15 June 2007

CCTV bukan penentu kecemerlangan: KSN

Berita Harian

KUCHING: Kerajaan tidak perlu memasang kamera litar tertutup (CCTV) di semua jabatan kerajaan Persekutuan bagi memantau kira-kira sejuta kakitangan awam pada waktu pejabat.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, berkata bukan CCTV yang menentukan kecemerlangan sebaliknya budaya kerja berintergriti dapat menyelesaikan masalah dan ketidakcekapan di kalangan kakitangan awam.

"Kita tidak perlu memantau dan mengawasi (melalui CCTV) tempat kerja kakitangan awam kerana mereka mempunyai wibawa dan diterima oleh masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai langkah kerajaan Terengganu memasang 16 CCTV di kompleks pentadbiran kerajaan negeri baru-baru ini.

CCTV berkenaan dipasang bagi tujuan keselamatan, bagaimanapun Setiausaha Kerajaan negeri Terengganu dilaporkan berkata, kamera berkenaan turut digunakan untuk memantau kira-kira 1,000 kakitangan yang bertugas di bangunan berkenaan.

Terdahulu, Sidek menyampaikan ucaptama pada persidangan Pengurusan Modal Insan Ke Arah Sistem Penyampaian Yang Cemerlang peringkat kebangsaan, di sini, semalam.

Sidek juga berkata, ketua jabatan dan pegawai kanan kerajaan di seluruh negara patut memanfaatkan sepenuhnya kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), terutamanya mel elektronik atau e-mel untuk meningkatkan sistem penyampaian awam.

"Kakitangan awam umumnya responsif terhadap kemudahan e-mel tetapi cabarannya ialah untuk sentiasa memastikan tindakan pembaikan dan penyelesaian terhadap isu atau aduan orang ramai diambil segera.

"Dalam kes saya, kebanyakan daripada komunikasi saya menerusi e-mel dan saya pasti ketua setiausaha kementerian dan setiausaha negeri masing-masing juga demikian," katanya.

Beliau berkata, kerajaan di landasan yang betul dalam menyediakan perkhidmatan `online' seperti bagi permohonan permit dan lesen dan pembayaran pelbagai cukai berikutan semakin ramai orang kini menyedari pentingnya kemudahan seumpama itu.

Ketika berucap, Sidek berkata kebanyakan aduan yang diterima terhadap perkhidmatan awam melibatkan sikap penjawat awam yang tidak peka dan responsif mengenai pertanyaan atau aduan yang dikemukakan oleh orang ramai.

Beliau berkata sekiranya ini berterusan berlaku, ia sudah tentu memberikan imej kurang baik terhadap mutu perkhidmatan yang diberikan.

"Sudah tentu orang ramai akan melahirkan rasa tidak puas hati terhadap penjawat awam lebih-lebih lagi selepas kerajaan mengumumkan kenaikan gaji sektor awam pada 21 Mei yang lalu," katanya.

No comments: