13 June 2007

Sukan pereratkan hubungan kakitangan awam

Berita Harian

KOTA KINABALU: Penganjuran pesta sukan di kalangan kakitangan awam mampu menjadi wadah untuk golongan itu berinteraksi dalam suasana mesra dan penuh semangat kekeluargaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, berkata kesibukan bekerja menyebabkan kakitangan awam tidak mempunyai masa untuk beriadah dan berinteraksi sesama sendiri walaupun berada dalam satu jabatan.

Sehubungan itu, katanya, acara seperti pesta sukan memberi peluang kepada mereka berkumpul sekali gus membabitkan diri dengan aktiviti sukan dan riadah.

"Jadikan pesta sukan sebagai landasan mengeratkan hubungan kekeluargaan kerana ada kalanya kakitangan awam terpaksa memperuntukkan lebih masa untuk menyelesaikan tugas sehingga tiada masa bersama keluarga atau rakan sekerja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Sukan Dwitahunan Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan seluruh negara kesembilan di Dewan Kompleks Sukan Likas, kelmarin.

Teks ucapannya dibacakan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin.

Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Negeri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Datuk Yusoff Datuk Mohd Kassim; Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang, Datuk Supiah Mohd Yusof dan Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Datuk Muhammad Safian Ismail.

Pesta sukan 11 Jun hingga 16 Jun itu disertai kontinjen mewakili pejabat kewangan dan perbendaharaan seluruh Malaysia.

Musa yang juga Menteri Kewangan Negeri berkata, keberkesanan dan tumpuan terhadap kerja boleh terganggu jika pekerja mengalami masalah kesihatan.

"Saya harap kakitangan awam meluangkan masa untuk bersukan supaya anda dapat melaksanakan tugas dengan cemerlang," katanya.

No comments: