Bakal guru perlu lulus M-Test
Berita Harian
Oleh Betty Subaryati
Lulusan SPM, STPM kena ambil ujian kelayakan khas mulai tahun depan
KOTA BHARU: Mulai tahun depan, semua pelajar lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mahu memasuki institut pendidikan guru perlu mengambil ujian kelayakan khas atau M-Test.
Pengarah Bahagian Pendidikan Guru Kementerian Pelajaran, Wan Mustama Wan Abdul Hayat, berkata syarat baru yang akan dimulakan pada sesi pengambilan Januari 2008 itu turut membabitkan lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Katanya, kementerian memperkenalkan ujian kelayakan khas itu bagi memastikan hanya calon berminat dipilih menjadi guru sebelum ditempatkan di mana-mana kawasan, termasuk pedalaman.
"Kementerian tidak mahu seseorang calon itu memilih kerjaya guru disebabkan tiada kerja dan memilih memohon mengikuti kursus perguruan sedangkan mereka sebenarnya tidak berminat serta sanggup menghadapi pelbagai cabaran.
"Pelaksanaan syarat baru itu juga bukan bertujuan menyekat penyertaan calon yang jumlahnya terus bertambah setiap tahun, sebaliknya memastikan mereka yang benar-benar layak dari segi akademik dan sahsiah diri dipilih," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Konvokesyen ke-44, Institut Perguruan Kota Bharu (IPKB) di Pengkalan Chepa, di sini, semalam.
Pada majlis itu, kira-kira 300 penuntut IPKB menerima diploma masing-masing termasuk 70 penuntut cemerlang.
Wan Mustama berkata, bagi kemasukan Januari 2008 seramai 88,700 pelajar lepasan SPM memohon program itu dengan 9,860 daripadanya sudah dipanggil menjalani temu duga bagi kemasukan ke 27 institut perguruan seluruh negara.
"Bagaimanapun, hanya 3,900 calon layak memasuki program berkenaan selepas melepasi ujian tapisan kerana memiliki personaliti dan sahsiah menarik sebagai guru profesional," katanya.
Dalam perkembangan lain, Wan Mustama berkata, kementerian menerima lebih 56,000 permohonan untuk mengikuti Kursus Perguruan Lulusan Ijazah (KPLI) bagi sesi Januari tahun depan.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 52,000 calon layak ditemu duga tetapi pada masa sama hanya 9,900 kekosongan ditawarkan untuk mengajar di sekolah seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Katanya, semua calon yang memohon KPLI turut diwajibkan menjalani M-Test selain beberapa ujian khas bagi memastikan mereka bersedia ditempatkan ke kawasan kritikal.
No comments:
Post a Comment