06 June 2007

Hentikan segera kerja sambilan – CUEPACS

Utusan Online

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD

KUALA LUMPUR 5 Jun – Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) hari ini menggesa semua kakitangan kerajaan supaya berhenti segera daripada membuat kerja-kerja sambilan.

Presidennya, Omar Osman berkata, CUEPACS mengambil perhatian serius terhadap perkara itu dan amat bersetuju jika ada jabatan mengenakan tindakan tatatertib ke atas kakitangan awam yang terus berdegil.

Beliau berkata, tiada sebab anggota perkhidmatan awam khususnya kumpulan sokongan melakukan kerja- kerja itu kerana mereka bakal menikmati kenaikan gaji sehingga 35 peratus seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini.

‘‘Memang sebelum ini terdapat kakitangan bawahan terpaksa melakukan pelbagai kerja sambilan antaranya sebagai pemandu teksi, pengawal keselamatan dan berniaga kecil-kecilan kerana gaji yang mereka terima setiap bulan tidak mencukupi.

Terpaksa

‘‘CUEPACS percaya selama ini pihak jabatan terpaksa ‘tutup sebelah mata’ disebabkan gaji yang diterima oleh kakitangan terbabit tidak dapat menampung perbelanjaan seharian,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Di Putrajaya semalam, Perdana Menteri percaya kenaikan gaji pada kadar yang lebih besar bagi kumpulan berpangkat rendah dapat mengurangkan kakitangan awam kumpulan berkenaan melakukan kerja-kerja sampingan yang boleh menjejaskan produktiviti kerja.

Abdullah berkata, kerajaan sengaja meningkatkan kadar kenaikan gaji pegawai pangkat rendah dengan peratus yang lebih kerana menyedari ramai yang terpaksa melakukan kerja-kerja sampingan bagi mencari pendapatan tambahan.

Menurut Omar, tindakan tegas wajar dikenakan ke atas kakitangan berkenaan kerana kerajaan telah melakukan perkara yang sepatutnya untuk meningkatkan pendapatan mereka.

‘‘Melakukan kerja sambilan merupakan satu kesalahan di dalam sektor awam dan perkara ini terdapat di dalam akujanji dan peraturan.

‘‘Bagi CUEPACS sekiranya perkara itu dibiarkan tanpa ada usaha untuk mencegahnya ia sememangnya boleh menjejaskan produktiviti,’’ ujarnya.

Omar berkata, sudah tiba masanya kakitangan awam membalas jasa baik kerajaan dengan memberi perkhidmatan terbaik, sekali gus dapat menaikkan imej perkhidmatan awam di mata masyarakat.

‘‘CUEPACS telah berjuang mati-matian untuk memastikan kakitangan awam menerima gaji yang baik dan akhirnya kita berjaya. Untuk membalas jasa baik kerajaan, semua kakitangan wajar lebih komited dengan tugas yang diberikan.

‘‘Produktiviti perlu sentiasa dijaga. Kita tidak mahu prestasi kakitangan masih di tahap lama walaupun gaji mereka telah dinaikkan,’’ ujarnya.

No comments: