29 May 2007

Usah fikir soal bonus: Cuepacs

Berita Harian

KOTA BHARU: Kakitangan awam diminta jangan terlalu memikirkan pemberian bonus oleh kerajaan yang biasanya diberikan pada setiap hujung tahun.

Sebaliknya, mereka perlu meningkatkan produktiviti dan mutu kerja selepas menikmati kenaikan gaji yang adil bermula Julai ini, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Omar Osman

“Cuepacs belum memikirkan soal bonus kerana akan dibincangkan kemudian. Kalau tak dapat pun, pekerja kena bersyukur... kalau dapat lagi bagus. Tapi kalau harga barang naik berpanjangan, kita kena tengoklah macam mana.

"Cuma kita harap, kakitangan awam perlu bijak membelanjakan wang mereka dan jangan digunakan sewenang-wenang. Mereka perlu fikir untuk menabung bagi keperluan masa depan," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kesatuan Penyelenggara Stor Kerajaan (Kestor), di sini semalam.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Cuepacs tegas mahu Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dimansuhkan kerana mendakwa peperiksaan itu tidak mencapai matlamat meningkatkan kualiti kakitangan awam.

Omar berkata pihaknya berharap mengadakan pertemuan dan berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) secepat mungkin supaya peperiksaan itu ditukarkan kepada sistem lebih berkesan.

Sambil mendakwa JPA gagal mengotakan janji yang PTK memberi faedah kepada kakitangan awam dalam taklimatnya kepada Cuepacs sebelum ini, beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan memboikot peperiksaan itu jika ia tetap dilaksanakan sehingga tahun depan.

"Kita nak lihat perubahan dilakukan dalam tahun ini juga. Tahun depan kita tak mahu lagi PTK. Kalau JPA laksanakan juga, Cuepacs akan buat sesuatu berdasarkan maklum balas daripada kongres,” katanya.

"Kalau keadaan sudah sampai ke tahap membosankan, kita akan ambil tindakan termasuk boikot. Kita akan lakukannya kalau pelaksanaan PTK terus menjejaskan keharmonian kakitangan awam,"

Beliau mengulas kenyataan Ketua Komunikasi Korporat JPA, Hasniah Rashid, dalam Berita Harian semalam yang berkata PTK tidak akan dimansuhkan, sebaliknya diperbaiki dan dinilai dari semasa ke semasa bagi faedah semua kakitangan awam.

Hasniah berkata, dakwaan Cuepacs sebelum ini yang menyifatkan PTK gagal mencapai matlamatnya tidak tepat kerana sistem itu lebih fleksibel dan sesuai dengan keadaan kerja kakitangan awam.

Omar berkata, 65 peratus daripada lebih sejuta kakitangan awam sudah mengambil peperiksaan PTK sejak 2003 tetapi ramai tidak mendapat anjakan gaji dan kenaikan pangkat kerana sistem itu ditentukan berdasarkan kuota.

"Ketika taklimat dulu, JPA berjanji memberi anjakan gaji dan kenaikan pangkat kepada kakitangan yang lulus PTK tetapi tidak berlaku kerana ada kakitangan yang lulus pada 2003 masih tidak mendapat apa-apa kerana kuota yang ditetapkan JPA.

"Soalan yang disediakan juga tidak menepati pengkhususan dan bidang kerja seseorang kakitangan mengikut sektor masing-masing. Malah, sistem yang diguna pakai dalam PTK juga tak relevan.

"Bagaimana kakitangan yang baru kerja lima tahun boleh jadi pegawai kanan, tapi yang sudah 20 tahun kerja pula tak dapat peluang kenaikan pangkat walaupun prestasi cemerlang hanya kerana gagal ujian PTK," katanya.

No comments: