Siar nama jejas imej sektor awam
Berita Harian
SAYA berpendapat cadangan kerajaan mendedahkan nama kakitangan awam menyeleweng adalah kurang wajar dan tidak berhikmah. Secara peribadi semua pihak sewajarnya menilai semula langkah ini kerana ia jelas mengaibkan orang lain dan keluarganya, walaupun pada dasarnya bertujuan memperbaiki mutu perkhidmatan awam.
Sudah pasti perkara ini akan mendatangkan tohmahan daripada masyarakat terhadap sektor awam lantaran gagal menyediakan pegawai yang dedikasi terhadap tugas dan tanggungjawab yang diberikan apabila senarai nama mereka yang menyeleweng dikeluarkan kelak.
Ia juga akan memberi beban psikologi teruk ke atas individu terbabit. Apabila perkara seperti ini berlaku, pegawai ataupun pihak terbabit sudah pasti mengalami perasaan rendah diri di tempat kerja dan hilang kualiti prestasi lantaran imej tercemar.
Mereka juga kemungkinan akan hilang rasa untuk dihormati rakan sekerja kerana kekuatan kendiri akan terhakis apabila nama tersenarai sebagai individu yang pernah ataupun baru menyeleweng dan kemudian terbukti bersalah.
Bukankah sektor awam sekarang memiliki rangkaian perkhidmatan kaunseling yang tentu mampu menurunkan peratusan penyelewengan kakitangan awam. Semua pihak perlu sedar bahawa masih banyak lagi alternatif yang boleh digunakan untuk meningkatkan tahap integriti penjawat awam, umpamanya dengan mewajibkan mereka menghadiri kuliah agama ataupun slot moral bagi bukan Islam setiap Sabtu sebagai syarat tambahan kepada penilaian tahap kecekapan.
Ini juga mungkin boleh digunakan sebagai indikator untuk tujuan pemberian bonus tahunan, kenaikan pangkat, kenaikan gaji atau apa-apa perkara yang difikirkan sesuai untuk meningkatkan tahap keprihatinan penjawat awam kepada amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepada mereka.
Mari kita semua bayangkan seandainya nama kita yang tersenarai sebagai orang yang menyeleweng itu, dapatkah kita bayangkan betapa malu dan jatuh air muka kita pada masa berkenaan.
Apakah perasaan yang bermain pada minda kita apabila berada di depan rakan sekerja yang lain. Bagaimanakah anak kita berdepan dengan rakan mereka di sekolah, takkanlah mereka yang tidak berdosa ini patut diberikan bebanan psikologi yang dahsyat kerana kesalahan ibu atau bapa mereka.
Saya menyeru agar kita semua betul-betul menghayati apa dianjurkan Islam dalam amalan hidup dan jika kita mentaatinya sudah pasti hidup kita semua aman dan sentosa. Mampukah kita berkata-kata mengenai keburukan orang lain dan bermegah dengan diri sendiri, jika sekiranya Allah mendedahkan keburukan yang pernah kita lakukan sepanjang kita hidup di atas muka bumi ini.
JOWEL NOOH,
Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment