop tugas secara langsung yang hanya melibatkan penggunaan komputer dan Internet.

Antara faktor utama pemilihan kakitangan terlibat termasuk jantina, jarak ke pejabat dan juga tahap kesihatan diri serta keluarga peserta.

Semua pelukis pelan yang dipilih dibekalkan dengan kemudahan peralatan komputer, komunikasi, talian Internet dan peralatan pejabat yang minimum.

Judin berkata, program tersebut diyakini akan berjalan lancar dengan penggunaan maksimum teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang dibekalkan kepada setiap peserta terutama Internet.

Atasi masalah lebihan guru

Utusan Online

SAYA merujuk kepada kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi, baru-baru ini, mengenai penawaran guru keluaran Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) melebihi permintaan.

Ini merupakan satu situasi serius yang patut ditangani dengan segera agar keadaan tidak terus menjadi parah.

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) nampaknya menyalahkan pihak universiti kerana tidak merancang pengambilan pelajar. Secara langsung, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) turut terkena tempias dalam hal ini.

Adalah dipersetujui dahulu bahawa semua guru sekolah menengah akan diisi oleh pelajar dari IPTA di bawah pengawasan dan perancangan KPM dan KPT.

Justeru, sebagai pembayar cukai dan rakyat Malaysia, izinkan saya mengemukakan beberapa cadangan yang mungkin boleh diguna pakai dalam mengatasi masalah lambakan guru di pasaran. Antaranya:

n KPM dan KPT haruslah seiring bekerjasama dalam menentukan jumlah pelajar yang patut diambil setiap tahun. Ini sudah pasti memerlukan perancangan yang tepat berdasarkan fakta yang betul.

n Mengurangkan pengambilan calon Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI), juga Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah.

n Menempatkan guru sandaran terlatih keluaran IPTA di sekolah rendah yang dikenal pasti kekurangan guru. Saya difahamkan langkah ini telah pun dibuat oleh KPM.

n Memberhentikan pengambilan guru-guru yang telah bersara untuk kembali mengajar, sama ada di sekolah rendah atau menengah.

n Mengurangkan pengambilan guru terlatih kendalian KPM di semua Institusi Pendidikan Guru Malaysia (IPGM). Pengambilan seharusnya dibuat sekali sahaja dalam setahun.

n Semua universiti disaran dapat mengurangkan pengambilan baru di masa hadapan.

Saya beranggapan sekiranya cadangan-cadangan di atas dapat dilaksanakan, lebihan guru di pasaran dapat diselesaikan, sekali gus perbelanjaan kementerian dapat dikurangkan secara signifikan.

Pihak universiti yang terlibat dalam pengambilan pelajar pendidikan juga boleh memainkan peranan mereka dengan membuat fokus yang betul sebelum menawarkan tempat kepada pelajar baru.

LEE NYAN

Langkawi, Kedah

Harapan anggota tentera miliki rumah

Utusan Online

KENYATAAN Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, selaku Menteri Pertahanan Malaysia, baru-baru ini supaya warga tentera memiliki rumah sendiri sebelum persaraan menampakkan beliau begitu prihatin terhadap warga tentera daripada segi kebajikan.

Memiliki rumah sendiri adalah impian setiap warga tentera apabila menamatkan perkhidmatan selain daripada mendapat faedah berpencen.

Hanya harapan kami warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) agar pihak tertentu dapat mengkaji balik kadar faedah bayaran balik pinjaman perumahan, menurunkannya daripada empat peratus kini kepada satu peratus.

Perkhidmatan tentera tidak sama dengan perkhidmatan kerajaan yang lain. Bagi anggota tentera lain-lain pangkat hanya berkhidmat sehingga 21 hingga 25 tahun.

Tetapi kadar bayaran balik pinjaman perumahan sama dengan kakitangan kerajaan yang lain yang berkhidmat 55 atau 56 tahun, sedangkan warga tentera hanya berkhidmat selama 21/25 tahun sahaja.

Dengan pelantikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sedikit sebanyak sudah nampak ke arah perubahan dari segi kebajikan warga tentera di samping mempertingkatkan lagi mutu pertahanan negara. Berilah perhatian dan sokongan kepada jasa dan pengorbanan bekas tentera.

RAJA AZMAN

Seremban, Negeri Sembilan

NUTP Cadang Wujud Jawatan Pembantu Guru Untuk Tugas Sampingan

KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan jawatan pembantu guru di sekolah-sekolah dengan nisbah seorang bagi setiap 500 murid bagi menjalankan beberapa tugas tertentu yang kini dipikul oleh guru.

Setiausahanya Lok Yim Pheng berkata pembantu guru itu akan berperanan melakukan segala kerja pengkeranian seperti mengisi borang dan mengiringi murid ke acara sukan atau ke hospital dan klinik, dan ini akan membebaskan guru daripada beban yang tidak perlu, sekali gus membenarkan mereka menumpukan perhatian kepada tugas mengajar.

"Pada masa sekarang guru dikekang dengan pelbagai kerja pengkeranian dan tugas remeh yang mengambil banyak masa mereka," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Lok berkata NUTP, yang mempunyai 160,000 anggota, menyambut baik keputusan kerajaan untuk memperkenalkan elemen kreativiti, inovasi dan kemahiran hidup dalam kurikulum sekolah bagi memenuhi keperluan semasa.

"Inilah yang kita minta bertahun-tahun sebelum ini dan kita berasa gembira kerana kerajaan telah memberi respons yang positif kepada idea itu," katanya merujuk kepada kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran bahawa kerajaan berhasrat mengubah sistem pendidikan negara bagi menyediakan pendidikan berkualiti.

Lok berkata kerajaan juga boleh menimbang untuk menaik taraf sistem teknologi komunikasi maklumat sekolah dan menghubungkannya terus kepada pejabat pelajaran daerah, negeri dan kementerian.

"Apa yang berlaku sekarang ialah guru-guru diminta menghantar maklumat yang sama kepada pejabat pelajaran daerah, negeri dan kementerian secara berasingan," kata Lok.

-- BERNAMA

05 January 2010

13,000 Pengambilan Baru Guru Bahasa Inggeris Untuk Capai NKRA

KOTA SAMARAHAN, 5 Jan (Bernama) --- Untuk mencapai Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Kementerian Pelajaran kini dalam proses merekrut kira-kira 13,000 calon lepasan universiti dan lepasan sekolah menengah untuk dilatih sebagai guru Bahasa Inggeris di seluruh negara mulai tahun depan.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata kementerian yakin akan mencapai sasaran itu dan calon yang terpilih akan dihantar ke pusat institut pendidikan guru di negara ini.

"Ini salah satu langkah untuk mengatasi masalah kekurangan guru dan pada masa yang sama untuk memastikan pelajar dapat mengakses pendidikan yang berkualiti sepertimana yang digariskan di bawah NKRA," katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Pendam, Sadong Jaya di sini hari Selasa.

Beliau turut mengunjungi lapan sekolah rendah dan menengah di kawasan Parlimen Batong Sadong.

Mohd Puad berkata kementerian akan mengambil lebih ramai calon guru tempatan untuk menjalani latihan perguruan bagi mengelakkan masalah penempatan guru di kawasan pedalaman dan luar bandar.

Beliau berkata kini terdapat 6,261 guru di 443 sekolah rendah dan menengah yang dikategori sebagai sekolah luar bandar dan pedalaman di Sarawak.

"Angka ini agak tinggi dan untuk menangani masalah ini, kita harus mengambil lebih ramai calon tempatan yang berminat untuk dilatih sebagai guru," katanya.

Sementara itu, Mohd Puad berkata Kementerian Pelajaran akan mempergiat usaha untuk menyediakan kemudahan pembelajaran seperti bangunan sekolah, kemudahan asas seperti bekalan air bersih dan elektrik di sekolah luar bandar dan pedalaman Sarawak di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh.

"Selain itu, kementerian akan memberi perhatian segera kepada kemudahan rumah guru," katanya.

-- BERNAMA

Hari Bertemu Pelanggan BPA Di KL Setiap Selasa

KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) -- Biro Pengaduan Awam (BPA) mulai Selasa akan mengadakan Hari Bertemu Pelanggannya pada setiap Selasa untuk kawasan Lembah Klang di Dewan Pusat Kegiatan Masyarakat (Kemas) Kampung Seri Batu, Jalan Ipoh di sini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T. Murugiah berkata tindakan itu bagi mengatasi kesesakan di pejabat BPA di Putrajaya yang mencatat jumlah pengadu yang semakin meningkat.

Sejak tiga bulan lepas sahaja, jumlah pengadu di BPA Putrajaya mencecah 200 hingga 300 orang sehari hingga menyebabkan keadaan di pejabat biro itu begitu sesak, katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis bertemu pelanggan itu.

Murugiah berkata keadaan di Dewan Kemas Kampung Seri Batu, yang mempunyai ruang lebih luas dan selesa, amat berbeza dengan pejabat BPA di Putrajaya yang tidak mempunyai dewan untuk menempatkan jumlah pengadu yang semakin meningkat.

