11 June 2007

Cuepacs minta kaji pencen ikut tempoh khidmat

Berita Harian

KUALA LUMPUR: Cuepacs memohon kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan pembayaran pencen kakitangan awam berdasarkan tempoh perkhidmatan sebenar bagi mereka yang berkhidmat lebih 25 tahun.

Presidennya, Omar Osman, berkata perkara itu akan dibincangkan pada Mesyuarat Khas Kongres Cuepacs bulan ini, selain isu peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dan perbincangan bagi pengesahan kenaikan gaji kakitangan awam yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, 21 Mei lalu.

Katanya, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 1996 pernah mempersetujui supaya pembayaran pencen kakitangan awam bagi yang berkhidmat lebih 25 tahun dibuat berdasarkan tempoh sebenar perkhidmatan tetapi tidak dapat dilaksanakan kerana kegawatan ekonomi ketika itu.

“Sekarang kita akan mohon supaya ia dipertimbangkan semula,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Omar berkata, berdasarkan keputusan mesyuarat khas itu, Cuepacs akan mengemukakan permohonan kepada Perdana Menteri, selewat-lewatnya bulan depan.

Pada masa ini, kadar pencen dikira berdasarkan maksimum tempoh perkhidmatan selama 300 bulan atau 25 tahun, dengan pembayaran separuh daripada gaji pokok terakhir.

Sementara itu, Majlis Bersama Kesatuan Agensi Yang Diasingkan akan menggerakkan kelima-lima kesatuan agensi yang berkaitan secara bersepadu dalam meminta majikan masing-masing membuat semakan gaji serta menaikkan Elaun Sara Hidup (Cola) dengan kenaikan gaji sektor awam yang berkuat kuasa bulan depan.

Pengerusinya, Mohd Noor Abdullah, berkata ia akan dilakukan jika perbincangan pada peringkat agensi dengan kesatuan masing-masing gagal mencapai kata sepakat.

Pada 2 Jun lalu, Majlis Kesatuan Agensi Yang Diasingkan kecewa kerana belum menerima maklum balas daripada majikan berhubung cadangan mempertimbangkan pelarasan gaji dan kenaikan Cola kakitangannya.

Katanya, hanya Perkeso tampil menyokong hasrat kesatuan, manakala Tabung Haji menunjukkan minat kemungkinan menaikkan Cola kakitangannya.

Kesatuan itu mewakili kakitangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Presiden Kesatuan Kebangsaan Profesion Perguruan (NUTP), Anuar Ibrahim pula mahu Kementerian Pelajaran mengubah format PTK agar bersesuaian dengan tugas guru dan bukan secara peperiksaan seperti sekarang.

“Penilaian bagi guru boleh dibuat sama ada menerusi kursus atau penilaian prestasi kerja yang mempunyai kaitan dengan tugas harian pendidik,” katanya.

No comments: