06 June 2007

Kakitangan awam kena tumpu kerja

Berita Harian

JOHOR BAHRU: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyambut baik saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada kakitangan awam peringkat rendah supaya berpada-pada melakukan kerja sampingan untuk menyara keluarga yang besar bagi memastikan produktiviti kerja rasmi mereka tidak terjejas.

Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata selaras itu, Cuepacs kini dalam pelaksanaan menjayakan matlamat utama iaitu menjelaskan mengenai produktiviti kepada kakitangan agensi dan jabatan kerajaan sejajar kenaikan gaji yang bakal diterima bermula Julai ini.

"Sehingga ini, Cuepacs sudah mengadakan taklimat menyampaikan hasrat ini di tujuh agensi kerajaan di tiga buah negeri dalam menekankan matlamat ini.

"Menerusi taklimat berkenaan, kami menekankan kepada kakitangan bahawa sudah tiba masanya mereka mula mempemerkan perubahan dan peningkatan drastik di tempat kerja termasuk dari segi produktiviti kerja, kerja sampingan, komunikasi dengan pelanggan, imej, pakaian, dan disiplin," katanya pada majlis Mesyuarat Agung Dwi Tahunan Kali ke-22 Kesatuan Pekerja Risda Negeri Johor, di sini semalam.

Beliau berkata, kakitangan yang melakukan kerja sampingan tidak terkecuali dinasihatkan supaya berubah dengan dengan mengurangkan tumpuan pada kerja terbabit yang menjejaskan produktiviti kerja.

"Cuepacs berharap mana-mana kakitangan yang melakukan kerja sampingan sehingga menjejaskan kerja di pejabat segera berhenti dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerja di jabatan masing-masing," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Cuepacs turut menyokong penuh cadangan cuti bersalin 84 hari oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi menyuntik semangat wanita untuk bekerja selain mewujudkan tempat kerja mesra keluarga.

Malah, katanya, Konvensyen Wanita Cuepacs (KWC) turut menyokong cadangan cuti itu yang memberi kebaikan kepada kakitangan awam wanita.

"Bagi kami, tempoh cuti ini tidak begitu lama dan tidak akan menjejaskan prestasi atau produktiviti wanita, malah sebaliknya kesihatan fizikal mereka adalah lebih baik berikutan rehat yang cukup sekali gus lebih bersedia untuk bekerja.

Omar berkata, Malaysia antara 25 negara yang masih memperuntukkan cuti bersalin selama 60 hari berbanding piawaian antarabangsa iaitu minimum 14 minggu dengan kerajaan Kelantan memberikan 90 hari cuti.

"Kami berharap kerajaan dapat mengumumkannya dan melaksanakannya secepat mungkin," katanya.

"Selain itu, kami turut meminta supaya cuti bersalin dengan gaji penuh diberikan kepada kakitangan awam wanita yang melahirkan sehingga anak kelima ditambah kepada anak ketujuh," katanya sambil menambah kakitangan wanita ketika ini mewakili 35 peratus daripada keseluruhan 1.2 juta kakitangan awam seluruh negara.

Sehubungan itu, Omar berkata, pihaknya berharap Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengeluarkan pekeliling ke setiap agensi kementerian yang tidak mempunyai taska supaya mewujudkannya.

"Kita tidak mahu subsidi RM180 bagi yang diberikan kepada setiap anak yang berumur bawah empat tahun dinikmati hanya agensi kementerian tertentu seperti di beberapa tempat termasuk Putrajaya.

"Sebaliknya ia sepatutnya dinikmati semua kakitangan awam... baru mantap, tiada masalah untuk kakitangan menghantar anak ke tempat (taska) lain," katanya yang menekankan banyak agensi dan jabatan pada masa ini tidak mempunyai taska.

Selain itu, Omar berkata, kakitangan kini juga menabung bagi menampung beban kewangan sendiri berikutan kenaikan gaji terbabit.

"Dengan kenaikan RM500 hingga RM600, mereka boleh menyimpan RM100 sebulan di tempat selamat seperti Tabung Haji.

"Justeru, tidak ada sebab bagi mereka yang sering membuat pinjaman sebelum ini supaya menyelesaikan beban kewanagan masing-masing menerusi menabung," katanya.

No comments: