30 May 2007

JPA kena permudah guru naik Gred DG44

Berita Harian

KEPUTUSAN kerajaan memperluaskan peluang guru besar menikmati gred DGA38 seperti yang diumumkan baru-baru ini adalah ‘bonus’ kepada mereka yang berkhidmat. Begitu juga dengan jawatan bagi gred DGA32, DGA34 dan beberapa jawatan guru pakar yang akan diperluaskan dan dinikmati guru yang layak.

Saya mewakili warga pendidik gred DG41 dan ingin memberikan gambaran sebenar dan menuntut kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Pelajaran supaya menawarkan gred DG44 tanpa perlu menunggu timebase perkhidmatan selama 10 tahun.

Sebagai contoh, saya berkhidmat hampir 20 tahun dan sepanjang tempoh berkenaan, saya melanjutkan pelajaran bagi mendapatkan ijazah untuk menambahkan ilmu pengetahuan, di samping memohon kenaikan ke gred sekarang, DG41. Apabila permohonan ke gred DG41 diluluskan, gaji yang ditawarkan hanya RM1,710.

Berbanding Guru Bukan Siswazah yang tidak perlu bersusah payah menyambung pelajaran apabila genap berkhidmat 10 tahun dan memperoleh keputusan Penilaian tahap Kecekapan (PTK) Tahap III, mereka ditawarkan gred DGA32 timebase dengan gaji pokok RM1,932.

Guru gred DG41 yang telah berkhidmat sekian lama hanya menikmati kenaikan 15 peratus, yang bermakna mereka hanya mendapat kenaikan RM250 saja, manakala Guru Bukan Siswazah yang baru dilantik secara timebase menikmati durian runtuh kali kedua apabila mendapat 25 peratus iaitu kenaikan RM483.

Dua kes di atas apabila dicampurkan gaji pokok dan penyemakan gaji baru, Guru Siswazah yang menyambung pelajaran hanya mendapat gaji RM1,960, manakala Guru Bukan Siswazah yang timebase 10 tahun mengajar mendapat Gred DGA32 menerima kenaikan gaji pokok RM2,415.

Dalam kes sebegini, Guru DG41 yang baru dilantik perlu menunggu tempoh timebase 10 tahun jawatan gred baru untuk dipertimbangkan ke Gred DG44. Mereka hilang senioriti untuk kenaikan pangkat dan ada yang mungkin akan berpencen dalam gred sama kerana tempoh perkhidmatan lalu tidak diambil kira.

Saya menyarankan kepada JPA dan Kementerian Pelajaran agar memberi peluang kepada golongan ini menikmati kenaikan Gred DG44 dengan hanya perlu disahkan dalam jawatan dan rekod perkhidmatan mereka diambil kira kerana berkhidmat melebihi tempoh timebase daripada tarikh lantikan pertama.

Semoga pengorbanan menyambung pelajaran dibalas setimpal dengan gred dan gaji yang lebih tinggi sesuai dengan status golongan pengurusan dan profesional.

CIKGU KECEWA,
Johor Bahru.

1 comment:

Abukabir said...

Dah caca-merba semuanya. What a mess...