Walaupun BPA hanya turun ke Kuala Lumpur setiap Selasa, anggota biro itu akan memastikan mereka akan bertindak dalam tempoh masa 48 jam bergantung kepada jenis kes yang diadukan, katanya.

Murugiah berkata antara kes yang menarik perhatiannya hari ini adalah aduan seorang pemilik rumah yang mendakwa beliau ditipu oleh seorang pekerja di sebuah bank tempatan berkaitan urusan jual beli rumah yang didudukinya.

Kes ini akan dibawa ke Majlis Timbangtara yang diadakan setiap Khamis di pejabat BPA di Putrajaya, dan pihaknya akan memanggil semua pihak yang terlibat termasuk wakil dari Bank Negara dan Kementerian Kewangan.

-- BERNAMA

Minta JPA kaji semula gaji lulusan Sijil Perancang Bandar

Berita Harian

TERLEBIH dulu saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kerana sehingga kini sudah menyelaraskan gred gaji kakitangan perkhidmatan awam, selaras dengan dasar kerajaan untuk mempertingkatkan kualiti perkhidmatan awam.

Sehubungan itu, kami pemilik sijil perancangan bandar dan wilayah dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Politeknik rasa amat gembira dan terbela apabila di bawah Sistem Saraan Malaysia yang di umumkan pada 2007, kami diletakkan di bawah Gred 27, iaitu selepas kelulusan SPM (Gred 17) / sijil Pusat Pengajian Tinggi dan STPM (Gred 27) / Diploma (Gred 29).

Pengorbanan tenaga dan wang ringgit selama dua tahun belajar di Pusat Pengajian Tinggi (UiTM dan Politeknik) selepas tamat SPM, amat kami hargai selepas pengumuman itu, apabila kami diletakkan di skim sama taraf dengan STPM.

Tetapi sehingga kini kami graduan sijil dari pusat pengajian tinggi masih lagi menikmati skim gred J17. Malah gred kami sama dengan gred SPM walaupun gaji permulaan kami tinggi tetapi gaji akhir kami tetap sama dengan gred SPM (Pelukis Pelan) iaitu J17.

Jika dilihat tugas dan fungsi kami dengan Penolong Pegawai Penempatan (SO) di Pejabat Daerah yang dinaikkan gred ke N27 baru-baru ini, adalah sama dalam membantu merancang pembangunan di negara ini. Malah banyak lagi skim lain yang dinaikkan tarafnya.

Pihak JPA juga perlu melihat kembali struktur kenaikan gaji akhir kenaikan pangkat daripada Juruteknik Perancang Bandar J17 ke J22 dengan jumlah kenaikan hanya RM300 saja. Jika dibandingkan struktur kenaikan gaji akhir Penolong Pegawai Perancang Bandar (lulusan Diploma - tiga tahun belajar) J29 ke J36 sehingga RM2,000.

Jurang ini terlalu besar dibandingkan dengan kenaikan struktur gaji kami juruteknik (lulusan sijil pengajian tinggi � dua tahun belajar). Kami graduan UiTM, Politeknik yang mengambil jurusan sijil

Perancang Bandar dan Desa selama dua tahun hanya kurang setahun daripada diploma tetapi skim kenaikan gaji kami terlalu rendah.

Gaji akhir juruteknik Perancang Bandar J26 adalah RM3,200 sedangkan gaji akhir Peno long Pegawai Perancang Bandar J38 adalah RM5,200.

JURUTEKNIK MERINTIH
1MALAYSIA,
Kuantan, Pahang.

Indians urged to enter civil service

THERE are about 42,000 vacancies in the public sector and the Indian community should seize the opportunity to join the civil service, reported Malaysia Nanban.

More Indians should come forward and serve the Government as they consisted only 1.8% of the workforce in the public sector.

The press secretary to the Deputy Minister in Prime Minister’s Department R. Rajendran said the Government was trying to increase the percentage of Indians in the public sector to 4.5%.

He said this after attending the 1Malaysia People’s Dinner organised by the Pandan Indah People’s Progressive Party on Saturday.

04 January 2010

KSN Mahu Jabatan Tidak Lagi Beri Jawapan 'Masih Dikaji' Atau 'Masih Disiasat'

KUALA LUMPUR, 4 Jan (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan Isnin menegaskan perlunya perkhidmatan kerajaan bertindak segera terhadap aduan orang ramai selaras dengan citarasa pelanggan yang sentiasa inginkan perkhidmatan terbaik serta respons terpantas.

"Mereka inginkan tindakan segera dibuat kepada setiap aduan yang dilontarkan. Kita tidak boleh lagi bagi jawapan "masih dikaji" atau "masih disiasat" sebagai alasan kepada aduan mereka.

"Kalau boleh, kita nak, sesuatu aduan itu dibuat tindakan dalam masa satu hari atau satu jam, bukan lagi satu minggu atau satu bulan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan pusat panggilan setempat DBKL di sini.

Pusat itu yang juga dikenali sebagai ""call centre" ditubuhkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di mana semua aduan diterima diselaraskan melalui satu pusat sebelum disalurkan terus ke jabatan berkaitan untuk tindakan segera.

Menggunakan Sistem Pemantauan Aduan Agensi Awam (i-SPAAA), pusat itu yang beroperasi sejak 1 Jan lepas menggantikan Sistem Pengaduan Awam Kuala Lumpur (PAKL), yang diguna pakai sejak 2003.

Mohd Sidek berkata kewujudan pusat itu dilihat mampu menepati citarasa pelanggan yang sentiasa inginkan perkhidmatan terbaik serta memberi respons yang pantas bagi setiap aduan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Ahmad Fuad Ismail berkata melalui pusat panggilan itu, aduan orang ramai akan dibuat tindakan susulan kepada jabatan atau cawangan terlibat pada kadar segera serta pihak pengadu akan turut dihubungi bagi dimaklumkan status terkini tindakan yang telah dibuat.

Pusat panggilan itu boleh dihubungi di talian 1-800-88-3255 dan dikendalikan oleh 21 petugas yang terlatih serta beroperasi di Tingkat 1, Menara DBKL 2, Jalan Raja Laut.

"Buat masa ini, ia beroperasi 24 jam termasuk cuti hujung minggu dan hari kelepasan am. Bagaimanapun, selepas pukul 5 petang hingga 8 pagi pada hari-hari bekerja serta pada cuti hujung minggu dan hari kelepasam am, hanya aduan-aduan berbentuk kecemasan sahaja yang akan diambil tindakan serta merta manakala aduan biasa akan diambil tindakan pada hari-hari bekerja selanjutnya," katanya.



-- BERNAMA

JPN Tempat 535 Guru Pedalaman Kelantan

GUA MUSANG, 4 Jan (Bernama) -- Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan (JPNK) menerima penempatan 535 orang guru baru khusus bagi menampung kekurangan guru membabitkan sebilangan besar sekolah rendah pedalaman Hulu Kelantan awal tahun ini.

Guru terbabit mulai melapor diri Ahad lalu termasuk seramai 145 orang guru lepasan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) yang akan mengajar subjek Bahasa Inggeris dan Kemahiran Hidup. Ketua Sektor Pengurusan JPKN, Zahari Daud, berkata sebilangan besar guru terbabit ditempatkan di semua Sekolah Kebangsaan (SK) di tiga jajahan utama termasuk Gua Musang, Kuala Krai dan Jeli yang mengadapi masalah kekurangan guru tahun lepas. Beliau berkata, fokus utama pengagihan guru terbabit di SK perkampungan Orang Asli bagi menjayakan sasaran kerajaan membendung buta huruf di kalangan anak kaum itu dan mengatur kecemerlangan.

"Mulai tahun ini kita mahu lihat murid anak Orang Asli ada kemajuan terutama keputusan lebih baik dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) berbanding tahun lalu yang amat mengecewakan," katanya kepada pemberita selepas majlis perkenalan dengan guru baru dan perjumpaan dengan ibu bapa murid Orang Asli di SK Pos Tohoi, dekat sini, pagi Isnin.

Zahari berkata, pihaknya juga mempunyai dasar bagi memberi keutamaan kepada sekolah luar bandar itu untuk menempatkan guru baru sehingga ada sekolah mempunyai dua guru mengajar subjek Bahasa Inggeris.

"Kita memberi tumpuan demikian kerana tahun lalu menerima banyak aduan ibu bapa mengenai masalah kekurangan guru menyebabkan anak mereka tercicir dan tahun ini kita mahu lihat pula ada perubahannya selepas permintaan itu ditunaikan.

"Berikutan itu, kita turut melarang guru baru supaya tidak membuat surat permohonan untuk mengajar di sekolah kawasan bandar kerana kuota mereka ada untuk penempatan di luar bandar Kelantan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menetapkan hanya dua syarat bagi membolehkan guru terbabit membuat permohonan pertukaran termasuk mereka yang mempunyai penyakit kritikal memerlukan rawatan di hospital kawasan Kota Bharu dan anak Orang Kurang Upaya (OKU).

"Jika tidak mempunyai alasan itu, kita sama sekali tidak melayan permohonan pertukar dan wajib hadir mengajar di sekolah yang ditetapkan," katanya.



-- BERNAMA