13 June 2007

Jasa pekerja kontrak wajar dihargai

Berita Harian

SAYA merujuk kenyataan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang disiarkan pada 11 Jun lalu dan surat yang ditulis oleh ‘Ex-PT41 Kontrak’ dari Kuala Lumpur.

Pengambilan kakitangan kontrak ini sebenarnya ada sejarah dan kronologi tersendiri. Enam hingga 12 tahun lalu, sektor perkhidmatan berkembang dengan baik dan ia berkait rapat dengan perkembangan sihat ekonomi dan kestabilan politik negara.

Keadaan ini membuatkan beban kerja di kebanyakan jabatan kerajaan meningkat berlipat ganda. Banyak jabatan kerajaan yang kekurangan kakitangan terpaksa membuat pengambilan kakitangan secara kontrak bagi memenuhi permintaan pasaran buruh sektor perkhidmatan di jabatan masing-masing.

Pengambilan kakitangan kontrak ini perlu dilakukan segera pada ketika itu bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat tidak tergendala. Pada waktu itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu dirujuk sekiranya mana-mana jabatan, kementerian, kerajaan negeri atau pihak berkuasa tempatan mahu mengisi jawatan kosong atau mewujudkan jawatan tetap.

Ia mungkin berkait rapat dengan Dasar Pengecilan Sektor Awam yang diperkenalkan pada awal 1990. Amat sukar untuk mengisi kekosongan jawatan ketika itu. Apatah lagi sekiranya mahu mewujudkan jawatan baru.

Hanya mereka yang terbabit mengetahui betapa mendesaknya keperluan mereka untuk membuat pengambilan kakitangan. Dalam masa sama, proses permohonan mewujudkan jawatan baru kepada JPA pula sentiasa diproses pada landasan birokrasi yang tenat.

Masa diambil juga bukan singkat, malah sama usia dengan tempoh mereka yang memegang jawatan kontrak itu sendiri. JPA adalah badan yang mengkaji keperluan bagi mewujudkan sesuatu jawatan tetap, manakala SPA pula badan diamanahkan untuk membuat pengambilan bagi mengisi kekosongan jawatan kosong apabila diperlukan. Begitulah yang difahami mengenai fungsi kedua-dua badan berasingan itu.

Pada awal 1990, berlaku ledakan teknologi maklumat. Kerajaan menggesa agar tidak ada rakyat Malaysia tercicir daripada menguasai dan memiliki kemahiran dalam teknologi maklumat, termasuk segala jentera dan agensi kerajaan.

Pengambilan secara besar-besaran kakitangan teknologi maklumat secara kontrak perlu dilakukan segera bagi menampung keperluan yang begitu mendesak. Mereka yang dilantik diberikan harapan akan diberi keutamaan dalam pengisian jawatan tetap apabila jawatan tetap berkenaan diluluskan.

Mereka diyakinkan bahawa keperluan kepada jawatan yang mereka sandang adalah berterusan. Tidak ada sebab kontrak mereka ditamatkan.

Malangnya, mereka yang menyumbang jasa dan bakti begitu lama kepada kerajaan tidak diberikan perhatian. Mereka sedang membesarkan dan menyekolahkan anak dengan hasil pekerjaan secara kontrak dengan kerajaan.

Ada satu keadaan iaitu kakitangan kontrak yang cuba memohon jawatan tetap melalui SPA, secara tidak sengaja dipanggil untuk temu duga. Bagaimana pula kedapatan panel memberitahu bahawa calon adalah kakitangan kontrak yang berpeluang diserapkan ke jawatan tetap?

Sikap ‘Little Napoleon’ SPA dalam urusan pengambilan kakitangan baru dengan menafikan segala jasa, pengalaman, pengorbanan dan kebajikan kakitangan kontrak amat dikesali. Jika mahu memberitahu bahawa kuasa mutlak untuk melantik kakitangan kerajaan terletak pada bidang kuasa SPA pun, bukan ini caranya.

Jika mahu mengajar pihak yang tidak ada kuasa melantik supaya tidak melantik kakitangan secara sendiri pun, bukan ini pendekatannya. Mangsa yang terhasil daripada ‘Little Napoleon’ bukan saja kakitangan kontrak yang diberhentikan, malah anak, isteri dan keluarga mereka turut terasa kesannya.

Memburukkan lagi keadaan, apabila jawatan tetap ini diisi oleh kakitangan baru, kakitangan kontrak ditamatkan kontraknya. Jika setakat kakitangan kontrak ini masih kekal dengan status kontraknya, ia tidaklah mengundang masalah lain yang lebih kritikal.

SPA seolah-olah mahu mengurangkan masalah pengangguran kalangan lepasan universiti yang masih bujang dengan mencipta pula masalah pengangguran kalangan mereka yang sudah berkahwin dan sedang membesarkan anak.

Sistem sosial secara keseluruhannya akan terbabit kerana bukan sedikit kakitangan kontrak yang terbabit dengan dasar pengambilan lapuk ini. Ia perlu disemak semula dan campur tangan politik yang aktif.

Kenyataan bahawa pengalaman tidak menjadi asas pelantikan di sektor awam perlu disemak semula.

Kaedah ambil yang tetap dan tamatkan yang kontrak seperti dilakukan sekarang perlu dikaji dan diberi perhatian oleh semua pihak, terutama kepemimpinan tertinggi kerajaan.

BAKAL MANGSA,
Kuala Selangor.

No comments: