12 June 2007

Pendapatan bawah RM1,200, potong gaji di bawah SSPN

Utusan Online

KUALA TERENGGANU 11 Jun – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mencadangkan supaya kerajaan mewajibkan kakitangan awam atau swasta yang berpendapatan di bawah RM1,200 sebulan membuat potongan gaji di bawah Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

Pengerusi PTPTN, Datuk Razali Ismail berkata, potongan gaji sekurang-kurangnya RM20 sebulan itu adalah sebagai simpanan jangka panjang untuk mengurangkan beban apabila anak-anak mereka melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT).

Menurut beliau, ini kerana keluarga yang berpendapatan rendah berpeluang menikmati geran sepadan yang diberikan oleh kerajaan sehingga RM10,000 untuk jumlah simpanan yang dibuat.

‘‘Potongan gaji sebanyak RM20 sebulan dirasakan tidak membebankan kerana ia merupakan simpanan jangka panjang untuk kemudahan anak-anak mereka selain mengurangkan kebergantungan kepada PTPTN,” katanya selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran di Tanjong Mengabang di sini hari ini.

Dua keluarga yang terlibat dalam kebakaran itu semalam iaitu Omar Abdul Rahman dan Dagang Che Ali masing-masing menerima bantuan kewangan sebanyak RM500 sumbangan Razali serta bantuan makanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kuala Terengganu dan Majlis Kebajikan Masyarakat (Mayang) Kuala Terengganu.

Lima lagi keluarga yang turut terjejas dalam kejadian itu menerima bantuan makanan sumbangan JKM Daerah Kuala Terengganu dan Mayang Kuala Terengganu iaitu Khatijah Awang, Rozita Ibrahim, Ismail Bakar, Norita Ariffin dan Khalid Ismail.

Bagaimanapun Razali berkata, kaedah itu masih di peringkat kajian dan jika didapati bersesuaian, ia akan dicadangkan untuk dilaksanakan terhadap golongan terbabit.

Jelasnya, pada masa ini PTPTN juga telah menetapkan syarat bahawa pelajar yang mendapat pinjaman PTPTN perlu mempunyai simpanan dalam SSPN kurang-kurangnya RM500.

Selain geran sepadan, kata beliau, banyak keistimewaan yang ditawarkan oleh kerajaan melalui SSPN seperti perlindungan insurans percuma sehingga RM50,000 dan dikecualikan cukai pendapatan melalui dividen atau keuntungan yang diperoleh.

Menurutnya, orang ramai boleh membuat simpanan melalui 1,000 ejen yang dilantik serta secara dalam talian e-SSPN melalui Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), CIMB, Hong Leong Bank dan Public Bank.

No comments: