12 August 2009

Naikkan pangkat Penolong Pegawai Tadbir

SAYA ingin menarik perhatian Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung peluang kenaikan pangkat jawatan Penolong Pegawai Tadbir (PPT) Persekutuan ke jawatan Pegawai Tadbir Gred N41 atau Gred 41 lain yang amat mengecewakan.

Walaupun ramai di antara penyandang telah memiliki ijazah, telah lulus peperiksaan Kenaikan Pangkat Secara Lantikan (KPSL) sejak 15 tahun yang lalu, selain telah lulus Aras IV dalam PTK 4 dan PTK 5, masih lagi menyandang Gred N32 dan kini telah wujud Gred N36 (yang baru diujudkan dalam SSM).

Peluang kemajuan kerjaya ini amat berbeza dengan rakan-rakan dalam skim perkhidmatan lain seperti skim Perkhidmatan Penolong Penguasa Imigresen, Penolong Pegawai Penerangan, Penolong Penguasa Kastam, Penolong Pegawai Kebudayaan, Penolong Pegawai Perhubungan Perusahaan, Penolong Pegawai Penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan, Penghulu dan Jabatan-jabatan lain yang mempunyai kelayakan dan kelulusan sama.

Tetapi mereka mempunyai lebih peluang, malah telah ramai yang mendapat kenaikan pangkat ke jawatan Kumpulan Pengurusan dan Profesional mengikut skim masing-masing, sama ada melalui Kenaikan Pangkat Secara Lantikan atau permohonan baru kerana memiliki ijazah.

Sebagai contoh, kenaikan pangkat Penolong Penguasa Imigresen ke jawatan Penguasa Imigresen, Penolong Penguasa Kastam ke jawatan Penguasa Kastam dan begitu juga dengan jawatan lain di mana skim perkhidmatannya membolehkan mereka naik pangkat sehingga ke peringkat Kumpulan Pengurusan dan Profesional dalam Skim Perkhidmatan yang sama.

Malangnya perkara ini tidak berlaku kepada Skim Perkhidmatan Penolong Pegawai Tadbir Persekutuan kerana jawatan Pegawai Tadbir Gred N41 banyak telah dijumudkan.

Walaupun secara dasarnya penyandang jawatan PPT boleh memohon gabungan skim 14 jawatan tetapi peratusan yang berjaya dalam temu duga dan ditawarkan ke jawatan dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional amat mendukacitakan.

Walaupun kelihatan pada zahirnya peluang yang diberikan itu sama rata, realiti sebenarnya adalah jauh berbeza.

Ini kerana lazimnya kecenderungan panel penemuduga untuk memilih calon yang baru tamat pengajian universiti atau calon dari Skim Perkhidmatan yang sama berbanding calon dari kalangan Penolong Pegawai Tadbir.

Peluang dan keadaan ini amat berbeza dengan Skim Pembantu Tadbir di mana jika dibandingkan Pembantu Tadbir (P/O) Gred N17 yang telah berjaya menjawat jawatan Penolong Pegawai Tadbir Gred N27 secara Kenaikan Pangkat Secara Lantikan dengan Penolong Pegawai Tadbir yang telah berjaya ke jawatan Gred 41, jauhnya boleh di ibaratkan 'langit dengan bumi'.

Malah begitu ramai sekali Pembantu Tadbir Gred N17 yang telah mendapat kenaikan pangkat ke gred N22, N26, N27 dan sekarang telah berada di gred N32, 36 berbanding ada Penolong Pegawai Tadbir Gred N27 yang hanya mendapat kenaikan pangkat ke gred N32 dan N36 sahaja.

Logiknya penambahbaikan Skim Perkhidmatan Penolong Pegawai Tadbir Persekutuan sebenarnya indah khabar dari rupa kerana tidak ada bezanya dengan jawatan Pegawai Kerja atau Pegawai Eksekutif sebelum SSB atau SSM.

Di sini saya ingin mencadangkan supaya JPA mewujudkan jawatan Penolong Pegawai Tadbir Gred N41/N42 bagi memberi peluang dan membolehkan lebih ramai Penolong Pegawai Tadbir yang layak untuk naik pangkat ke jawatan yang lebih tinggi dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional, terutama yang telah lama berkhidmat dan berada dalam Gred N32 dan N36.

Daripada segi penempatan pegawai pegawai bolehlah di tempatkan di mana-mana jabatan atau pejabat di mana ketua jabatannya yang bukan dari kalangan bukan Pegawai Tadbir Dan Diplomatik.

Misalnya di Institut Perguruan, Institut Kemahiran Belia Negara, Institut Latihan Perindustrian, Jabatan Penjara, politeknik, hospital atau di mana saja yang difikirkan sesuai oleh pihak JPA sendiri.

PENOLONG PEGAWAI TERBIAR

Kota Kinabalu, Sabah

11 August 2009

Mara akan disusun semula

Oleh AMRAN MULUP
pengarang@utusan.com.my

MELAKA 10 Ogos - Kerajaan akan menyusun semula peranan Majlis Amanah Rakyat (Mara) agar lebih berkesan membantu bumiputera dalam bidang pendidikan dan perniagaan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, penyusunan semula Mara perlu dibuat bagi meyakinkan rakyat bahawa agensi itu masih berperanan membantu golongan bumiputera.

Menurutnya, beliau telah mengadakan mesyuarat dan perbincangan dengan beberapa kumpulan yang terlibat dalam sektor pendidikan dan perniagaan bagi merumuskan penyusunan semula agensi tersebut.

''Kita sedang memantapkan peranan Mara bagi membantu masyarakat Melayu dan bumiputera di bidang pendidikan dan perniagaan.

''Dua bidang ini diberi penekanan untuk menjadi fokus dalam penyusunan semula peranan Mara tidak lama lagi,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kota Melaka di sini malam tadi.

Mengulas lanjut Mohd. Shafie memberitahu, dalam bidang pendidikan, kerajaan mahu memastikan pelajar di bawah tajaan Mara tidak hanya tertumpu kepada beberapa jurusan seperti kejuruteraan dan undang-undang.

Menurut beliau, pihaknya tidak mahu dengan menumpukan kepada satu bidang sahaja, akan berlaku lambakan tenaga kerja di kalangan penuntut apabila mereka tamat pengajian nanti.

Sehubungan itu jelasnya, penyusunan semula agensi itu akan memberi tumpuan kepada membiayai pelajar menerokai pelbagai jurusan yang boleh menjamin masa depan mereka.

''Mara juga akan mencari institusi pengajian tinggi (IPT) bertaraf antarabangsa di luar negara untuk menghantar pelajar pada masa depan,'' katanya.

Dalam bidang perniagaan pula kata Mohd. Shafie, penyusunan semula itu akan tertumpu kepada usaha membantu golongan bumiputera dari segi pengisian modal insan.

Jelasnya, tumpuan dalam bidang keusahawanan tidak lagi dilihat dari aspek membina bangunan semata-mata, sebaliknya membantu mereka berjaya dalam bidang perniagaan.

Mohd. Shafie yang juga Naib Presiden UMNO dalam pada itu, meminta semua ahli parti di pelbagai peringkat agar tidak mengamalkan sikap lalai, sombong dan bongkak.

''Jika sikap ini diamalkan ia akan membuatkan rakyat akan terus menjauhkan diri daripada UMNO,'' ujarnya.

KPT Pantau Pemberian Gelaran Prof Madya Dan Profesor

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pengajian Tinggi sedang memantau pemberian gelaran profesor madya dan profesor oleh institusi pengajian tinggi termasuk milik swasta di negara ini bagi menjamin prestij status itu, kata Timbalan Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah.

"Kita bukan nak menghadkan orang daripada naik pangkat, gaji dan sebagainya tetapi gelaran itu hendaklah kita jaga kerana dalam dunia akademia, gelaran itu adalah gelaran tertinggi dan suci," katanya.

Beliau berkata warga IPT masih mempunyai banyak platform untuk menikmati kenaikan pangkat walaupun tidak bergelar profesor madya dan profesor.

"Mereka boleh jadi pensyarah kanan, boleh jadi fellow utama atau pakailah nama apa pun dan naiklah pangkat. Kasihanlah kepada profesor yang jadi profesor melalui letih dan jerih menghasilkan penulisan sedangkan ada orang boleh dapat sedemikian mudah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Syarahan Perdana Naib Canselor dan melancar buku dan slogan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta program Diploma Eksekutif Pengurusan Perniagaan dan Teknologi Peruncitan.

Pemantauan itu juga adalah sebagai salah satu usaha kementerian untuk menjamin kualiti pendidikan tinggi negara ini, katanya.

"Kita dalam usaha nak menjamin kualiti pendidikan, satu daripada caranya ialah menerusi kualiti pensyarah. Satu daripada cara menjamin kualiti pensyarah ialah kita akan mengenakan syarat yang lebih ketat untuk seseorang itu mendapat gelaran profesor madya dan profesor," katanya.

Saifuddin berkata bagi mendapatkan gelaran profesor madya dan profesor, seseorang pensyarah itu mestilah menghasilkan penulisan sekurang-kurangnya dua buah rencana berbentuk jurnal berwasit setahun selain penerbitan buku ilmiah.

"Dengan kata lain, adalah amat sukar selepas ini untuk seorang pensyarah yang tak menghasilkan penulisan untuk (mendapat) gelaran profesor madya mahupun profesor," katanya.

Sementara itu, UTM yang melancarkan program diploma eksekutif pengurusan perniagaan dan teknologi peruncitan menerima sumbangan peruntukan sebanyak RM9.2 juta, RM7.2 juta daripada syarikat I-Gate Sdn Bhd dan Mobile De Ring sebanyak RM2 juta yang bertujuan untuk menampung kos pengajian, elaun dan tempat latihan untuk pelajar universiti itu.

-- BERNAMA

09 August 2009

Cuepacs Cadang Sesi Percambahan Fikiran Di Semua Peringkat Jabatan

Oleh Sajad Hussein

KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan penubuhan 'kumpulan percambahan fikiran' dalam semua jabatan relevan bagi mencapai sasaran dalam enam Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA).

Jabatan yang terbabit dalam NKRA perlu memikirkan 'di luar kotak' dan menggalakkan penglibatan orang awam bagi mendapatkan maklum balas yang bernas, kata Setiausaha Agungnya Ahmad Shah Mohd Zin pada hari Ahad.

Dalam temubual dengan Bernama di sini, katanya, adalah penting untuk membina satu jalinan kukuh serta komitmen penuh bukan sahaja di kalangan penjawat awam tetapi juga orang awam bagi mencapai hasil berkekalan.

Bulan lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Petunjuk Prestasi UUtama (KPI) enam teras NKRA membabitkan bidang usaha bagi mengurangkan kadar jenayah dan memerangi rasuah.

Bidang lain termasuk meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan, meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah, memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman dan menambah baik sistem pengangkutan awam dalam jangka masa sederhana.

Mengenai sesi percambahan fikiran, Ahmad Shah berkata ia adalah penting supaya melibatkan semua peringkat petugas dalam sesuatu jabatan berkenaan.

"Kadang-kadang kita mungkin mendapat idea bagus dari pejawat peringkat bawahan kerana mereka lebih rapat dengan orang awam," katanya.

Beliau juga mencadangkan supaya penjawat yang memberi idea yang praktikal harus diberi penghargaan bukan semestinya berbentuk kewangan tetapi surat pujian yang boleh digunakan sebagai kriteria kenaikan pangkat.

"CUEPACS, yang mewakili 1.2 juta pejawat awam, harus diberi pemahaman sepenuhnya oleh kerajaan dan membenarkan mereka terbabit sepenuh dalam semua aspek pelaksanaan NKRA," katanya.

Walaupun, setakat ini, kongres belum dijemput memberi input, namun ia berharap badan itu akan dipanggil untuk menyertai dalam usaha itu bagi meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan demi kepentingan negara.

Ahmad said berkata secara keseluruhan, sasaran NKRA adalah praktikal dan mampu dicapai jika mendapat kerjasama dan penyertaan sepenuhnya oleh penjawat awam dan masyarakat.

-- BERNAMA