Menjayakan misi universiti bertaraf dunia
Utusan Online
Oleh MOHD ROSHDI HASSAN
SEJAK kebelakangan ini kebanyakan universiti di Malaysia telah meletakkan misi untuk mencapai pengiktirafan sebagai universiti bertaraf dunia. Misi ini mula tercetus apabila beberapa universiti di Malaysia mula tersenarai dalam Times Higher Education Supplement (THES).
Justeru banyak universiti telah membuat berbagai perubahan untuk membolehkan ia tersenarai dalam THES ini, walaupun THES bukanlah penunjuk sebenar kedudukan universiti di dunia.
Namun kita kelihatan masih samar-samar untuk mencari penanda aras bagi mencapai misi ini. Yang lebih malang lagi terdapat beberapa buah universiti cuba menawan hati universiti terkemuka di dunia dengan cuba menjalinkan kerjasama yang akhirnya tidak dapat menaikkan nama universiti.
Duit telah banyak dihabiskan tapi hasilnya hanya menyebelahi pihak luar. Kita cuma hanya setakat berbangga dengan perjanjian persefahaman atau MoU yang ditandatangani, namun aktiviti kerjasama tersebut tidak berlaku seperti yang diharapkan.
Sebagai individu yang berkhidmat di sebuah universiti yang bertaraf dunia dan melahirkan sejumlah empat orang pemenang anugerah Nobel, penulis ingin berkongsi pengalaman bagaimana universiti di Barat mendapat pengiktirafan ini dengan mudah. Justeru, misi ini akan mudah dicapai jika ia dilakukan secara bersepadu oleh semua kakitangan di universiti berkenaan.
Untuk mencapai cita-cita ini beberapa faktor perlu diambil kira. Antara faktor tersebut termasuklah kumpulan penyelidikan yang berwibawa, kajian, kemudahan dan pihak pengurusan yang bertaraf dunia.
Untuk mencapai cita-cita ini, kita perlukan ramai kakitangan yang bertaraf profesor dan profesor madya. Tapi malangnya, universiti di negara kita mengamalkan sistem yang lebih berbentuk ‘piramid’.
Di mana jawatan profesor terlalu sedikit jika dibandingkan dengan jawatan pensyarah. Lebih memburukkan lagi proses kenaikan pangkat terpaksa melepasi beberapa ujian tahap kecekapan yang hanya dapat disediakan beberapa kali setahun dengan jumlah calon yang amat terhad.
Fenomena ini sedikit sebanyak mengganggu motivasi ahli akademik untuk berkhidmat dengan cemerlang kerana mereka tidak dianugerahkan jawatan yang sepatutnya disandarkan berdasarkan kepada kecemerlangan penyelidikkan mereka. Jika dilihat kepada semua universiti yang berada di 10 anak tangga teratas dalam THES, kakitangan yang bertaraf profesor lebih ramai jika dibandingkan dengan pensyarah biasa.
Keadaan ini diburukkan lagi dengan ramai kumpulan yang bertaraf profesor di negara kita tidak dapat meneruskan penyelidikkan mereka apabila dibebankan dengan tugas-tugas yang tidak ada kaitan dengan penyelidikkan. Ilmu pengetahuan mereka yang sepatutnya digunakan untuk mengatasi masalah masyarakat di dunia sudah tidak dikembangkan lagi apabila disibukkan dengan tugas-tugas ini.
Penyelidik di Barat diberi kebebasan sepenuhnya untuk merangka kertas cadangan penyelidikan dan bekerjasama dengan sesiapa tanpa memerlukan kelulusan dari mana-mana pihak di peringkat universiti. Sebaliknya di negara kita, apabila satu kertas cadangan penyelidikan dibuat, ia perlu melalui lembaga penapisan dan mendapat kelulusan dari beberapa peringkat pengurusan di universiti.
Yang lebih malang lagi apabila panel penilai terdiri daripada mereka yang kurang arif tentang bidang penyelidikan yang dicadangkan. Banyak kos penyelidikan telah dikurangkan sehingga menyebabkan objektif penyelidikan tidak tercapai sepenuhnya. Apabila beberapa kertas cadangan ditolak, ramai penyelidik kita mengambil sikap putus asa dengan kerenah birokrasi ini.
Mempunyai profesor bertaraf dunia tidak akan menjaminkan misi ini dapat dicapai jika kita mempunyai kakitangan sokongan dan teknikal yang tidak dapat membantu ke arah itu.
Kumpulan juruteknik adalah golongan yang akan dapat mempercepatkan proses ini berlaku kerana mereka adalah kumpulan yang menjadi pemangkin dalam kejayaan ini.
Sebagai contohnya, jabatan kimia Cambridge University telah meningkatkan kualiti kakitangan teknikal mereka dengan menghantar mereka ke East Anglia University iaitu satu universiti di bandar Cambridge bagi memperoleh ijazah.
Tapi malangnya, di negara kita, juruteknik tidak diberi peluang sepenuhnya untuk melanjutkan pelajaran kerana dikhuatiri akan berpindah tempat kerja apabila mendapat tawaran yang lebih baik.
Bahkan pihak pengurusan universiti lebih suka mengambil kakitangan sokongan dan teknikal secara kontrak bagi menjimatkan perbelanjaan universiti. Sepanjang pengamatan di universiti di Malaysia, semangat bekerja kakitangan tetap dilihat lebih tinggi jika dibandingkan dengan kakitangan kontrak.
Faktor utama yang menentukan kedudukan universiti adalah bergantung kepada sumbangannya kepada masyarakat dunia. Sumbangan ini disalurkan melalui hasil penyelidikan yang dapat menyelesaikan masalah semasa masyarakat dunia.
* DR. MOHD ROSHDI HASSAN berkhidmat di Rolls Royce UTC University of Sheffield, United Kingdom.
No comments:
Post a Comment