09 June 2007

Cuti bersalin 84 hari terlalu lama – Kakitangan wanita

Utusan Online

KUALA LUMPUR 8 Jun – Segelintir kakitangan wanita sektor awam berpendapat tempoh cuti bersalin selama 84 hari yang dicadangkan oleh Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) sebagai tidak perlu kerana tempoh cuti bersalin sedia ada selama 60 hari sudah memadai.

Bagi mereka, tempoh cuti bersalin yang terlalu lama boleh menambah beban tugas terutama jika kerja-kerja tersebut tidak sesuai atau tidak boleh dilakukan oleh rakan setugas yang lain.

Seorang guru, Nora Mat Noh, 40, berkata, beliau tidak bersetuju tempoh cuti bersalin dipanjangkan daripada 60 hari kerana ia menambahkan lagi kerja-kerja yang akan tertangguh.

Katanya, ketiadaan seseorang kakitangan kerana cuti bersalin juga akan menyebabkan kakitangan lain terbeban kerana mereka mungkin ditugaskan memangku atau mengambil alih tugas tersebut.

‘‘Sebagai seorang guru, saya dapat merasakan beban kerja yang semakin banyak kerana sukatan pelajaran tidak dapat dihabiskan dan kami terpaksa mengadakan kelas tambahan pada hujung minggu.

‘‘Pengganti kita mungkin tidak dapat memberikan komitmen yang sama dengan kita kerana mereka juga mempunyai tugas mereka sendiri,’’ katanya ketika ditemui di sini.

Seorang lagi kakitangan awam, Nadia Mazuri, 24, berpendapat, tempoh cuti bersalin selama 84 hari adalah terlalu panjang.

‘‘Saya tidak setuju dengan syor itu memandangkan kita bekerja dalam sebuah organisasi. Jika terlalu lama bercuti, maka kerja yang perlu kita lakukan terpaksa ditanggung oleh rakan-rakan yang lain,’’ katanya.

Menurutnya, cuti bersalin yang terlalu lama menjejaskan pandangan majikan terhadap keupayaan para pekerja wanita.

Beliau berkata, cadangan itu perlu dikaji dengan lebih mendalam supaya peluang wanita untuk menyertai sektor awam dan menjawat jawatan yang lebih tinggi tidak terjejas.

Seorang lagi guru, Sara Ismail, 32, berkata, cuti selama 60 hari sudah mencukupi untuk seseorang ibu yang baru bersalin berehat dan menjaga anaknya.

Katanya, di sesetengah pejabat, kerajaan telah menyediakan pusat asuhan kanak-kanak dan ini boleh memberi peluang kepada ibu menyusukan anak mereka walaupun sudah mula bertugas.

Sara berkata, apa yang lebih penting adalah lebih banyak pusat jagaan di tempat kerja perlu diwujudkan supaya ibu-ibu yang bekerja dalam sektor awam dapat menjenguk anaknya dan berasa lebih tenang ketika bertugas.

‘‘Duduk lama-lama di rumah akan membuat saya sentiasa teringat hal kerja yang semakin banyak. Lebih baik kita pergi kerja,’’ katanya.

Awal bulan lalu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil berkata, pihaknya akan menghantar semula memorandum cadangan cuti bersalin selama 84 hari yang telah tertangguh kepada Kabinet bagi membolehkannya dilulus dan dilaksanakan segera.

Presiden CUEPACS, Omar Osman berharap kerajaan akan meluluskan cadangan cuti bersalin selama 84 hari untuk kakitangan awam.

CUEPACS berpendapat cuti yang panjang itu akan dapat meningkatkan produktiviti dan mutu perkhidmatan kerana kakitangan terbabit mendapat rehat secukupnya.


1 comment:

Anonymous said...

cuti bersalin 84 hari adalah wajar bagi wanita yang perlukan masa untuk pulih sepenuhnya dari segi mental & fizikal melahirkan anak.negara2 yg lebih maju cuti bsalin lebih(Belarus (126 hari), Bulgaria (135 hari), Singapura,indon,thai (12 minggu), Argentina (13 minggu), Germany (14 minggu), Sweden (14 minggu), Switzerland (14 minggu), New Zealand (14 minggu), Japan (14 minggu), Gongo (15 minggu), Finland (15 minggu), France (16 minggu), South Africa (16 minggu), Holland (16 minggu), Spain (16 minggu), Austria (16 minggu), Portugal (17 minggu), Chile (17 minggu), Cuba (18 minggu), Hungary (24 minggu), Norway (26 minggu), England (26 minggu), Australia (26 minggu), Italy (20 minggu).)
maaf, tp sy rasa kbykan wanita yg tak brp nak setuju dgn tempoh cuti 84 hari ini adalah mereka yg..
1.anak dah 5 org atau lebih
2.wanita single, terutama mereka yg dah berumur
3.mereka yg tak mghargai kaum ibu
4.mereka yg tak tahu fakta bahawa kemajuan sesebuah negara itu dinilai dr segi kemanusiaan
so, saya amat mengalu-alukan tempoh 84 hari itu sbg satu penghargaan kpd kaum hawa yg memikul tggjwb besar sbg wanita bkerjaya, isteri dan ibu.