15 June 2007

Cuti bersalin keenam awam patut bergaji

Berita Harian

SAYA ingin menyuarakan mengenai cuti tanpa gaji yang terpaksa diambil wanita bersalin kali keenam dan seterusnya. Saya melihat kebanyakan daripada kakitangan terbabit terdiri daripada golongan berpendapatan rendah dan masalah kewangan amat meruncing bila mereka berhadapan dengan situasi sebegini.

Saya memohon kerajaan mengkaji semula masalah ini kerana bebanan mereka yang terus meningkat, pelbagai bayaran bil yang perlu dijelaskan, dan pada masa yang sama, mereka tidak dibayar gaji untuk tempoh dua bulan.

Di manakah tempatnya mereka hendak mengadu nasib melainkan di kedai pajak gadai, along atau yang seumpama dengannya.

Saya rasa sudah sampai masanya kerajaan mengkaji semula pekeliling sedia ada agar dapat meringankan masalah kakitangan yang mempunyai jumlah anak ramai. Sekarang ini, cuti bergaji penuh tanpa dihadkan diberikan sehingga lima anak saja.

Bukan semua kakitangan awam wanita mampu melahirkan anak melebihi enam orang. Saya juga mencadangkan tidak perlu mengkaji untuk menambah lagi cuti bersalin sehingga 90 hari atau 120 hari seperti yang diperdebatkan sekarang.

Apa yang perlu di beri perhatian ialah nasib kakitangan awam yang tidak dibayar gaji apabila melahirkan anak keenam dan seterusnya.

TAK SEMPAT BERSALIN,
Ipoh, Perak.

No comments: