08 June 2007

Kakitangan kontrak wajar diutama isi jawatan kosong

Berita Harian


Pengalaman wajar jadi asas penting pelantikan dalam sektor awam

SHAH ALAM: Kerajaan digesa memberi keutamaan kepada kakitangan berstatus kontrak bagi mengisi kekosongan 100,000 jawatan dalam sektor awam yang masih belum diiklankan, seperti diumumkan sebelum ini.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Omar Osman, berpendapat kekosongan itu lebih wajar diisi kakitangan berpengalaman berbanding membukanya kepada kakitangan baru yang tidak diketahui kebolehan mereka.

Pada masa sama, katanya, kakitangan berstatus kontrak juga boleh menikmati penyelarasan gaji baru yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, baru-baru ini.

"Mereka (kakitangan kontrak) masih perlu memohon macam biasa seperti mengisi borang dan melalui proses temu duga, tetapi saya harap kerajaan akan beri keistimewaan.

"Tidak adil jika ada antara mereka yang bekerja seperti pegawai kerajaan lain, hingga ada yang kontrak melebihi lapan tahun tetapi menerima gaji tidak sepadan," katanya merasmikan Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan Kesatuan Pekerja-Pekerja Risda Semenanjung Malaysia Kali Ke-22, Cawangan Selangor di sini, semalam.

Omar berkata, beliau juga menerima aduan daripada kakitangan berstatus kontrak yang diberhentikan tanpa sebab munasabah dan kemudian jabatan berkenaan mengambil kakitangan baru.

Katanya, Cuepacs juga berharap kerajaan dapat mewujudkan sekurang-kurangnya 200,000 jawatan baru dalam sektor awam, menjelang 2020.

Sementara itu, Omar meminta kakitangan awam yang menerima notis tiada kenaikan gaji selepas penyelarasan yang dibuat, segera menghubungi Cuepacs.

Katanya, kakitangan terbabit perlu menghantar surat aduan rasmi dan menyatakan jabatan serta jawatan kakitangan terbabit bagi membolehkan siasatan dibuat.

Mengenai khabar angin menyatakan kemungkinan gaji baru diselaraskan itu hanya diterima Oktober ini, beliau berkata, ia mungkin disebabkan kekurangan kakitangan menguruskan kenaikan gaji terbabit.

No comments: