Dedah nama kakitangan awam
Berita Harian
CADANGAN Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyiarkan nama pegawai dan kakitangan kerajaan yang dikenakan hukuman atau tindakan disiplin kerana penyalahgunaan kuasa atau melakukan kesalahan tatatertib dalam akhbar tempatan mungkin kurang disenangi penjawat awam. Namun, seperti kata Ketua Pengarah JPA, Tan Sri Ismail Adam, kelmarin, langkah itu dibuat bagi membolehkan rakyat mengetahui tindakan sudah diambil ke atas mereka yang melanggar etika. Pelaksanaan cadangan itu sedang dikaji JPA bagi membuktikan kerajaan mengamalkan pentadbiran telus dan bersungguh-sungguh terhadap usaha meningkatkan sistem penyampaian. Tindakan itu, jika dilaksanakan diharap dapat mengurangkan masalah disiplin di kalangan kakitangan awam atau setidak-tidaknya memberi kesedaran kepada kakitangan lain agar terus bekerja dengan jujur dan penuh disiplin apa lagi dengan kenaikan gaji yang bakal mereka nikmati bermula bulan depan. Bagaimanapun, JPA tidak menjelaskan butiran jenis kesalahan tatatertib atau penyalahgunaan kuasa yang membolehkan nama pegawai dan kakitangan terbabit, disiarkan. Jika kesalahan jenayah yang boleh diheret ke mahkamah seperti rasuah, rogol atau rompakan terutama jika membabitkan pegawai tinggi, akhbar dengan sendiri menyiarkannya tanpa perlu diminta JPA.
Memang selama ini, setiap kementerian atau jabatan mempunyai lembaga tatatertib yang bertanggungjawab mengadili dan menjatuhkan hukuman terhadap kakitangan mereka yang menghadapi masalah disiplin. Antaranya membabitkan kakitangan ponteng, tidak datang ke pejabat tanpa cuti atau kebenaran. Bagi kes membabitkan salah laku rasuah, sepanjang 2002 hingga 2006, seramai 589 kakitangan awam sudah dikenakan tindakan disiplin. Mengikut Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tata Tertib) 1993, pegawai yang melakukan kesalahan tatatertib boleh dikenakan tindakan sama ada diberi surat amaran, denda, lucut hak gaji, tangguh pergerakan gaji, turun gaji, turun pangkat dan buang kerja. Sebenarnya, banyak lagi kes tata tertib yang perlu ditangani. Antaranya, JPA boleh mengambil tindakan tatatertib terhadap pegawai kerajaan yang dikesan gagal menjelaskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Baru-baru ini, seorang timbalan menteri mendedahkan kira-kira 10,000 pegawai pelbagai jabatan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dikesan belum membayar balik pinjaman PTPTN kerana beranggapan mereka boleh mengelak dikenakan tindakan. Sebelum ini, beberapa agensi kerajaan seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) menyiarkan nama mereka yang masih berhutang di akhbar dan kesannya agak positif.
Kita berharap, cadangan JPA menyiarkan nama mereka yang melanggar disiplin itu turut merangkumi kakitangan awam yang ingkar dan liat membayar balik pinjaman PTPTN. Keingkaran mereka boleh menyekat peluang orang lain dan kesannya lebih buruk daripada individu yang tidak datang bertugas. Namun, ketika JPA sedang mengorak langkah ke arah itu, Biro Pengaduan Awam (BPA) yang diberi kuasa bertindak terhadap agensi kerajaan yang enggan bekerjasama menyelesaikan aduan daripada orang ramai, harus digerakkan lagi. Langkah seiring JPA dan BPA diperlukan bagi memantapkan sistem penyampaian awam walaupun pendekatannya berbeza. JPA harus meneliti baik buruknya dan berbincang dengan Cuepacs untuk memastikan satu mekanisme paling sesuai dan wajar bagi menghukum pekerja yang melanggar disiplin. Dari satu sudut, tindakan seperti itu mungkin menghina dan memalukan kakitangan terbabit termasuk maruah keluarga mereka, selain mendedahkan lebih banyak kelemahan dan integriti sesebuah jabatan atau agensi terbabit.
1 comment:
Saya amat bersetuju dengan cadangan ini. Sudah banyak saya mendengar cerita kelakuan buruk kakitangan awam. Perkara ini pernah terjadi kepada ahli keluarga saya. Salah seorang kakitangan MARA Kuala Lumpur(perempuan dan sudah berkahwin anak 2)cawangan bajet mengadakan hubungan sulit dengan suami salah seorang ahli keluarga saya sehingga menyebabkan kehancuran rumahtangga ahli keluarga saya tersebut. Tambahan pula dia melakukan perbuatan tidak beretika ini semasa waktu bekerja. Perkara sebegini sepatutnya tidak perlu ada dalam masyarakat kita.
Post a Comment