15 June 2007

Dompok syor KPKK jadi penguat kuasa

Berita Harian



PUTRAJAYA: Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (KPKK) perlu diberi kuasa untuk memantau dan memasang peralatan keselamatan di semua 13 sektor sasaran penting di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Bernard Dompok, berkata pemberian kuasa menerusi penggubalan Akta Perkhidmatan Keselamatan Perlindungan akan membolehkan kira-kira 400 sasaran penting seperti empangan, menara telekomunikasi dan bangunan kerajaan dilengkapi kemudahan keselamatan terkini.

Beliau berkata, KPKK kini hanya berperanan sebagai perunding yang memberi nasihat mengenai aspek keselamatan dan tidak mempunyai kuasa untuk mewajibkan pemasangan peralatan keselamatan di sasaran penting berkenaan.

“KPKK memerlukan kuasa itu dan satu akta perlu diwujudkan untuk memberinya kuasa sebagai pengua tkuasa seperti The Security Service Act yang diguna pakai di United Kingdom.

“Memang sudah ada beberapa akta di bawah KPKK, tetapi ia hanya terhad kepada dokumen kerajaan dan bukan sasaran penting yang membabitkan bangunan dan lokasi yang boleh mengancam keselamatan negara jika dicerobohi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan logo Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan dan poster keselamatan perlindungan di sini semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia, Johari Jamaluddin dan Timbalan Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (Operasi), Mohd Ismail Ahmad.

Terdahulu, dalam ucapannya Dompok berkata, pembaharuan teknologi perlu disusuli sistem perundangan yang komprehensif bagi menjamin keselamatan rahsia dan sasaran penting negara.

“Penguatkuasaan Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Jenayah Komputer 1997 dan Akta Tandatangan Digital 1997 umpamanya membolehkan kerajaan mengawal penyebaran maklumat khususnya yang boleh menjejaskan ketenteraman awam,” katanya.

Sementara itu, Johari berkata Jawatankuasa Pusat Sasaran Penting sedang menyediakan kajian penubuhan pusat itu untuk dikemukakan kepada Kabinet untuk kelulusan.

Katanya, penubuhan pusat itu dengan kerjasama Cyber Security Malaysia (CSM) itu mampu meningkatkan keyakinan pelabur berhubung keselamatan penggunaan ICT di negara ini.

“Selain melaksanakan tugas penyelarasan, ia memudahkan tindakan jika berlaku sebarang gangguan terhadap mana-mana sasaran penting termasuk menerusi internet," katanya.

No comments: