15 June 2007

Tahniah kakitangan berkualiti cemerlang

Utusan Online

SAYA ingin mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada kakitangan di Pejabat Agama Islam Shah Alam atas kualiti cemerlang mereka kepada orang awam.

Ingin saya mencoretkan di sini pengalaman ketika berurusan di pejabat tersebut yang terletak di tingkat satu Bangunan Sultan Idris Shah di Shah Alam.

Saya telah beberapa kali berurusan di sana dan mengikut pemerhatian saya kualiti perkhidmatan yang ditawarkan amat memuaskan.

Kemesraan kakitangannya dapat dilihat dari kaunter pengawal keselamatan lagi. Apa yang saya dapati budaya kerja di jabatan tersebut boleh dipuji serta dicontohi.

Pada 13 Jun yang lalu saya bersama seorang kawan telah berurusan di pejabat berkenaan untuk menguruskan hal berkaitan perkahwinan.

Kami datang lewat kerana menguruskan beberapa perkara lain sebelum itu dan tiba di sana sudah hampir waktu rehat makan tengah hari iaitu pukul 12.40 tengah hari.

Petugas dan kakitangan di sana tanpa banyak kerenah birokrasi memproses permohonan tersebut dan mengambil masa tidak sampai sejam untuk menyiapkannya.

Saya berkali-kali meminta maaf kerana mengganggu masa rehat mereka tetapi mereka menjawab tidak mengapa.

Saya mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada kakitangan di sana atas budaya kerja yang efektif serta memudahkan orang awam berurusan di sana.

Semoga tatacara kerja yang baik ini diteruskan dan dicontohi oleh pejabat awam yang lain.

– YUNOS ISMAIL,

Kuala Lumpur.

No comments: