11 June 2007

Kakitangan kontrak tiada keistimewaan

Berita Harian

Pemohon kena ikut prosedur isi jawatan tetap: SPA

KUALA LUMPUR: Tiada sebarang keistimewaan diberikan kerajaan kepada pekerja sangkut, kakitangan sementara, sambilan dan kontrak untuk pengambilan kakitangan perkhidmatan awam bagi mengisi kekosongan 100,000 jawatan dalam sektor awam yang masih belum diiklankan.

Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) berkata, pertimbangan pemilihan pekerja tertakluk kepada prosedur dan peraturan sama seperti yang dikenakan kepada pemohon lantikan terus.

“Ini bermakna, mereka tidak dilantik ke jawatan tetap secara automatik walaupun ada kekosongan jawatan yang mereka mohon dan pengalaman tidak menjadi asas pelantikan dalam sektor awam,” katanya.

Kelmarin, Presiden Cuepacs, Omar Osman, menggesa kerajaan memberi keutamaan kepada kakitangan berstatus kontrak bagi mengisi kekosongan 100,000 jawatan dalam sektor awam.

Beliau berpendapat kekosongan itu lebih wajar diisi kakitangan berpengalaman berbanding membukanya kepada kakitangan baru yang tidak diketahui kebolehan mereka.

SPA berkata, mereka yang berminat untuk bekerja dalam sektor awam perlu mendaftar dengan mengisi Borang SPA8 atau dibuat secara dalam talian (on-line) di Portal SPA di www.spa.gov.my.

SPA berkata, pemohon yang tidak dikenakan tapisan ialah Orang Kurang Upaya (OKU), Orang Asli, peserta Program Pembasmian Rakyat Termiskin (PPRT)/Program Kesejahteraan Rakyat (PKR) dan Penerima Bantuan Am.

“Mereka akan dipanggil temu duga tanpa sebarang tapisan sekiranya memiliki kelayakan minimum yang ditetapkan dalam skim perkhidmatan atau iklan,” katanya.

SPA menjelaskan pemohon daripada pemegang biasiswa kerajaan juga tidak diberi sebarang keistimewaan dan mereka tertakluk kepada prosedur sama seperti terpakai kepada calon lantikan terus lain.

Sementara itu, Ketua Unit Komunikasi Korporat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Hasniah Rashid, berkata kakitangan kontrak, sambilan, sementara dan pekerja sangkut tidak akan diserapkan dalam perkhidmatan walaupun sudah lama berkhidmat dan mempunyai pengalaman bekerja dengan kerajaan.

Katanya dasar pengambilan sekarang mengamalkan dasar terbuka dan pekerja dilantik maklum bahawa mereka tidak akan diserapkan dalam jawatan yang dipegang.

“Pekerja kontrak, sementara, sambilan dan sangkut diberitahu mereka perlu memohon kepada SPA jika mahu dilantik sebagai kakitangan awam,” katanya.

Ini dilaksanakan bagi memberi keadilan kepada semua dan hanya calon sesuai, berkelayakan, setanding atau lebih baik dilantik,” katanya.

No comments: