13 June 2007

Dedah nama kakitangan awam seleweng

Utusan Online

Oleh Sharilfuddin Saari

KOTA KINABALU 12 Jun – Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Sidek Hassan berkata, pihaknya tidak mempunyai halangan untuk mendedahkan nama pegawai dan kakitangan awam dalam akhbar tempatan sekiranya mereka terbukti bersalah di mahkamah.

Beliau berkata, pihaknya yakin tindakan tersebut yang hanya melibatkan segelintir kakitangan tidak akan menjejaskan imej keseluruhan 1.2 juta pekerja sektor awam.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan bilangan sebenar kakitangan awam yang dikenakan tindakan itu.

‘‘Jika didapati bersalah oleh mahkamah, tidak ada salah bagi kita untuk siarkannya (dalam akhbar) supaya ia menjadi iktibar.

‘‘Bukan sahaja ia dapat memberi iktibar kepada yang bersalah tetapi juga kepada orang lain dan mereka yang tidak bersalah,” katanya.

Mohd. Sidek berkata demikian selepas menghadiri sesi taklimat dan perjumpaan bersama pegawai dan kakitangan jabatan-jabatan serta badan berkanun Persekutuan dan negeri di sini hari ini.

Turut hadir ialah Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Ismail Wadin dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk K.Y. Mustafa.

Beliau diminta mengulas laporan akhbar mengenai cadangan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menyiarkan dalam akhbar nama pegawai dan kakitangan kerajaan yang dikenakan hukuman kerana kesalahan jenayah atau tindakan disiplin.

Menurut Mohd. Sidek, kesediaan JPA untuk menyiarkan nama kakitangan awam yang melakukan kesalahan dalam akhbar membuktikan ketelusan yang diamalkan oleh kerajaan.

Katanya, langkah itu juga dibuat bagi memastikan masyarakat tidak membuat andaian bahawa keseluruhan kakitangan kerajaan melakukan kesalahan yang sama.

Namun, beliau menegaskan, bilangan kakitangan yang tidak berdisiplin itu tidaklah besar jika dibuat perbandingan dengan keseluruhan jumlah kakitangan awam di seluruh negara.

‘‘Dalam sesebuah organisasi besar, tidak dinafikan ada yang bermasalah dan mencemarkan perkhidmatan. Mungkin ia kini nampak ramai kerana banyak tindakan yang kita ambil (kebelakangan ini),” ujar beliau.

No comments: