JPA tawar 8,000 biasiswa IPTA
Utusan Online
Oleh: HASHNAN ABDULLAH
PUTRAJAYA 15 Jun – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menawarkan 8,000 biasiswa untuk program pengajian ijazah dan diploma di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Ketua Komunikasi Korporat JPA, Hasniah Rashid berkata, fokus penawaran biasiswa bagi tahun ini adalah kepada bidang kritikal yang diperlukan oleh negara seperti pergigian, farmasi, perubatan, sains perubatan veterinar, kejuruteraan, sains dan teknologi serta sains sosial.
Beliau berkata, jumlah peruntukan yang akan dibelanjakan bagi membiayai pelajar yang terpilih sepanjang tempoh pengajian mereka adalah kira-kira RM221 juta.
“Tawaran tersebut terbuka kepada semua warganegara Malaysia yang berumur tidak lebih 24 tahun pada 1 Julai ini dan telah menerima surat tawaran kemasukan tahun pertama pengajian dari mana-mana IPTA.
“Semua permohonan perlu dibuat melalui laman web JPA iaitu www.jpa.gov.my bermula Ahad ini dan tarikh tutup pada 30 Jun,” katanya.
Hasniah memberitahu, bagi pelajar yang sedang mengikuti pengajian tahun kedua ke atas di mana-mana IPTA dan tiga IPTS (Universiti Multimedia (MMU), Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) turut layak memohon biasiswa itu.
“Bagaimanapun, mereka perlu memiliki salah satu kelayakan dengan pencapaian minimum dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Sijil Matrikulasi (bawah Kementerian Pelajaran dan IPTA) dan Sijil Alpha/Foundation/Diploma.
“Mereka juga boleh menggunakan keputusan peperiksaan semester terkini dengan pencapaian minimum CGPA 3.50,” katanya.
Beliau berkata, calon yang tidak layak memohon adalah pelajar yang tidak memenuhi syarat kelayakan asas dan khusus yang ditetapkan serta mereka yang melanjutkan pelajaran anjuran sesuatu jabatan atau agensi.
“Begitu juga dengan pelajar yang mengikuti kursus yang berkaitan dengan pendidikan, matrikulasi, sedang berkhidmat dengan sektor awam atau swasta dan mereka yang mengikuti pengajian jarak jauh atau separuh masa,” katanya.
No comments:
Post a Comment