13 June 2007

Siar nama tiada niat buruk: KSN

Berita Harian


Dedah senarai kes disiplin dalam akhbar sebagai pengajaran

KOTA KINABALU: Kerajaan tiada niat buruk dengan menyiarkan nama pegawai dan kakitangan awam yang dibuktikan bersalah melanggar undang-undang dalam akhbar, sebaliknya langkah itu lebih cenderung menjadi pengajaran kepada 1.2 juta kakitangan awam.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, menegaskan langkah menyiarkan nama pegawai dan kakitangan dikenakan hukuman atau tindakan disiplin kerana penyalahgunaan kuasa atau melakukan kesalahan tatatertib itu bertujuan menghalang lebih ramai kakitangan awam terbabit dalam kegiatan negatif.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan masyarakat tidak adil jika mereka menyifatkan keseluruhan perkhidmatan awam sebagai sektor bermasalah kerana hanya sebilangan kecil yang terbabit dalam kegiatan negatif.

Langkah itu juga, katanya, bertepatan dengan konsep syurga dan neraka dalam Islam, iaitu balasan untuk mereka yang melakukan kebaikan dan kejahatan.

"Dalam organisasi yang sebegini besar, harus ada penjawat awam yang kurang berdisiplin walaupun hampir keseluruhannya baik.

"Justeru, tidak salah menyiarkannya sebagai iktibar bagi yang bersalah dan tidak bersalah.

"Dalam Islam ada syurga dan neraka... yang baik masuk syurga dan yang sebaliknya ke neraka," katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan dengan 300 ketua jabatan dan pegawai agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri, di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Likas. Hadir sama, Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Ismail Wadin dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk KY Mustafa.

Mohd Sidek bagaimanapun enggan menjelaskan bilangan pegawai dan kakitangan awam yang sudah diambil tindakan kerana melanggar undang-undang atau peraturan perkhidmatan awam.

Kelmarin, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam dilaporkan berkata, jabatan itu akan mengambil tindakan berkenaan bagi membolehkan rakyat mengetahui tindakan yang sudah diambil terhadap mereka.

Pelaksanaan cadangan itu, katanya, sedang dikaji JPA bagi membuktikan pentadbiran kerajaan telus dan memberi tumpuan terhadap usaha meningkatkan sistem penyampaian.

Selepas berbincang dengan Ismail baru-baru ini, Mohd Sidek berkata, mereka sepakat melaksanakan pendekatan itu selepas mendapati masyarakat menganggap pentadbiran kerajaan kurang telus.

Umum kurang mengetahui tindakan diambil terhadap pegawai dan kakitangan yang terbabit dalam kegiatan negatif.

"Sekarang kita beritahu dan kebaikannya ialah supaya orang faham bahawa tidak ramai yang yang terbabit dalam kegiatan itu," katanya sambil mengulangi gesaan supaya pegawai dan kakitangan awam memelihara integriti serta meningkatkan sistem penyampaian sebagai teras pembinaan negara maju.

No comments: