14 June 2007

Pekeliling gaji, elaun dikeluar Sabtu

Berita Harian

KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan mengeluarkan pekeliling gaji matriks baru lebih sejuta kakitangan awam hujung minggu ini bagi membolehkan mereka mengetahui dengan tepat gaji dan elaun baru yang bakal diterima bulan depan.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Ismail Adam, berkata JPA juga sudah berbincang dengan pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dan kedua-duanya turut bersetuju mengeluarkannya pada masa sama.

Katanya, pekeliling berkenaan akan memuatkan jadual gaji baru selaras keputusan kerajaan berhubung kenaikan gaji diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

“Pekeliling ini akan kita masukkan ke laman web JPA Sabtu ini. Pada peringkat jabatan, mereka sudah mendapat pekeliling ini untuk membolehkan mereka membuat penukaran dan bulan depan bahagian kewangan boleh membuat kira-kira,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Pada 21 Mei lalu, Perdana Menteri mengumumkan lebih sejuta kakitangan awam akan menikmati kenaikan gaji antara 7.5 hingga 35 peratus, manakala kadar Bantuan Sara Hidup atau Cola dinaikkan 100 peratus, berkuat kuasa 1 Julai ini.

Sementara itu, di GUA MUSANG, Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata pihaknya tidak mahu lagi melihat kakitangan kerajaan membuat kerja sambilan mulai 1 Julai ini kerana semakan gaji yang diumumkan kerajaan sudah mencukupi untuk menampung perbelanjaan keluarga mereka.

Katanya, jentera Cuepacs peringkat pusat dan negeri akan memantau kakitangan awam bagi memastikan mereka akur dengan nasihat itu demi meningkatkan mutu perkhidmatan kakitangan awam.

“Kakitangan kerajaan yang masih melakukan kerja sambilan, sama ada pada waktu bertugas atau selepas waktu kerja disaran supaya berhenti berbuat demikian serta-merta.

"Kami mahu bersihkan imej tidak baik kakitangan awam selama ini dan akan memberikan khidmat terbaik dan berkualiti kerana itu janji kita kepada kerajaan yang sudah memberi pelbagai keistimewaan dalam semakan gaji baru yang boleh dinikmati akhir Julai nanti,” katanya selepas Majlis Bersama Presiden Cuepacs di Pusat Sivik, di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya akan melawat setiap negeri untuk menjelaskan kepada semua kakitangan awam mengenai kejayaan mendapatkan semakan gaji baru.

No comments: