12 June 2007

JPA dedah pegawai kena tindakan

Berita Harian


Siar nama dalam akhbar bukti kerajaan telus: Ketua Pengarah

PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan menyiarkan nama pegawai dan kakitangan kerajaan yang dikenakan hukuman atau tindakan disiplin kerana penyalahgunaan kuasa atau melakukan kesalahan tata tertib, di dalam akhbar tempatan.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Ismail Adam , berkata langkah untuk menyiarkan nama kakitangan awam yang melanggar etika itu dibuat bagi membolehkan rakyat mengetahui tindakan yang sudah diambil terhadap mereka.

Pelaksanaan cadangan itu, katanya, sedang dikaji JPA bagi membuktikan kerajaan mengamalkan pentadbiran yang telus dan memberi tumpuan serius terhadap usaha meningkatkan sistem penyampaian.

“Saya fikir mungkin sudah tiba masanya untuk kita beritahu rakyat (nama dan bentuk tindakan yang diambil terhadap kakitangan kerajaan yang didapati bersalah) kerana sebelum ini kita tidak pernah siarkan cerita seumpama itu.

“Mungkin sudah sampai masanya kita berbuat demikian untuk menjadikannya (pentadbiran kerajaan) telus,” katanya di sini.

Ismail berkata, langkah itu juga diharap dapat memberi kesedaran kepada pihak lain untuk berusaha meningkatkan integriti dan sistem penyampaian.

“Selama ini, rakyat hanya tahu ada kakitangan kerajaan dikenakan tindakan apabila dia dibawa ke mahkamah kerana kes besar seperti membabitkan rasuah dan berita itu disiarkan di akhbar tempatan.

“Kali ini, sebaik saja tindakan diambil oleh lembaga tata tertib kementerian, kita mahu siarkan nama pegawai terbabit di akhbar tempatan sebagai pengajaran,” katanya.

Sementara itu, Ketua Komunikasi Korporat JPA, Hasniah Rashid, ketika dihubungi berkata, cadangan terbabit sedang diperhalusi dan dirujuk kepada pengerusi lembaga tata tertib di semua kementerian.

“Kita perlu merujuk cadangan itu kepada pengerusi lembaga tata tertib semua kementerian kerana lembaga terbabit yang bertanggungjawab menjatuhkan hukuman atau mengambil tindakan disiplin,” katanya.

Beliau berkata, satu tempoh tertentu mungkin ditetapkan bagi membolehkan senarai pegawai kerajaan yang didapati bersalah dalam pelbagai kes disiarkan di akhbar tempatan seperti enam bulan sekali atau mengikut tempoh yang dirasakan sesuai.

Katanya, langkah JPA menyiarkan nama penjawat awam bermasalah memang sudah lama dilaksanakan terutama dalam usaha mengesan kakitangan kerajaan yang tidak datang ke pejabat untuk bekerja.

“Ini anda boleh lihat sendiri, malah akhbar Berita Minggu kelmarin pun ada menyiarkan notis mengenai kakitangan kerajaan yang dikesan tidak datang ke pejabat tanpa cuti atau kebenaran serta sebab munasabah.

“Kita siarkan maklumat kakitangan awam terbabit serta memberi tempoh tujuh hari untuk melaporkan diri dan jika masih gagal berbuat demikian, mereka boleh disifatkan sebagai sudah dibuang kerja,” katanya.

No comments: