12 June 2007

Pulihkan maruah JKR

Utusan Online

KUALA LUMPUR 11 Jun – Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu yang malu dengan beberapa siri kerosakan di bangunan kerajaan sejak akhir-akhir ini mengeluarkan arahan tegas agar kejadian tersebut tidak berulang serta memulihkan maruah Jabatan Kerja Raja (JKR)

Beliau berkata, maruah JKR tercemar teruk di mata orang ramai dan dunia yang menyebabkan kontraktor dari negara ini sukar mendapatkan kontrak baru di luar negara.

‘‘Saya perlu mengeluarkan arahan-arahan tegas dan keras ini memandangkan saya malu untuk berhadapan dengan Kabinet, rakan-rakan di luar negara dan orang ramai yang kini memandang rendah terhadap keupayaan JKR,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi perjumpaan khas dengan pegawai-pegawai kanan jabatan dan agensi di bawah Kementerian Kerja Raya di sini hari ini.

Samy Vellu memberitahu, selama 135 tahun JKR ditubuhkan sejak tahun 1872, agensi itu telah menjadi penasihat teknikal kepada kerajaan yang menyaksikan banyak projek infrastruktur yang kini berdiri megah sebagai simbol kemegahan negara.

Malangnya jelas beliau, sejak akhir-akhir ini akibat kecuaian pegawai-pegawai menyebabkan maruah JKR tercalar dan ia sukar untuk dipulihkan.

Katanya, bagi mengelakkan kejadian bumbung dan syiling runtuh dan bumbung bocor berulang, kementeriannya akan menubuhkan dua jabatan iaitu Bahagian Juruukur Bangunan dan Jabatan Penyelenggaraan Pusat.

Tegasnya, Bahagian Juruukur Bangunan akan memeriksa keadaan semua bangunan kerajaan selepas ia disiapkan.

‘‘Bahagian ini bertanggungjawab mengesan sebarang kecacatan walaupun terdapat hanya satu paku yang tercabut dan kalau bahagian ini mengesan ada kecacatan, surat kelulusan tidak akan diberikan kepada kontraktor terlibat sehingga ia diperbaiki dan berada dalam keadaan terbaik,’’ jelas beliau.

No comments: