Cadangan mansuh PTK langkah ke belakang
Berita Harian
PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyifatkan cadangan Cuepacs supaya peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dimansuhkan, sebagai satu langkah ke belakang dan berpandangan sempit.
Ketua Pengarahnya, Tan Sri Ismail Adam, berkata perkhidmatan awam sukar melahirkan pekerja berilmu dan berkelas dunia tanpa ada penilaian dari semasa ke semasa terhadap tahap kecekapan kakitangannya.
“Cuepacs tidak boleh berpandangan sempit dengan melihat habuan terdekat iaitu soal kenaikan gaji dan pangkat saja apabila bercakap mengenai PTK,” katanya kepada Bernama di pejabatnya di sini, semalam.
Baru-baru ini Cuepacs meminta PTK dimansuhkan dengan alasan antaranya soalan tiada kaitan bidang kerja, tiada jaminan kenaikan gaji dan pangkat walaupun selepas lulus PTK dan peperiksaan itu tidak menggambarkan kecekapan sebenar seseorang kerana ada yang lulus, tetapi tidak cekap dan sebaliknya.
PTK ialah komponen Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang diperkenalkan 1 November 2002 dengan tujuan utama untuk menggalakkan kemajuan diri menerusi pembelajaran berterusan, meningkatkan budaya pembelajaran dan melaksanakan pengurusan sumber manusia berasaskan kompetensi.
Ismail berkata, kecekapan seseorang itu tidak dapat diukur kecuali dengan adanya satu sistem penilaian.
Katanya, cadangan Cuepacs supaya PTK digantikan dengan Sistem Pengembangan Profesional Berterusan iaitu pembelajaran sepanjang hayat melalui kursus dan induksi saja tidak memadai tanpa adanya aspek penilaian.
“Kalau kita belajar saja dan kita tidak diuji, maka kita tidak tahu sejauh mana kefahaman, impak dan aplikasi ilmu itu,” katanya.
Beliau berkata, PTK diwujudkan supaya ilmu yang diberi dapat dinilai dan akhirnya menyumbang ke arah meningkatkan prestasi jentera kerajaan.
“Tambahan pula, peperiksaan dan penilaian dalam PTK boleh dibuat dalam bentuk esei, aneka pilihan, amali, pemerhatian dan ujian lisan,” katanya.
Sambil memberi analogi pemain badminton perseorangan negara, Lee Chong Wei yang mempunyai ranking tertentu dan Malaysia mempunyai ranking dalam kalangan negara perdagangan dalam dunia yang kompetitif, Ismail berkata, kakitangan awam pun perlu mempunyai ranking.
Ismail juga mengakui bahawa memang benar lulus PTK tidak menjamin kenaikan gaji atau pangkat secara mutlak. – Bernama
No comments:
Post a Comment