Cuepacs bantah dedah senarai pegawai kena tindakan disiplin
Berita Harian
KUALA LUMPUR: Cuepacs yang membantah tindakan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mahu menyiarkan nama pegawai dan kakitangan awam yang dikenakan hukuman atau tindakan disiplin dalam akhbar menyifatkan cadangan itu tidak munasabah dan menghina kakitangan terbabit dan keluarga mereka.
Presidennya, Omar Osman, berkata walaupun Cuepacs setuju cara JPA yang mahu menjadikan pentadbiran kerajaan telus, menghukum kakitangan awam sedemikian tidak wajar, lebih-lebih lagi selepas dikenakan tindakan pentadbiran.
Katanya, menyiarkan nama bukan cara terbaik menunjukkan ketelusan pentadbiran kerajaan, sebaliknya akan mendedahkan lebih banyak kelemahan dan integriti sesebuah jabatan atau agensi terbabit.
“Kami tidak setuju cadangan JPA untuk menyiarkan nama pegawai dan kakitangan awam yang dibuktikan bersalah melanggar undang-undang dalam akhbar kerana ia seolah-olah menghina kakitangan terbabit dan maruah keluarga mereka. Cukuplah dengan tindakan dalaman.
“Bayangkan kalau pegawai atau kakitangan terbabit dibuang kerja, sudahlah hilang pencen, nama pula didedah kepada umum. Apakah untung melaksanakannya?”, katanya ketika dihubungi semalam.
Semalam akhbar melaporkan JPA akan menyiarkan nama pegawai dan kakitangan kerajaan yang dikenakan hukuman atau tindakan disiplin kerana penyalahgunaan kuasa atau melakukan kesalahan tata tertib di dalam akhbar tempatan.
Ketua Pengarahnya, Tan Sri Ismail Adam, berkata langkah untuk menyiarkan nama kakitangan awam yang melanggar etika dibuat bagi membolehkan rakyat mengetahui tindakan yang sudah diambil terhadap mereka yang menyalahgunakan kuasa atau melakukan kesalahan tata tertib.
Ketua Komunikasi Korporat JPA, Hasniah Rashid, berkata cadangan itu sedang diperhalusi dan dirujuk kepada pengerusi lembaga tata tertib pada semua kementerian kerana hanya lembaga itu bertanggungjawab menjatuhkan hukuman atau mengambil tindakan disiplin.
Omar berharap hukuman atau tindakan terhadap pegawai dan kakitangan awam yang melakukan kesalahan di luar Perintah Am perlu dibincang bersama Cuepacs kerana ia badan bertanggungjawab menaungi dan membela nasib kakitangan awam semua peringkat.
“Kami mahu dibawa berbincang dengan JPA dan lembaga tata tertib semua kementerian sebelum sebarang keputusan diambil,” katanya.
No comments:
Post a Comment