Pekerja kontrak sering gagal temu duga
Berita Harian
TERUJA dengan kenyataan balas Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) terhadap saranan Presiden Cuepacs agar 100,000 kekosongan jawatan dalam sektor awam diisi pegawai kontrak berpengalaman, saya mengucapkan penghargaan dan tahniah kepada SPA di atas kenyataan segera itu dan di atas ketelusan dalam pengurusan pengambilan kakitangan awam.
Ucapan terima kasih juga di atas peluang yang diberikan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kerana melantik saya sebagai Pegawai Tadbir berstatus kontrak selama enam tahun sehingga kontrak ditamatkan akhir tahun lalu. Selama tempoh berkenaan, saya banyak menimba pengalaman dan pengetahuan yang berguna dalam sektor awam.
Pengalaman dan pengetahuan yang saya peroleh adalah tidak ternilai. Selama enam tahun hingga ke hari ini saya terus menerus mengikut prosedur SPA dan masih gagal untuk ke peringkat temu duga.
Pernah juga lulus dalam ujian tetapi tidak dipanggil temu duga atas alasan tidak melepasi tapisan kelayakan. Umur semakin meningkat dan ada antara kami sudah berkeluarga dan mempunyai tanggungan.
Penamatan kontrak ini memberi impak besar kepada kami. Kadang kala kami terfikir juga tindakan ini amat bertentangan dengan dasar kerajaan untuk mengurangkan kadar pengangguran.
Besarlah harapan kami jika agensi bertanggungjawab dapat memperhalusi masalah ini. Bukan niat kami untuk menentang keputusan kerajaan tetapi apa yang kami harapkan agar dapat terus memberi sumbangan dan perkhidmatan lebih cemerlang dalam perkhidmatan awam dan negara amnya.
EX-PT41 KONTRAK,
Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment