14 June 2007

Kakitangan awam sumbang RM1 sebulan bantu masyarakat

Utusan Online

Oleh Zulkifli Abdullah

KUALA LUMPUR 13 Jun – Kakitangan sektor awam sedia memberi sumbangan RM1 sebulan kepada CUEPACS mulai bulan depan untuk disalurkan kepada ahlinya dan masyarakat umum yang memerlukan bantuan kewangan.

Langkah itu diambil sebagai tanda berterima kasih kepada kerajaan yang memberi kenaikan gaji antara 7.5 hingga 42 peratus baru-baru ini.

Hasrat itu dinyatakan kepada Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman dalam beberapa sesi penerangan kesatuan sekerja itu yang dijalankan di seluruh negara.

Bagi menyahut keinginan ahli-ahlinya, CUEPACS mengambil inisiatif mewujudkan sebuah dana dikenali sebagai Tabung Kebajikan dan Amal CUEPACS yang akan diuruskan oleh sebuah jawatankuasa bagi menentukan bentuk bantuan dan kriteria bagi menyalurkan dana dalam tabung itu.

Dengan bilangan kakitangan awam seramai 1.2 juta di seluruh negara, kutipan untuk tabung itu boleh mencecah lebih RM1 juta sebulan jika semua kakitangan awam menunjukkan komitmen mereka terhadap tabung itu dengan menyumbang RM1 sebulan.

“Cetusan idea untuk menubuhkan tabung ini dibuat hasil cadangan yang dikemukakan sendiri oleh kakitangan awam yang berasa mereka patut memberi sumbangan kepada CUEPACS selepas menikmati gaji baru.

“Apa yang lebih membanggakan, idea itu juga disuarakan oleh pekerja-pekerja kontrak dalam sektor awam yang turut menerima kenaikan gaji baru.

“Mereka berpendapat sudah sampai masanya keprihatinan kerajaan dibalas dengan menubuhkan tabung khas itu bagi meringankan beban kakitangan lain dan masyarakat pelbagai kaum yang memerlukan bantuan,” kata Omar kepada Utusan Malaysia.

Pada 21 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan kenaikan gaji kakitangan awam antara 7.5 hingga 35 peratus manakala anggota polis dan tentera pula menikmati kenaikan gaji antara 9 hingga 42 peratus berkuat kuasa 1 Julai ini.

Menurut Omar, cadangan penubuhan tabung itu telah dibawa kepada pengetahuan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dan pada dasarnya beliau bersetuju dengan cadangan tersebut.

Dengan wujudnya tabung itu, Omar berkata, ia bukan sahaja dapat digunakan untuk kebajikan kakitangan awam malah dapat disalurkan kepada pihak-pihak yang memerlukan.

Tambahnya, langkah itu membuktikan komitmen kakitangan sektor awam untuk bersama-sama kerajaan bagi meringankan beban golongan yang memerlukan bantuan seperti orang kurang upaya, keluarga miskin dan anak-anak yatim.

Pada masa yang sama, katanya, dana itu juga boleh disumbangkan kepada kakitangan awam untuk membaiki kebajikan dan pendidikan anak-anak mereka termasuk pembiayaan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.

Ditanya mengenai kutipan sumbangan itu, Omar memberitahu, jawatankuasa tabung CUEPACS akan menyediakan akaun khas bagi membolehkan mana-mana kakitangan awam yang hendak memberi sumbangan memasukkan wang mereka ke dalam akaun berkenaan.

Beliau yakin kakitangan awam tidak keberatan menghulurkan sumbangan RM1 sebulan untuk tujuan kebajikan.

“Penglibatan setiap pekerja sektor awam amat perlu kerana setakat ini tiada tabung khusus diwujudkan bagi membantu mereka. Jika berlaku kemalangan mereka hanya diberi sumbangan berdasarkan kepada derma kilat,” ujarnya.

No comments: